Ramadhan adalah bulan yang mulia bagi umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira bangsa, tempat, warna kulit dan sebagainya. Ianya disambut dengan perasaan gembira oleh umat Islam di seluruh dunia yang mengerti nilai-nilai di sebalik Ramadhan. Sebagai umat Islam, Ramadhan itu sendiri tersirat mesej yang penting untuk dihayati. Ia bukan hanya sekadar tidak boleh makan dan minum di siang hari tetapi mengajar kita menghayati nilai-nilai kemanusiaan di dalamnya. Firman Allah SWT:-
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”
(Al-Baqarah ayat 183)
Manakala Hadis Rasulullah S.A.W melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa’i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:-
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan.”
Rasulullah S.A.W sendiri mengajarkan kita ketika di bulan Ramadhan untuk membantu insan-insan yang tidak berkemampuan atas dasar persaudaraan sesama agama mahupun manusia. Kemanusiaan adalah sesuatu yang wujud dalam diri manusia secara azali dan dikongsi oleh makhluk Allah yang dinamakan insan. Kita semua suka melihat insan lain gembira, kita gemnira apabila melihat orang lain ketawa dan terkesan hati kita apabila melihat kedukaan yang dialami orang lain. Maka sebagai seorang Islam yang mengakui menyembah Allah yang sebenar-benarnya seharusnya kita yang mendahului dalam usaha-usaha kemanusiaan dan memulakan inisiatif untuk membantu insan yang kurang bernasib baik.
Umat Islam walaupun hidup di berlainan negara, rasa ukhuwwah itu tetap wujud dan terjalin atas dasar aqidah yang sama. Islam memandang tinggi kepada manusia secara umumnya tanpa mengira muslim atau bukan muslim, hamba atau merdeka. Ramadhan adalah bulan yang sesuai untuk kita melakukan refleksi atas apa yang kita lakukan sebelum ini. Selain puasa, ibadah lain seperti terawih, tadarus Al-Quran, zakat, tahajjud dan lain-lain lagi seharusnya menjadikannya perkara paling ampuh untuk mengingatkan kita sebagai seorang manusia yang mempunyai sifat individual, mempunyai hak asasi, kepentingan juga harus mempunyai kepedulian sosial tentang hak, keperluan dan kemahuan orang lain.
Persoalan disini ialah umat Islam negara-negara yang lain, sejauh manakah bantuan yang kita berikan atas dasar kemanusiaan saudara-saudara kita yang berada di Syria yang saban hari berlaku pembunuhan. Begitu juga di Rohingnya, Burma yang berada dalam ketakutan dan dibunuh oleh rejim zalim. Bagaimanakah saudara-saudara kita Somalia dan Sudan yang ditimpa kebuluran dan perang saudara? Bukan sahaja umat Islam di negara lain, bahkan dalam negara kita sendiri pun kadang kala kita terlepas pandang, orang miskin, merempat, pengemis yang meminta sedekah dan pelbagai kesusahan lain yang memerlukan bantuan kita. Selain itu juga, adakah kita prihatin pada insan yang bukan seagama dengan kita? Contohnya, andai kita melihat rumah-rumah dan sekolah-sekolah di estet-estet milik orang India bukan Islam, adakah kita berasa bahawa kita patut membantu mereka? Jika kita melihat keluarga orang beragama Buddha kebuluran dan dalam keadaan daif, adakah kita merasa kasihan kepada mereka? Ada di kalangan Bumiputera di Sabah Sarawak yang mengalami masalah kekurangan kemudahan asas seperti air bersih dan tempat tinggal. Adakah kita merasa kasihan kepada mereka? atau kita tidak kisah kerana pada diri kita, orang Islam lebih layak dibantu. Walaupun mereka tidak seagama dengan kita tetapi inilah yang dituntut oleh Saidina Ali Karamallahu Wajhah apabila ditanya mengenai persaudaraan sesama insan ataupun Akhukum fil Insaniah.
Ingin sekali ditegaskan prinsip dan tindakan adalah dua perkara yang berbeza, dan tidak seharusnya disekalikan. Secara prinsip semua orang patut dibantu tidak kira samada ianya Muslim atau bukan Muslim, tetapi kerana kekangan-kekangan yang ada dan kerana kita manusia, maka kita mungkin tidak dapat membantu semua orang. Tidaklah bermakna jika begitu, kita tidak menanam cita-cita untuk membantu semua orang, cumanya kita perlu bertindak berdasarkan Aulawiyyat dan juga dalam kapasiti kita. Oleh itu, soalan-soalan diatas adalah soalan prinsip, bukan soalan tindakan. Secara prinsipnya, berapa ramai antara kita melihat orang bukan Islam di Malaysia yang kurang bernasib baik sebagai golongan yang perlu dibantu?
Andai kita percaya pada keadilan sejagat, dan andai kita yakin bahawa kita ialah umat yang terbaik yang diturunkan ke muka bumi, mengapa kita seolah-olah tidak mengendahkan nasib golongan bukan Islam, di bumi dimana majoritinya umat Islam? Penderitaan yang dirasakan orang lain seharusnya dirasakan kita bersama. Saling memberi dan menerima, saling menghormati, saling membantu, saling mengingatkan dan saling mengajak ke arah kebaikan. Bulan Ramadhan adalah bulan kebajikan. Sifat dan proses pendidikan jiwa yang telah Allah SWT aturkan amat secucuk dengan fitrah dan jiwa kemanusiaan itu sendiri. Rasululah S.A.W bersabda:-
“Tidak beriman orang yang tidur semalaman dalam kekenyangan, sementara jirannya tidak boleh tidur kerana kelaparan dan dia mengetahuinya”
(Hadith riwayat Al Bazzar)
Inilah di antara sifat kemanusiaan yang diajar di dalam madrasah tarbiyyah Ramadhan kepada kita dengan mengambil berat terhadap kesusahan orang lain, bekerjasama dan kuat menguatkan di antara anggota masyarakat, bersifat perihatin, suka membantu tanpa mengharapkan sesuatu balasan dan sebagainya. Dalam khutbah terakhir sebelum wafat, Nabi Muhammad S.A.W juga menyatakan sebagai berikut:
“Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa
Tidak ada kelebihan seorang Arab di atas bukan Arab
dan tiada pula seorang bukan Arab sebarang kelebihan di atas Arab
Orang berkulit putih pun tak lebih mulia dari berkulit hitam
dan tidak pula si hitam memiliki apa kelebihan di atas si putih
Kecuali dengan taqwa dan amal baik
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada semua Muslim dan bahawa
Muslim seluruhnya bersaudara”
Inilah di antara sifat kemanusiaan yang diajar di dalam madrasah tarbiyyah Ramadhan kepada kita mengambil berat terhadap kesusahan orang lain, bekerjasama & kuat menguatkan di antara anggota masyarakat, bersifat perihatin, suka membantu tanpa mengharapkan sesuatu balasan dan sebagainya. Moga Ramadan kali ini benar-benar melunakkan jiwa dan melembutkan nafsu kita untuk menghidupkan aspek kemanusiaan ini sepanjang perjalanan hidup kita.
Muhammad Afiq Asyraf Bin Soepirman
Penolong Setiausaha Agung,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sesi 2012/2013