Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Pasca-Islamisme: Antara Kewaspadaan dan Pendekatan

GOMBAK, 23 Feb: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) hari ini mencipta sejarah sebagai antara persatuan pelajar terawal di Malaysia yang membincangkan secara mendalam tentang isu pasca-Islamisme.

Di bawah kelolaan Jabatan Massa PKPIM dan Generasi Enam PKPIM Kampus UIAM (Gen-6), penganjuran wacana intelektual Sekolah Massa: Forum Lorong Tengah (FORLOT) dengan topik “Fenomena Arab-Spring, Pasca-Islamisme dan Timbangtara Untung-Rugi” dilihat sebagai suatu kebanggan untuk mahasiswa keseluruhannya.

Menurut Ahmad Afif Mohtari Yasim, penganjuran wacana dan medan diskusi dengan membawa tajuk ‘berat’ seperti ini merupakan suatu yang sudah menjadi agak asing di universiti. Tambah beliau lagi, budaya hedonisme yang menjalar dalam kampus telah memakan sendi intelektualisme mahasiswa yang seharusnya berupaya membentuk kelompok ilmuwan yang berfungsi dan tercerah.

Wacana ilmiah ini diteraju oleh Mohammad Fazril Saleh selaku moderator yang ditemani oleh tiga orang panelis iaitu Jufitri Joha (Naib Presiden Antarabangsa Angkatan Belia Islam Malaysia), Saudara Haris Zalkapli (Penganalisis Politik Antarabangsa) dan Saudara Nasir Mohd Tap (Akademi Kajian Ketamadunan). Mohammad Fazril merupakan Penolong Setiausaha 1 PKPIM.

Berbekalkan lima kata kunci iaitu Arab Spring, Pasca-Islamisme, Gerakan Islam, Politik Islam dan Dakwah & Cita-cita Ummat, perbincangan dimulakan dengan perbincangan situasi semasa yang berlaku di Timur Tengah dan punca kepada tercetusnya peristiwa yang dikenali sebagai Arab Spring.

Bagi pandangan Jufitri, revolusi tanpa pemimpin (leaderless revolution) yang berlaku di itu, merupakan kebangkitan rakyat yang muncul akibat dua faktor utama iaitu faktor ekonomi dan faktor agama.

Manakala, bagi Haris Zalkapli, beliau melihat situasi pergolakan yang berlaku di Timur Tengah dalam naratif yang lebih pesimis.

“Apa yang berlaku di Timur Tengah juga ada kaitan dengan konsensus media dan permainan politik serantau”. Beliau turut mendedahkan beberapa sikap yang agak menghairankan yang diambil oleh kelompok tertentu seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang seolah-olah mengambil kesempatan atas kebangkitan rakyat yang berlaku.

Nasir Mohd Tap pula mengaitkan kebangkitan yang berlaku di Timur Tengah dan tindakan pragmatik sesetengah gerakan Islam dalam mengisi vakum selepas revolusi sebagai suatu pendekatan yang mungkin agak berbeza dengan cara-gaya ‘Islamis’ sebelum ini. Namun, beliau menafikan penggunaan istilah ‘pasca-Islamisme’ digunapakai bagi merujuk pendekatan tersebut.

Bagi beliau, pendokong gerakan Islam dunia moden seperti Hassan al-Banna (Ikhwan al-Muslimin) dan Abul Ala Maududi (Jama’at Islami) sendiri tidak pernah menggelarkan diri mereka Islamis, masakan pula ada kelompok pasca-Islamis. Walau bagaimanapun, beliau bersetuju dengan pandangan Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang sebelum ini pernah menyatakan penggunaanj istilah ‘pasca’ atau ‘post’ itu merujuk kepada suatu keadaan yang masih dalam perkembangan dan belum pasti; dalam konteks pasca-Islamisme, perubahan tindakan oleh gerakan Islam semasa mempamerkan suatu aksi yang agak janggal berbanding pendekatan gerakan Islam sebelum ini.

Bagi Haris Zalkapli, wacana pasca-Islamisme didominasi oleh pemikiran dan tesis Asef Bayat, walaupun ada academia yang lain seperti Olivier Roy yang cuba menginterpretasi ide Pasca-Islamisme mengikut citranya tersendiri. Menurut Haris, bagi Asef Bayat, pasca-Islamisme merupakan suatu pendekatan yang ‘inevitable’ dan perlu diasimilisasikan kepada gerakan Islam kontemporari. Walau bagaimanapun, tanpa secara jelas menyatakan pendiriannya, Haris berjaya menjelasan latar wacana kepada para penonton.

Dalam menjawab soalan moderator dan penonton berkaitan semangat zaman dan proses akomodasi oleh gerakan Islam, Jufitri meletakkan beberapa prinsip utama dalam Islam yang penting dalam usaha berbicara isu ini. Dua prinsip utama yang merupakan cirri-ciri Islam itu sendiri ialah ‘thawabit’ (perkara yang tetap) dan ‘murunah’ (perkara yang fleksibel). Beliau juga turut menyentuh tentang tujuan-tujuan syariah (maqasid al-Syar’iyah) yang wajar difahami sebelum tindakan-tindakan pragmatis diambil.

Ketegangan berlaku antara Nasir Mohd Tap dan Jufitri apabila kedua-dua panel kelihatan berselisih pandangan ketika membincangkan pendekatan pasca-Islamisme sebagai pendekatan pragmatis yang harus diambil oleh gerakan Islam khususnya dalam aspek politik dalam negara. Bagi Nasir, gerakan Islam harus bijak dan berhati-hati dalam tindakan-tindakan mereka apabila berdepan dengan gelombang liberalism agar tidak larut dan terjerat dalam permainan politik semasa.

Nasir menyatakan, liberalism melahirkan pendekatan-pendekatan pragmatis yang dikaitkan dengan pasca-Islamisme ini. Manakala Jufitri mempertahankan tindakan-tindakan gerakan Islam yang dilihat agak liberal sebagai strategi dakwah dan bukan matlamat.

Walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ahli panel, wacana diakhiri dengan tiga resolusi yang disepakati oleh keseluruhan hadirin. Resolusi-resolusi tersebut ialah: setiap orang harus mengamalkan budaya ilmu dan berakhlak mulia, setiap orang harus memperbanyakkan pembacaan, pengkajian dan perbincangan yang kritis dan bersifat analitik seterusnya menjadi kuasa pengimbang kepada kuasa politik dalam Negara dan setiap orang perlu mendoakan kesejahteraan umat Islam di Negara bergolak dan mendoakan yang terbaik umat keseluruhannya.

Diskusi berlangsung di EDU LR6, Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan dihadiri oleh lebih 60 orang mahasiswa UIAM dan luar. Wacana berlangsung selama lebih dua jam dan rakaman wacana ilmiah ini boleh diakses di http://www.ustream.tv/channel/pkpim-media.

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)