“Selamat Berjuang, Menuntut Ilmu Dari Buaian Ke Liang Lahad”
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”.
(Surah al Mujadilah ayat 11)
1. Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin. Subhanaka La ‘il Malana illa Ma ‘Allamtana Innaka Antal ‘Alimul Hakim.
2. Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Rabbul Izzati atas kurniaan nikmat Iman dan Islam serta kehidupan di alam fana’ ini. Selawat dan salam buat Junjungan al Rasul SAW,penyebar rahmat sekalian alam.
3. Saya mewakili saf qiyadah PKPIM mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir semester buat mahasiswa-mahasiswa di seluruh Malaysia. Semoga diberikan kecerdasan akal, dijernihkan hati dan ketenangan menjawab soalan peperiksaan.
4. Ayuh sama-sama kita perbetulkan niat dan berikan fokus yang terbaik. Mengambil semangat dan inspirasi pesan-pesan Ilahi dalam surah al Alaq, bu
daya ilmu disemaikan melalui perkara asas yakni pembacaan. Terus gigih membaca, berdiskusi dan menekuni pelajaran sebaiknya. Di akhir surah al Alaq ini,Allah mengingatkan hambaNya supaya sujud dan mendekatkan diri kepadaNya. Ini bermakna ilmu yg diperoleh bukan menjadikan kita semakin riya’ dan sombong,tetapi semakin tawaduk dan dekat kepada Allah.
5. Jaga diri, jaga kesihatan, jaga iman, jaga ilmu dan jaga amal. Jaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Tidak lupa kepada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.
Hindari sangka buruk terhadap orang lain dan berterusan lakukan amal kebaikan. Senantiasa positif dan manfaatkan potensi diri untuk berbakti kepada Umat.
Teman-teman yang berjuang,
6. Imam Syafie ada berpesan bahawa “ketahuilah engkau tidak akan memperoleh ilmu melainkan dengan enam perkara”:
1) Kecerdikan
2) Keinginan kuat terhadap ilmu
3) Kesungguhan
4) Cukup perbelanjaan
5) Petunjuk guru
6) Masa yang panjang
7. Menuntut ilmu merupakan jihad dan perjuangan. Ayuh kita mendidik diri menjaga adab dalam menuntut ilmu. Tentunya bukan kecemerlangan semata-mata yang diimpikan tetapi kecemerlangan dan keberkatan. Dapatkan waktu belajar dan mengulangkaji pelajaran yang kondusif dan sistematik. Setiap orang punyai gaya belajar masing-masing, tetapi elakkan bermalas-malasan dan bertangguh.
Teman-teman yang bitara dan berjasa,
8. Manfaatkan kesempatan dan waktu dengan sebaik dan seadilnya. Janganlah disebabkan kesibukan mengulangkaji pelajaran menyebabkan kita abaikan solat dan lewat bangun pagi. Ayuh bersama-sama kita menjadi ” pejuang subuh” dan umat yang berpagi-pagi. Manfaatkan kesegaran waktu pagi untuk kita menelaah ilmu dan melakukan Ibadah. Motivasikan diri untuk bangkit awal di pagi hari, tentunya kita akan merasakan keistimewaan dan kelebihan. Carilah kekuatan di sebalik solat subuh. Yakinlah Umat yang menjaga solat subuh akan teguh. Sesungguhnya rahsia kekuatan umat ada pada solat subuh berjemaah.
Teman-teman yang cintakan ilmu,
9. Teruskan konsisten berdoa dengan bersungguh-sungguh dan penghayatan. Bukan sekadar semasa ingin menduduki peperiksaan semata-mata,tetapi dalam setiap praktis kehidupan. Kita tidak letih untuk terus merintih.Kita tidak jemu untuk terus merayu. Apabila pada satu saat yang paling sunyi, hati kita seolah-olah dibisikkan bahawa Allah SWT itu dekat dan lambaianNya mesti dibalas.Pada ketika itulah kita berasa sudah lebur seluruh tadbir.Hati dilenturNya agar pasrah kepada takdir. Profesor Dr Hamka ada menyebut,
” Pada waktu segala jalan hubungan di bumi ditutup orang, hubungan ke langit lapang terluang”.
Oleh yang demikian, harus optimis, perteguh tekad dan berdaya saing dalam langkahan kehadapan.
10. Ayuh sama-sama kita berazam dan bertekad untuk senantiasa melakukan Islah (perubahan) dalam diri setiap hari. Dicadangkan kesepakatan untuk dilakukan bersama oleh aktivis-aktivis PKPIM suatu disiplin harakiy (code of ethics and conducts).
Aspek Ibadah dan Spiritualime
1. Solat berjemaah 5 waktu
2. Membaca Al Quran setiap hari
3. Zikir Mathurat pagi dan petang
4. Puasa sunat sebulan 3 kali
5. Qiyamullail
6. Solat sunat rawatib
7. Solat sunat dhuha
8. Mendengar tazkirah dan motivasi
9. Bermuhasabah sebelum tidur setiap malam
10. Bacaan Al Mulk sebelum tidur
11. Mengikut usrah setiap minggu
Aspek Keilmuan dan Intelektualisme
1.Disiplin membaca satu jam sehari
2. Menelaah dan mengulangkaji pelajaran/tugasan kerja satu jam setengah hari
3. Berdiskusi dan menulis seminggu sekali
4. Menghadiri majlis ilmu,kuliyah dan wacana sebulan sekali
Aspek Kepedulian dan Aktivisme
1. Membaca akhbar dan isu semasa setiap hari
2. Sukarela membantu orang lain setiap hari
3. Bersedekah setiap hari
4. Bertegur sapa dengan baik kepada jiran tetangga setiap hari
5. Ucap terima Kasih kepada guru dan sesiapa sahaja yang berurusan dengan kita
6. Telefon ibu ayah setiap minggu dengan kerap
7. Peduli isu Umat
Aspek Pengurusan dan Kendiri
1.Kemaskini planner masing-masing setiap hari
2. Rancang Jadual harian dan masa bagi setiap aktiviti
3. Sediakan segala keperluan sebelum tidur
4. Kawal dan rancang perbelanjaan
5. Utamakan dan siapkan perkara-perkara penting
6. Senantiasa kemaskini progress bagi setiap perancangan
7. Failkan segala dokumen dan susunkan sebaiknya
8. Kemas bilik/rumah
9. Tidak tidur selepas subuh
Terus berjuang, terus bitara, terus berjasa.
HIDUP BIAR BERJASA
USTAZ MUHAMMAD KHAIR BIN SUJUD
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)