Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Memorandum Halatuju Pendidikan Nasional & Masa Depan Negara Dalam Konteks Bahasa Melayu Dan Persekolahan Kebangsaan

MEMORANDUM HALATUJU PENDIDIKAN NASIONAL & MASA DEPAN NEGARA DALAM KONTEKS BAHASA MELAYU DAN PERSEKOLAHAN KEBANGSAAN

Pendahuluan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang termaktub dalam Akta 550 – Akta Pendidikan 1996 dengan jelas menyatakan: “Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”.

Frasa ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai definisi pendidikan yang ditunjangi falsafah yang tersendiri dan termaktub secara rasmi dalam undang-undang negara. FPK yang mendefinisikan pendidikan sebagai usaha berterusan memperkembang potensi individu harus difungsikan sepenuhnya dalam dasar dan pengalaman pendidikan di Malaysia.

Banyak isu berkaitan pendidikan diwacanakan dalam kalangan pelajar dan mahasiswa. Walau bagaimanapun, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebagai sebuah pertubuhan yang mewakili para pelajar di peringkat kebangsaan, dalam kesempatan ini  memberi penekanan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pengantar dalam sistem pendidikan di Malaysia dan sistem Sekolah Kebangsaan sebagai sistem persekolahan nasional yang mengukuhkan integriti dan perpaduan kebangsaan.

Nilai Ilmu Dalam Citra Kemalaysiaan dan Perpaduan Nasional 

Usaha mencipta kecemerlangan wajar bermula dengan mengenal potensi diri, menemukan nilai-nilai dasar yang menerasi watak dan budayanya. Dalam konteks Malaysia, antara nilai-nilai tradisinya yang terpenting ialah nilai ilmu. Nilai ilmu ini pada hakikatnya terkait erat dengan citra kebudayaan rantau ini yang terpamer pada bahasa, persuratan dan kebudayaan Melayu Islam serta kesepakatan kontrak sosial yang tolerans antara kaum dalam menciptakan sistem pendidikan yang bercitra keMalaysiaan yang mampu membina perpaduan nasional dan akhirnya mampu menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran individu, kelurga, masyarakat dan umat manusia sejagat.

Amat menyedihkan, pada saat keghairahan mengejar status negara maju dengan segala macam agenda transformasi cuba dilaksanakan, pendidikan seolah-olah dianaktirikan. Saharusnya, dasar pendidikan menjadi asas kepada dasar pembangunan negara. Namun, dewasa ini, hakikat yang tidak ternafi ialah pendidikan dipandu oleh keghairahan ekonomi, pembangunan dan kemajuan lahiriah. Justeru, merujuk kepada Akta Pendidikan 1996, disarankan agar Kerajaan Malaysia kembali sedar dan insaf bahawa ‘ilmu itu adalah penentu utama arah tujuan negara dan penyelamat bangsa’.

Penegasan Terhadap Bahasa Melayu dan Sistem Persekolahan Kebangsaan 

PKPIM ingin menegaskan bahawa segala dasar dan praktik pendidikan harus ditunjangi oleh beberapa teras dalam perakuan Akta Pendidikan 1996 iaitu seperti berikut:

a)         Ilmu sebagai asas pembangunan individu, masyarakat, negara dan tamadun. Usaha penyelidikan adalah penting untuk membina ilmu-ilmu baharu dan peningkatan kualiti hidup manusia di samping tidak menafikan kepelbagaian potensi setiap manusia.

b)         Dasar Pendidikan Kebangsaan berpaksikan Falsafah Pendidikan Negara yang berfokus kepada pembangunan individu manusia yang komprehensif dan seimbang dan juga kepada pembangunan warganegara yang bersemanat tinggi dan komited dalam menyempurnakan peranan dan tanggungjawab mereka mebina negara bertamadun maju.

c)         Suatu sistem persekolahan dan pendidikan kebangsaan yang menegaskan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama, pembinaan budaya dan masyarakat Malaysia yang bersatu padu berpandukan prinsip-prinsip Rukun Negara.

d)         Kejayaan Dasar Pendidikan Kebangsaan bersandar kepada pengajaran yang berkesan dan cekap, kaedah perbelanjaan yang berhemah, dan semangat demokrasi apabila murid-murid mendapat didikan di sekolah.

Selain itu, PKPIM sekali lagi menegaskan Bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu, bahasa pengantar utama di sekolah dan bahasa penyatu kaum-kaum di Malaysia dalam dasar dan pengoperasian. Sehubungan dengan itu, dasar dan pengamalan pendidikan yang jelas bercanggah dengan segala yang diutarakan di atas ini adalah wajar untuk dimansuhkan. Justeru, PPSMI dan cadangan penubuhan sekolah aliran Inggeris adalah suatu yang tidak diperlukan kerana secara jelas tidak lumayan dan menguntungkan pendidikan di Malaysia. Walau bagaimanapun, dasar baru seperti MBMMBI disambut baik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu tanpa menafikan peranan dan kepentingan bahasa-bahasa lain. Bahasa dan persuratan Melayu yang kaya dengan nilai ilmu dan terbukti dalam sejarah mampu menyatukan bangsa-bangsa di Malaysia wajar dipertahankan dan dimartabatkan dengan seadilnya.

Cadangan

Menyedari hakikat masalah-masalah fundamental yang tersirat di sebalik persoalan Bahasa Melayu dan Sistem Persekolahan Kebangsaan, kami ingin mengemukakan cadangan-cadangan umum seperti berikut:

1.         Untuk mempastikan pendidikan tidak akan kehilangan esensi hakikinya sebagai proses pengutuhan manusia dan proses sosialisasi nilai Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu difungsikan sepenuhnya sebagai landasan penggubalan kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, dan seluruh kegiatan persekolahan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dimartabatkan semula dan dihayati secara yang lebih bererti dalam penggubalan kurikulum dan proses pengajaran dengan menekankan dimensi-dimensi penerapan nilai-nilai murni, pengembangan potensi, kesepaduan, keseimbangan dan keharmonian.

2.         Untuk mengembalikan pendidikan kepada esensi, fungsi dan misi hakikinya, istilah pendidikan harus digunakan semula menggantikan istilah pelajaran yang dipakai sekarang. Sesungguhnya istilah pendidikan jelas lebih kental, lebih padat, dan lebih tepat dari segi erti, isi dan substancenya.

3.         Pendidikan sebagai proses pembinaan generasi memang memerlukan masa yang panjang, tidak boleh diringkas-ringkas atau disingkat-singkatkan. Kenyataannya hari ini “tidak cukup masa” selalu dijadikan alasan untuk menjelaskan pelbagai kelemahan dan ketidakberkesanan dalam pengajaran dan aspek-aspek pendidikan lainnya. Besar kemungkinan alasan tersebut benar. Untuk mengatasinya kami sarankan agar kementerian mempertimbangkan semula idea persekolahan satu sesi yang pada suatu ketika dahulu pernah dibincangkan. Persekolahan satu sesi akan membolehkan penambahan masa untuk pengajaran dan pembelajaran, proses pengukuhan dan interaksi guru-murid.

4.         Untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan dan penghayatan bahasa dan kebudayaan, pengajaran Bahasa Melayu harus dirancakkan dengan penerapan nilai ilmu dan kebudayaan. Kreativiti dalam pengajaran Bahasa Melayu adalah amat diperlukan dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi dan pengoperasian makmal bahasa di sekolah masing-masing.

5.         Antara yang sangat memprihatinkan ketika ini ialah tahap penguasaan tulisan jawi dalam sistem persekolahan kita. Kelemahan penguasaan tulisan jawi akan mengakibatkan pendangkalan agama, di samping kehilangan khazanah persuratan warisan, ilmu dan wisdom kepujanggaan bangsa yang bertulisan jawi. Kerana itu kami menyarankan agar di samping meneruskan pengajaran jawi dalam subjek bahasa Melayu, tulisan jawi juga hendaklah digunakan seluas mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan Islam.

6.         Kerajaan harus tegas dengan pendirian, dasar-dasar utama dan persepakatan tentang Bahasa Melayu dan teras sistem persekolah Kebangsaan. Segala tuntutan dan cadangan yang menyalahi persepakatan ini adalah wajar untuk tidak dilayan.

7.         Untuk penambahbaikan sistem pendidkan arus perdana dan sistem persekolahan kebangsaan, mungkin ada kebijaksanaannya pihak kementerian melihat pelbagai eksperimen pendidikan alternatif yang dilaksanakan oleh badan-badan NGO, termasuk sistem persekolahan swasta yang berasaskan agama, menggunakan pendekatan bersepadu dan mengamalkan sistem persekolahan satu sesi. Berdasarkan sambutan hangat masyarakat mungkin ada kekuatan-kekuatan tertentu pada persekolahan alternatif tersebut yang dapat dipelajari dan dimanfaatkan.

Memorandum ini disokong oleh pertubuhan-pertubuhan pelajar Islam negeri-negeri seluruh Malaysia:

1.         PERSATUAN KEBAJIKAN PELAJAR ISLAM SARAWAK (PERKEPIS)
2.         KUMPULAN PEMBIMBING ISLAM TERENGGANU (KEPITAR)
3.         PERSATUAN PELAJAR ISLAM KELANTAN (PPIK)
4.         PERSATUAN PEMBIMBING ISLAM PULAU PINANG (PEMBIMBING)
5.         PERSATUAN PELAJAR ISLAM NEGERI SEMBILAN (PPINS)
6.         IKATAN PENGKAJIAN ISLAM PAHANG (IKATAN)
7.         KESATUAN PELAJAR ISLAM JOHOR (KPIJ)
8.         PERSATUAN PELAJAR ISLAM SELANGOR (PEPIAS)
9.         PERSATUAN PELAJAR ISLAM KEDAH (PERSIDA)
10.       SISWAZAH MUDA ABIM SABAH (SISMA)
11.       KESATUAN PELAJAR ISLAM PERAK (KPIP)
12.       PERSATUAN PELAJAR ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (PPIWP)
13.       PERSATUAN PELAJAR ISLAM MELAKA (PEPIM)

Memorandum ini disediakan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk diserahkan kepada Y.A.B. Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28hb Jun 2012.)

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)