PERUTUSAN HARI RAYA ‘AIDILFITRI 1434H
6 Ogos 2013 / 28 Ramadhan 1434H
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan lafaz Minal Eidin Walfaizin wal Maqbulin kepada seluruh mahasiswa dan umat Islam dengan doa dan harapan agar semangat Ramadhan yang telah dilalui serta Syawal yang bakal tiba akan membibitkan rasa mahabbah, persaudaraan, serta pendamaian dalam memaknai tradisi saling bermaafan yang dituntut oleh ajaran Islam. PKPIM mengharapkan agar bulan yang mulia ini akan merealisasikan prinsip ukhuwwah Islamiyah yang hakiki serta bermuhasabah mengenai krisis yang menimpa umat Islam di seluruh dunia.
Kini, kita menyaksikan pelbagai ancaman terhadap umat Islam di seluruh dunia. Krisis Palestin yang tiada penghujungnya, di sambung pula dengan krisis penghapusan etnik Rohingya di Burma, krisis kemanusiaan dan keadilan sosial di Selatan Thailand dan krisis yang paling menyedihkan yakni pembunuhan Muslim Sunni oleh Basyar Assad di Syria. Cabaran dan ancaman buat umat Islam bukan sekadar menghancurkan rakyat malah menjatuhkan kepimpinan Islam di Mesir dan cubaan di Turki serta negara-negara Islam yang lain.
Sayyid Qutb dalam menggambarkan kemelut kemanusiaan yang berlaku dalam tamadun kini sebagai tadmiru’linsan (penghancuran manusia). Proses ini berlaku tatkala tamadun barat jahiliyyah sedang mendominasi umat Islam. Manusia sudah hilang rasa kemanusiaan serta belas kasihan dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi ini. Umat Islam khususnya telah dideritai dengan virus yang ditanam seperti kemiskinan, kejahilan dan perpecahan. Virus-virus yang ditanam oleh penjajah ini membuatkan umat Islam jatuh dari kuasa besar di dunia.
Justeru, PKPIM sebagai gerakan mahasiswa Islam di Malaysia menyeru agar seluruh mahasiswa bersama-sama membina kekuatan kesatuan ummah dalam mendepani cabaran dan ancaman yang dihadapi oleh sahabat-sahabat kita di seluruh dunia. Selain itu, pembinaan nilai ummatik dalam peribadi mahasiswa kini amat penting bagi memastikan kita akan pulang ke pangkuan ummat bagi mengeluarkan umat dari kezaliman dan mengangkat keadilan serta martabat umat pada tempatnya.
Cabaran buat generasi muda kini semakin meningkat, kehidupan beragama yang mulai dirasakan tidak up-to-date dan dianggap sebagai tidak modernis amat memberi impak terhadap pembinaan jiwa merdeka. Tambahan, budaya hedonisme seperti k-pop yang dilihat sebagai matlamat kebahagiaan bagi sesetengah remaja amat merungsingkan. Prinsip kebahagiaan bukan lagi difahami dengan melaksanakan segala syariat Islam serta meninggalkan larangan Allah s.w.t., tapi ditafsirkan sebagai kenikmatan dan kesenangan di dunia semata-mata.
Sehubungan dengan itu, misi islah dan dakwah kita perlu diperhebatkan dengan meratai kefahaman Islam di seluruhnya tanpa mengira paras rupa, bangsa mahupun strata. Semoga semangat Aidil Fitri akan menyemarakkan lagi semangat perjuangan kita dalam harakah tercinta ini. Demikian juga hendaknnya akan ibadah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan.
Diriwayatkan hadith dari Abi Hurairah r.a hadith dari Nabi s.a.w bersabda:
‘Man soma Ramadhana imanan wahtisaban ghufira lahu ma taqqaddama min zanbihi, wa-man qama lailata imanan wahtisaban ghufira lahu ma taqqaddama min zanbihi.’
Yang bermaksud: ‘Barangsiapa yangg berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan dan kerana mencari pahala di sisi Allah diampunkan Allah baginya apa-apa yang telah mendahuluinya dari dosa-dosanya; dan barangsiapa berdiri yakni menetapi ibadah pada malam qadar kerana keimanan dan kerana mencari pahala di sisi Allah diampunkan Allah baginya apa-apa yang mendahulukannya yakni dosa-dosanya. [Hadith Bukhari]
Semoga madrasah Ramadhan yang bakal berlalu akan memberikan hikmah tarbiah dengan menambah keupayaan kita menggarap amal Islami dengan jiwa bersih, fikiran jernih serta daya juang yang tiada belah bagi dalam kekentalan ukhuwwah dan mahabbah filLah. Jadikanlah program ziarah menziarahi pada Syawal ini sebagai medium untuk meningkatkan hubungan baik sesama manusia.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Walillah-il-hamd.
‘HIDUP BIAR BERJASA’
KHAIRUL ANUAR ABDUL MANAP
Setiausaha Agung
PKPIM Sesi 2012/2013