
KUCHING, 04 Feb: Bagi seorang Muslim, sudah pasti insan istimewa ini tidak akan pernah luput dari ingatannya. Nabi Muhammad Bin Abdulah sentiasa menjadi contoh ikutan, tauladan sepanjang zaman dan sumber inspirasi dan kekuatan umat. Bersempena 12 Rabiul Awal 1433H, anak-anak muda Sarawak di bawah Angkatan Belia Islam Malaysia cawangan Negeri Sarawak telah menganjurkan sambutan Maulidurrasul SAW ‘Malam Cinta Rasul’ malam ini, bertempat di Dewan Besar DBP Sarawak, di sini.
Program dengan kerjasama Cats.FM dan Majlis Islam Sarawak ini menampilkan ceramah dan persembahan-persembahan kreatif yang memanifestasikan kecintaan dan ingatan kepada Rasulullah SAW. Saudara Azizan Ajiji, Exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia diberi penghormatan mengendalikan sesi pertama Malam Cinta Rasul ini.
Antara persembahan menarik ialah ceramah Maulidurrasul oleh Ketua Biro Dakwah ABIM Pusat, Ustaz Hasri Harun, bacaan mauled dan qasidah pimpinan Habib Mustofa al-Sarawaki, persembahan pentomin oleh kumpulan Generasi Harapan, persembahan Nasyid oleh kumpulan Hawary dan penampilan istimewa oleh finalis Solehah TV9, Saudari Adibah Zulkefley.

Menurut pengarah program, Saudara Afiq Asyraf Soepirman, program malam ini merupakan tanda penghargaan anak muda terhadap jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW.
“Anak muda akan sentiasa mengambil semangat perjuangan Nabi SAW dalam meneruskan perjuangan mengerakkan dakwah dan menegakkan kebenaran dan keadilan untuk semua”, kata beliau ketika ditemuramah pemberita dan media. Beliau turut ditemuramah TV al-Hijrah dan program ini mendapat liputan di media massa baik di televisyen mahupun di akhbar. Seramai lebih 500 orang memenuhi dewan bagi mengikuti Malam Cinta Rasul anjuran ABIM Sarawak ini.