
Kata na-fa-ra yang seringkali diguna dalam Al-Quran adalah merujuk kepada situasi atau keadaan perang. Atau biasa juga disebut sebagai qa-ta-la. Justeru, peperangan adalah sudut kehidupan yang selamanya tidak akan digemari oleh mana-mana manusia pun yang cinta akan keamanan. Namun, adalah mustahil jika Islam, sebuah agama yang serba syumul ini tidak memperuntukkan peraturan atau perintah untuk mempertahankan diri. Bukankah itu nanti akan melambangkan agama suci ini sebagai lemah dan penakut?
Perang yang seringkali dipandang negatif oleh mereka yang bukan beragama Islam apabila disebut ‘jihad’ sebenarnya haruslah diertikan sebagai mengangkat senjata untuk memerangi musuh yang mengancam nyawa, diri dan kehormatan agama.
Maka, hakikat fitrah manusia yang benci kepada peperangan disebut dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:
|Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu menyenangi sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
Sudah pasti Islam berlepas diri daripada peperangan tanpa alasan yang benar. Malah, wilayah baru yang dimasuki oleh tentera Islam seringkali disinonimkan sebagai ‘pembukaan’ yang membawa erti pembebasan daripada kezaliman dan penindasan jauh sekali daripada bersifat ‘menjajah’.
Sesuai dengan sifatnya yang membawa rahmat ke seluruh alam itulah, Islam digerakkan oleh para pendukungnya dengan misi yang kudus untuk membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada ubudiyyah dan pengabdian diri hanya kepada Allah SWT semata-mata.
Manifestasi Perang Tabuk: Menyerlahkan Ketulenan Pejuang
Dalam surah At-Taubah ayat 41 ada menyebutkan:
|Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan ataupun merasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
Demikianlah perintah wahyu yang melatari suasana Perang Tabuk. Sama ada susah mahupun senang, baginda Rasul memerintahkan seluruh kaum Muslimin yang layak bersiap dengan segala kelengkapan untuk keluar berperang menentang tentera Rom. Bukan kerana tidak biasa berperang, tetapi disebabkan perjalanan yang bakal ditempuh itu nanti amat luar biasa jauhnya dan kesukaran yang tidak terjangka maka Nabi memberi masa untuk membuat persiapan, mendedahkan lokasi yang dituju dan musuh yang bakal ditempur.
Di sinilah titik tolak yang mendedahkan di antara ketulenan dan kepalsuan. Adakah rela mempertaruhkan diri untuk perjuangan?
Maka, Al-Quran mendedahkan perasaan yang bersarang dalam jantung hati manusia sekalipun mereka telah berada di samping Nabi bertahun-tahun lamanya. Terdapat segelintir yang gemar berlengah dan beralasan apabila seruan untuk keluar berjihad, menyumbang bakti, menagih keringat dan khidmat dilaungkan. Mengapa hal seperti ini boleh terjadi? Di awal surah At-Taubah ayat 42 ada menjelaskan bahawa:
|Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.
Suara-suara di dalam hati dan fikiran terasa bergema. Melantun-lantun sehingga boleh menggugat keyakinan dan kepercayaan yang telah lama dibentuk. Perasaan yang kadangkala berkira-kira untuk melanjutkan perjuangan ke tahap yang seterusnya.
‘Perjuangan kita ini hendak dihala ke mana? Adakah imbalan atau harta mahupun habuan yang bakal menanti kita di penghujung destinasi?’
Itulah antara beberapa persoalan yang sering berlegar-legar dalam fikiran. Lantas inilah keistimewaan Perang Tabuk yang terlakar dalam sejarah. Mendedahkan wajah pejuang-pejuang sekaligus menguji kekentalan iman mereka. Ia ibarat ‘penapis’ yang ‘memerangkap’ kotoran yang sekian lama tidak dicuci.
‘Kotoran’ yang terlalu degil untuk dibasuh lantas terdedah kebusukannya melalui peristiwa ini. Itulah golongan yang disebut sebagai ‘al-Munafiqun’ yang diserlahkan ciri-ciri mereka dalam ayat selanjutnya, ayat 45 surah At-Taubah:
|Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya.
Mereka hanya berpura-pura menyatakan keimanan dan mereka hidup dalam keraguan serta ketidakpastian. Lantas, apabila tiba masa iman mereka hendak diuji, kebimbangan terhadap iman mereka yang sebenarnya rapuh dan ragu-ragu itu menyebabkan mereka meminta izin daripada Nabi untuk menguzurkan diri daripada turut serta dalam peperangan.
Nah, tanyalah diri!. Di mana kita dalam perjuangan?. Sepenuh hati? Separuh atau suam-suam suku sahaja?.
Atau selalu sahaja mengecualikan diri daripada berperanserta dalam mengisi episod dakwah dan perjuangan yang sentiasa berubah-ubah warna cabaran dan rintangannya.
Melatih Diri dan Menyuburkan Iman
Justeru, Perang Tabuk telah membuat penegasan untuk kesekian kalinya bahawa iman hanya terbukti dengan amalan tidak dengan omongan kosong sahaja.
Ia mengajar kita erti ketaatan kepada perjuangan. Ia juga mendidik kita makna sebuah keyakinan dan semangat keberanian. Begitu juga ia telah menunjukkan kepada kita erti sebuah ketabahan. Bahkan, lebih penting daripada itu, ia telah menyerlahkan kepada kita manifestasi iman dalam erti kata yang sebenar melalui keikhlasan para pejuangnya.
Ya, memang benar. Hanya iman yang sudah teruji sahaja dianggap tulen dan jauh daripada sifat nifaq. Ia memang sukar. Kadangkala tuntutannya itu bukan-bukan dan di luar jangkaan akal yang waras. Sehingga nyawa pun harus menjadi pertaruhan.
Terasa sekali betapa sukar untuk menghindarkan diri daripada sifat-sifat munafiq gaya Abdullah bin Ubai. Apabila meletakkan diri dalam kerangka Perang Tabuk dan situasi-situasinya, mungkin kita pada hari ini segerabak dengan mereka yang beralasan dan berlengah untuk keluar berjuang. Boleh jadi juga kita turut ‘tercicir’ daripada perjuangan sebelum tiba ke medannya yang sebenar.
Namun, itulah hakikat iman yang benar. Kita belum dikira sebenar-benar orang beriman jika belum berhadapan dengan ujian daripada Tuhan. Maka, hari ini perjuangan hanya akan berdaya untuk diteruskan oleh dukungan ketulenan iman sang pejuang.
Pejuang yang tulen adalah mereka seperti yang disifatkan Allah dalam surah At-Taubah ayat 44 yang bermaksud:
|Orang–orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertaqwa.
Demikianlah pejuang yang tulen tidak pernah beralasan atau meminta izin untuk berundur sebaliknya mempersiapkan diri mereka dan harta untuk keluar menolong agama Allah SWT.
Justeru, pendukung gerakan yang baru hendak bertunas pada hari ini harus menjadikan Perang Tabuk sebagai kayu ukur yang tertinggi. Iman kita harus ditarbiyyah dengan bersungguh-sungguh melalui tadabbur Al-Quran, memelihara solat serta menghidupkan ‘ibadah malam.
Oleh itu, dalam konteks gerakan Islam, kita harus kembali beriltizam dan komited dengan perjalanan usrah sebagai tunjang untuk membina kerangka kefahaman terhadap Islam dengan kuat dan betul. Usrah sepertimana yang selalu disebut-sebut bukan sekadar bulatan dan bergembira. Lebih jauh daripada itu, ia harus berupaya untuk menghilangkan kehausan spiritual sekaligus meningkatkan kualiti diri sebagai seorang Muslim.
Hayatilah manifestasi ujian berteraskan prinsip Perang Tabuk. Hanya melalui cara ini sahaja kita berupaya menyerlahkan ketulenan pejuang.
Oleh yang demikian, demi sebuah perjuangan yang masih jauh, kita tidak boleh tewas dengan nafsu dan keinginan diri.
Ayuh, bangkit dan berjuang!.
MUHAMMAD UKASYAH AZHARI
Penolong Setiausaha PKPIM