Negara dihangatkan dengan video sambutan hari guru di SMK Subang Bestari yang mempersembahkan Bobo bersama beberapa orang guru dalam salah satu slot persembahan. Isu ini adalah sangat membimbangkan kerana sebagai salah seorang ikon yang terlibat dalam pembentukan modal insan para pelajar, sebarang aktiviti yang tidak membina nilai diri ini hanya akan membantutkan proses pendidikan di Malaysia.
Sebagai salah seorang guru, saya melihat proses penerimaan anak-anak murid kepada guru itu memerlukan para guru untuk menggunakan pendekatan yang interaktif. Namun demikian, ini bukan alasan untuk kita menggunakan method yang sewenang-wenangnya dan menyebabkan para pelajar keliru untuk mengambil nilai-nilai ilmu dari sosok seorang guru.
Pada hemat saya, guru tidak sepatutnya jadi seperti sebatang jarum. Menjahit segala jenis pakaian, tetapi dirinya sendiri sedang ‘tidak berpakaian’. Demikian juga kita sebagai seorang pendidik, jangan hanya sibuk mencurahkan ilmu dalam masa yang sama kita berkelakuan seperti orang yang tidak memiliki ilmu. Cadangan supaya setiap guru dapat mengikuti kelas-kelas kemahiran bersosial yang mana kita dapat mempelajari kaedah mendekati para pelajar dalam masa yang sama masih di landasan adab, budaya dan agama.
Saya berharap supaya pihak yang bertanggungjawab dapat melihat isu ini sebagai isu serius untuk ditangani. Dalam misi membangunkan agenda pendidikan negara, setiap pihak harus memainkan peranan secara proaktif. Perkara terakhir yang para pelajar perlukan adalah suasana kebanjiran idola tetapi kemarau tauladan dalam kalangan orang-orang dewasa di sekitar mereka.
“Guru : 1 Aspirasi, 1 Agenda”
‘ATIQAH SYAIRAH SHAHARUDDIN
Exco Latihan dan Pembangunan PKPIM
(Saudari ‘Atiqah Syairah merupakan seorang guru sains di SEMI Sg. Ramal, Kajang)