Apabila Soekarno, bekas presiden Indonesia yang mahsyur dengan reformasi politik Indonesia pernah mengungkapkan, “beri aku 10 pemuda niscaya akan ku goncangkan dunia.” Jadinya wujud satu ruang diskusi panjang disebalik kenyataan ini pada kriteria pemuda yang mampu menggoncangkan ini. Kriteria pemuda ini yang menentukan hasil goncangan sama ada ia berteras revolusi bersifat emosi atau sebuah kelahiran tamadun yang bermakna. Bertepatan dengan apa yang diungkapkan oleh saidina ali, “jika kamu ingin lihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemuda pada hari ini.” Masa depan yang dibina itu adalah pembinaan sebuah tamadun dengan prinsip islam atau sebuah tamadun yang hampa nilai-nilai islam tetapi hanya meniru pemikiran-pemikiran asing.
Apabila berbicara tentang pemuda, tidak salah kita halakan perbincangan golongan ini pada kelompok mahasiswa juga. Mahasiswa menurut kamus dewan edisi dua mendefinisikan mahasiswa sebagai pelajar muda yang menuntut di pusat pengajian tinggi. Golongan yang dikurniakan begitu banyak ruang, kelebihan dan nikmat seperti tempat belajar yang bagus, akal yang cerdas untuk berfikir, tubuh badan sihat dan muda juga sumber kewangan yang baik. Maka mensia-siakan segala nimat ini untuk segala yang tidak bermanfaat adalah sesuatu bentuk kekufuran pada nikmat yang banyak ini. Seperti yang berulang kali diperingatkan dalam surah ar-Rahman iaitu “maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan.”
Sering kita dengar pada seruan dan slogan membina ‘daulah islamiah’ atau ‘negara Islam’. Namun tidak ramai yang bercerita tentang isi kepada sebuah negara Islam itu. Jika sudah bercerita, berapa ramai pula yang melaksanakan dan mengamalkannya. Yang lebih penting bagi saya adalah segala usaha bagaimana membina sebuah ‘negara yang prinsipnya Islam’. Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan olehTransparensi International jelas menunjukkan sikap sebenar umat islam apabila kita gagal menghuni tempat teratas sebagai negara bersih rasuh dan menyedihkan kita bukan di tengah tetapi menghuni kebanyakan ruang di bawah. Belum lagi kita bentangkan indeks kemiskinan, indeks pencemaran, indeks kebersihan, yang kita akui duduknya negara-negara majoriti orang islam menunjukkan skrip yang sama dengan indeks di atas. Jadi wujud satu ruang perubahan besar yang harus umat Islam lakukan yang saya kira ramai mengakui permasalahan ini tetapi jalannya masih buntu kerana Muhammad Abduh pernah mengungkapkan episode ini 50 tahun yang lepas, “ aku nampak Islam di eropah tetapi mereka bukan muslim, aku nampak muslim di sini, tetapi aku tidak nampak Islam.
Peranan yang harus dimainkan oleh mahasiswa dalam mengubah landskap ini amat besar dan penting. Seperti yang sering ditegaskan Dato Saifuddin Abdullah, timbalan menteri pengajian tinggi “mahasiswa bukan pemimpin akan datang sahaja, mereka adalah pemimpin masa kini dan akan datang.” Pemimpin ini jangan disempitkan pada ruang politik sahaja tetapi melihat pada skop pemimpin pada ruang yang lebih besar. Pada pandangan saya satu peranan yang sering dilupakan adalah peranan membugarkan budaya ilmu. Berada dalam sebuah universiti yang seharusnya menjadi pusat pembelajaran dan pengkajian ilmu tinggi menjadi pusat memupuk semangat budaya ilmu ini dikalangan mahasiswa sebagai persiapan sebelum keluar pada masyarakat.
Professor Zaini Ujang dalam bukunya Menghayati Budaya Imu menulis, “ada pihak berpendapat bahawa ilmu dan budaya ilmu tidak penting dalam skema pembangunan insan dan negara. Terdapat perkara lain yang menjadi keutamaan iaitu iman dan amalan keagamaan. Tidak kurang juga yang menyebut tentang kepentingan kekuatan ekonomi, pembangunan infrastruktur, perpaaduan nasional dan semangat kebangsaan. Kita tidak wajar menafikan kepentingan perkara tersebut tetapi kesemuanya berakar umbi kepada asas ilmu.” Ya, asasnya adalah ilmu, “adakah sama orang yang berilmu dengan tidak berilmu. (surah az-zumar ; 9)
Budaya adalah sesuatu yang menjadi lazim dalam masyarakat sehingga meninggalkannya menjadi suatu yang asing. Yang disebut sebagai budaya ilmu pula menurut Prof Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya Budaya Ilmu Satu Penjelasan mendefinisikan budaya ilmu sebagai kewujudan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, baik secara langsung mahupun tidak langsung dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan. Beliau menambah lagi, budaya ilmu merujuk kepada kewujudan satu keadaan yang segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun syura. Pendefinisian penuh hikmah daripada Prof Wan ini jelas menunjukkan konsep input dan output dalam berbudaya ilmu. Mahasiwa benar-benar berada dalam kedudukan paling strategik untuk melaksanakn misi budaya ilmu ini. Selain daripada berada di pusat kegiatan ilmu yakni universiti, mahasiswa juga sering diipandang tinggi dan diiktiraf masyarakat sebagai agen pengubah masyarakat dan pengiktirafan memudahkan lagi usaha pengislahan ini.
Di barat kita dapat lihat suburnya semangat keilmuan di sana. Carta universiti-universiti terhebat di dunia jelas didominasi barat. Kemajuan sains dan teknologi sentiasa dipelopori mereka. Namun sikap mereka pada agama jelas merosakkan segalanya. Penolakan pada agama bermula dengan sikap ekstrem gereja dalam menyekat kehidupan dan semangat keilmuan jelas melahirkan dualisme dalam pemikiran mereka. Oleh itu, umat Islam harus membina semangat budaya ilmu pada ciri ilmu yang sebenar. Tujuan pencarian ilmu adalah supaya kita jelas tempat duduk sesuatu perkara dalam mengelakkan diri dari berlaku zalim. Ilmu yang paling utama ialah ilmu mengenai Allah dan akhirnya meletakkan Allah sebagai yang teratas dalam hieraki kehidupan. Kita mengangkat dua sumber utama dalam ilmu iaitu al-Quran dan Sunnah dan menerima rasional akal tetapi harus dipandu oleh dua sumber utama itu. Berbeza dengan barat yang wujud golonngan ekstrim seperti golongan empirisme yang ekstrem pada ruang fizikal dan menafikan agama dan rasionalisme pula ekstrem pada kegiatan akal sahaja dan menolak wahyu. Mahasiswa yang ingin berperanan kepada masyarakat harus tidak terjerat dalam kekeliruan-keliruan konsep ilmu supaya tidak mengelirukan pula masyarakat di luar.
Satu lagi ciri budaya ilmu yang tidak harus dilupakan adalah kefahaman kepada konsep fardhu ain dan fardhu kifayah. Had umur yang pendek tidak memungkinkan seseorang itu mengetahui semua perkara. Pembahagian ilmu ini bukanlah pembahagian yang terpisah tetapi sesuatu kesepaduan. Setiap mahasiswa itu wajib mengetahui segala yang perlu dan asas dalam kehidupan sehariannya seperti pemahaman mendalam pada rukun islam dan rukun iman. Pada fadhu kifayah pula akan berlaku pembahagian tugas dan pengkhusas peranan dalam sesuatu ilmu. Mahasiswa yang faham budaya ilmu harus mendalami kedua-duanya, fardhu ain dan mempunyanyai pengkhusasan pada ilmu fardhu kifayah. Ini penting supaya mahasiswa itu terpandu oleh ilmu fardhu ainnya dan mempunyai peranan khusus dari ilmu fardhu kifayahnya. Seorang mahasiswa yang mengambil subjek ekonomi harus mengetahui asas-asas fardhu ain dan sedang mengkhusus dalam bidang ekonomi kerana peranan besar yang dimainkan kelak sebagai pakar ekonomi tetapi kefahaman mendasar pada ilmu fardhu ain akan meletakkan mahasiswa itu sebagai pakar ekonomi yang tidak meletakkan material (baca; kekayaan) sebagai tujuan hidup. Kita akan mendapat sebuah kerjasama yang strategik dan harmoni dari konsep ini.
Kita semua sedia maklum dengan peribahasa ‘melentur buluh biar dari rebungnya’ namun sisi perbincangan yang jarang diambil dari peribahasa ini adalah pada persoalan kompetensi orang yang ingin melentur ini. Ditakuti akan tersalah lentur maka tidak guna jika dilentur seawal rebung pun. Mahasiswa yang lengkap dengan kefahaman ilmu akan bersedia untuk berperanan pada masyarakat. Sudah tentu perubahan pada diri disebabkan oleh budaya ilmu ini akan dibawakan juga kepada masyarakat. Misi membawakan semangat budaya ilmu ke dalam masyarakat harus diturunkan pada taraf yang sesuai untuk masyarakat. Akhirnya kita akan mendapat sebuah masyarakat dan negara seperti yang kita jelaskan dari definisi budaya ilmu tadi, iaitu segala tindakan didahulukan dengan ilmu, tidak dilihat dari kaca mata emosi, partisan dan rasional sahaja seperti yang berlaku kini.
Manifestasi dari kefahaman ilmu yang sebenar akan menghasilkan manusia yang beradab. Kita sudah melihat manusia yang cetek ilmunya akan terkeliru dengan tindakannya. Mahasiswa yang tercerah harus membetulkan situasi ini.seperti yang diungkapkan Prof Wan, “orang yang tidak beradab kerana keliru, pemusnahan hutan dikatakan harga yang harus dibayar untuk kemajuan, korupsi akhlak dan ekonomi dimaafkan sebagai lumrah kehidupan moden, kedayusan moral disebut sebagai toleransi.” Inilah peranan mahasiswa. Ketidakadilan dan kezaliman dalam masyarakat diselesaikan dengan ilmu bukan emosi, hujah bukan gaduh, hikmah bukan gopoh.
Tamsilan yang dinyatakan oleh Prof Syed Naquib al-Attas bahawa umat islam seperti cermin. Cermin yang memantulkan cahaya suci Islam. Kita harus memastikan kita mempunyai cermin yang baik supaya kita tidak memantulkan cahaya yang salah dan memberikan gambaran yang salah tentang agama kita. Akhirnya segala indeks yang kita nyatakan di atas dapat diterbalikkan kedudukannya kerana segala penawarnya ada dalam prinsip Islam yang boleh ditemui dengan ilmu.
Konklusinya, mahasiswa harus melihat diri mereka berperanan besar dalam mengubah masyarakat juga negara. Mengubah masyarakat dengan pembugaran budaya dan semangat ilmu dengan mewujudkan semangat budaya ilmu pada diri dahulu. Mempersiapkan diri dengan ilmu yang sebenar, juga jelas pada ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Akhirnya masyarakat yang hidup dengan ilmu akan melahirkan sebuah kehidupan penuh adab yang tahu tempat duduk sesuatu perkara.
ARIF ALWAN
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Kampus UIAM Kuantan