Puasa mirip suatu rahsia (sirr) yang sukar untuk dibongkar kerana, berbeza dengan ibadat-ibadat yang lain, ia tidak mempunyai bentuk-bentuk perlakuan yang boleh diperhatikan. Sebagai contoh, ketika bersembahyang, seseorang itu memang melakukan beberapa gerakan atau perbuatan yang mudah dilihat, seperti ruku’ dan sujud. Tetapi dalam kes puasa, selain daripada ketulusan niat yang sememangnya hanya Tuhan sahaja yang boleh menilik dan menilainya, yang diperlukan hanyalah kekangan diri dari keseronokan-keseronokan jasmaniah semata-mata (al-imsãk al-mujarrad). Sememangnya tidak jelas kelihatan unsur-unsur yang secara positif membentuk puasa (muqawwim). Dengan kata lain, ‘puasa tidak memiliki apa-apa rupa-bentuk dalam kewujudan’ (anna al-sawm Ia sürah lahufi al-wujüd). Jika tidak dikhabarkan kepada orang lain, tiadalah diketahui sama ada seseorang itu sedang berpuasa atau tidak. Oleh yang demikian, puasa benar-benar menyempitkan peluang untuk riyã’ sedangkan pintu gerbang untuk seseorang mengabdikan diri sepenuh dan setulennya kepada Tuhan terbuka seluas-luasnya. Justeru, dalam satu hadis Nabi disebut bahawa ‘Tiada riya dalam puasa.
Puasa Sebagai Upaya Mendekati Allah
Antara sifat-sifat ketuhanan adalah tidak memerlukan makanan, minuman dan kelazatan-kelazatan jasmaniah, walaupun Tuhanlah yang memberi makan, minum dan segala-galanya kepada ciptaanNya. Dengan kata lain, salah satu daripada Nama-Nama Allah adalah al-Samad, yakni, hanya Dia sanya yang Mahakekal lagi diperlukan dan tiadalah Dia memerlukan yang lain. Dalam Lisan al-`Arab susunan ibn Manzur, ada dinukilkan makna al-samad sebagai ‘seorang yang tidak makan.’ Bahkan, di kalangan orang-orang Arab, al-samad turut digunakan untuk merujuk kepada lelaki yang berketahanan luar biasa, tiada dahaga dan lapar dalam peperangan yang berlarutan(4).
Sehubungan hal ini, Imam ‘Abd al-Wahhãb al-Sha’rani menjelaskan dalam karyanya al-Fath al-Mubin fi Jumlah min Asrar al-Din bahawa satu daripada sifat-sifat ketuhanan adalah memberi makan dan sekaligus tidak memerlukan makanan. Dalam Hadis Qudsi di atas, puasa itu dinisbahkan kepada diriNya kerana sememangnya tiada suatupun yang selayaknya bersifat dengannya secara yang mutlak melainkan Allah, bahkan Mahasuci Dia daripada berkehendakkan segala macam keperluan dan syahwat. Menurut beliau lagi, Allah menyeru para hambaNya agar bersifat dengan sifat-sifatNya dalam pengabdian mereka kepadaNya mengikut kadar kemampuan masing-masing.
Justeru puasa turut diishtiharkan Nabi sebagai perisai (junnah) bagi manusia kerana puasa berperanan menahan manusia daripada diperhambakan oleh shahwatnya sedangkan shahwatlah antara wahana utama shaitan dalam membuka laluan seluas-luasnya ke Neraka. Ringkasnya, puasa adalah perisai daripada shahwat; shaitan dan Neraka.
Sehubungan dengan ini al-Sha’rãni menyatakan,
‘Allah mewajibkan puasa atas hambaNya sebagai penewas shahwat dan pemutus kepada jalan-jalan pengabdian kepada segala sesuatu selain Allak Sekiranya manusia dibiarkan berterusan hidup terikat dengan keperluan-keperluan harian mereka nescaya semua itu akan memperhamba dan mengikat mereka dan seterusnya memisahkan mereka sama sekali dan Sang Pencipta. Puasa menutup punca-punca pengabdian kepada selain Allah dan membebaskan manusia daripada belenggu shahwat dan objek-objeknya kerana yang sebenarnya dikehendaki adalah manusia menjadi penguasa dan pemilik ke atas semua itu dan bukanpula hal sebaliknya.’(7)
Usaha melemahkan musuh Allah ini pada hakikatnya merupakan usaha menolong (agama) Allah. Seperti yang dijanjikan dalam al-Qur’an, tindakan murni sebegini akan dibalas Allah dengan bantuan daripadaNya. (Muhammad: 7) Oleh itu, sesuai dengan firman Allah dalam al-Qur’an (al-‘Ankabüt, 69), puasa itu dimulakan dengan kesungguhan dan usaha keras daripada pthak hambaNya, manakala balasan berupa Hidayah adalah daripada Allah.
Sebenarnya, selain mengekalkan maksud asal puasa sebagai ‘penahanan dan kawalan diri’, agama Islam turut menjadikannya satu istilah khusus dengan ma’na-ma’na tambahan. Malah, tidak berlebihan jika disimpulkan bahawa agama Islam, selain mengakui adanya beberapa macam ketahanan, turut memberikan dimensi keamatan (atau intensiti) kepada bentuk ketahanan yang diperlukan. Dalam apa pun perjuangan, daya ketahanan adalah antara sharat-sharat penentu kejayaan. Daya ketahanan ini lazimnya diungkap dalam agama sebagai sabar. Semakin lama seseorang itu mampu bertahan bertambah tinggilah kebarangkalian untuknya menguasai medan pertarungan dan memenangi persaingan. Sekurang-kurangnya terdapat tiga jenis ketahanan:
(1) puasa orang-orang awam, yakni usaha menahan diri daripada desakan keinginan perut kemaluan;
(2) puasa kalangan yang khusus, apabila seseorang itu turut mengawal seluruh anggota tubuh badannya daripada perkara-perkara yang diharamkan, seperti menahan mata daripada melihat hal-hal yang mengghairahkan dan mengawal telinga daripada mendengar perkara-perkara yang keji dan tercela; dan
(3) puasa golongan yang lebih khusus, ketika mana seseorang itu berjaya mengawal diri seutuhnya yakni hati dan kesedarannya — daripada segala sesuatu selain Allah dan hal-hal yang mendekatkan dirinya kepada Allah. Menyedari betapa bernilainya puasa ini, Imäm al-Ghazäli berpesan,
‘Ulama-ulama yang ahli dalam urusan akhirat memahami bahawa puasa bertujuan agar manusia berakhlak dengan salah satu daripada Akhlak-Akhlak Allah, iaitu al-Samadiyyah, dan supaya rnanusia mencontohi para malaikat dalam hal menahan din daripada shahwat sejauh yang dimungkinkan; kerana sesungguhnya malaikat itu memang sentiasa terpelihara daripada runtunan shahwat. Kedudukan manusia itu di atas binatang buas kerana kemampuannya untuk menewaskan shahwat dengan cahaya akal, dan di bawah tingkat malaikat kerana ada kalanya shahwat itu menguasainya dan tiadalah ia sarna sekali bebas daripada bertarung dengan shahwat.
Sekiranya ía tenggelam dikuasai oleh shahwatnya maka jatuhlah ia ke tahap yang serendah-rendahnya dan terjerumuslah ia kelemasan dalam kebuasan kebinatangan; manakala jika ia berjaya mengendalikan shahwatnya, naiklah ía ke makam yang terunggul dan tercapailah olehnya akan ufuk malaikat. Malaikat-malaikat itu hampir benar dengan Allah s.w.t. dan barang siapa yang menyerupai mereka serta mencontohi perilaku-perilaku mereka nescaya hampirlah ia dengan Allah, sama seperti dekatnya malaikat-malaikat tersebut. Sesungguhnya apa sahaja yang menyerupai sesuatu yang hampir itu adalah juga hampir. Kehampiran di sini bukan bermaksud ‘tempat’ tetapi ‘kualiti peribadi‘.(8)
1. Hadis ini, meskipun akhirnya membawa makna yang sama, mempunyai berbagai jalan periwayatan dan bentuk lafaz. Versi yang dipetik ini adalah daripada Riyad al-Salihin min Kalãm Sayyid al Mursalin, susunan lmãm Muhy al-Din Abu Zakariyyã Yahya al-Nawãwi
2 Untuk huraian lanjut tentang hal ini, sila lihat Mohd. Zaidi b. Ismail, “The Sources of Knowledge in Al-Ghazali: A Psychological Framework of Epistemology” (Tesis Sarjana, ISTAC, Ogos 1995), Bab 4,84-85. Hubungan antara zikir, iktibar, dan peristiwa Isra’-Mi’raj telahpun dijelaskan oleh penulis dalam makalahnya yang disiarkan dalam Massa (21.10.2000, hIm. 58-59), Utusan Malaysia (Rabu, 25.10.2000), Berita Harian (Selasa, 31.10.2000).
3.Ketiga-tiga penjelasan yang diberikan dalam makalah ini adalah ringkasan kepada rumusan-rumusan yang dipetik daripada karya-karya agung berikut: Imam al-Ghazali, Ihyã’ ‘Ulum al-Din, bersekali dengan al-Mughni ‘an Haml al-Asfar fi’l – asfar fi Takhrij mafilt-Ihya’ mina’l-Akhbdr karangan Zayn al-Din ‘Iraqi, 5 jilid (Beirut: Dar al-Kutub al-’llmiyyah, 1986), dipetik selepas ini sebagai Ihya, I : 274; Muhammad b. Muhammad al-Husaini al-Zabidi, Ithaf al-Sãdah al-Muttaqin bi Sharh Ibya’ ‘Ulum al-Din, l4 jilid (Beirut: Dar al Kutub al-’llmiyyah, t.1), 4: 311ff.; Ahmad b. ‘Ali ibn Hajar al ‘Asqalani, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhãri suntingan ‘Abd al-’Aziz bin Bãz, 15 jilid (‘Amman: Maktabat al-Risãlah al-Hadithah, 1997). 4: 138ff.; Shihãb al-Din Ahmad b. Muhammad al-Qastalani, Irshad al-Sari Ii Sharh Sahih al Bukhari, bersekali dengan sharah Imam al-Nawãwi atas Sahih Muslim, 10 jilid (Beirut: Dar al-Kitãb al-’Arabi, 1983), 3: 346 dan 5: 135ff.; ‘Ali b. Sultan Muhammad al-Qari, Min Mirqãt: aI-Mafatiiz Sharh Mishkät al-Masabih, 5jilid (Beirut: Dar Ihya’ al Turath al-’Arabi, t.t ), 2: 294ff.; dan ‘Allamah Muhaimad b. ‘Allan al-Makki al-Shäfi’i, Dalil alFãlihinl i 7uruq Riyãd al-Salihin, semakan Khalil Ma’mun Shiha, 8jilid dalam 4 buku (Beirut Dãr al-Ma’rifah, 1994), 7: 23ff..
4. Ibn Manzur, Lisan al-’Arab, 18 jilid (Beirut Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi, 1992), 7: 404ff., kata masukan “s-m-d”.
5. Imam ‘Abd a1-Wahhãb al-Sha’rãni, al-Fath al-Mubin fi Jumlah min Asrar al-Din (dikenali juga sebagai Asrãr Arkan al-Islam), suntingan ‘Abd al-Qãdir Ahmad ‘Ata (Beirut: Där al-Kutub al‘llmiyyah, 1999), dipetik selepas ini sebagai al-Fath al-Mubin, 47.
6 Untuk rujukan lanjut berkenaan kata-kata mashhur yang dinisbahkan kepada junjungan Nabi yang mulia ini , sila lihat Mohd. Zaidi bin Ismail, “Tadbir and Adab), as Constitutive Elements of Management: A Framework for an Islamic Theory of Management,” Al-Shajarah: Journal of the International Institute of Islamic Thought and Civilization (JSTAC) 5, bil. 2 (2000), 311—2 note 18.
7. Al-Fath al-Mubin, 47.
8 Ihyã’, 1:279.