Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

JADIKAN SEKOLAH SEBAGAI LUBUK MELAHIRKAN PEMIMPIN

Seringkali sekolah dilihat tidak lebih dari sekadar peperiksaan dan akademik. Maka, berbagai-bagai nama dicipta bagi mencerminkan gahnya prestasi akademik di sekolah tertentu seperti ‘kluster’, ‘berprestasi tinggi’, sekolah sains dan bermacam jenis nama lagi. Malah, ada juga sekolah yang terlibat sebagai projek khas untuk pembangunan sukan terpilih seperti olahraga, bola sepak, sepak takraw dan lain-lain.

Pun begitu, dalam keghairahan mengasingkan kategori sekolah mengikut ‘niche area’ masing-masing, kita masih lagi terkial-kial mencari idea untuk mencapai pingat emas pertama di Sukan Olimpik sebagai contoh. Kalau pun harapan ditaruhkan kepada Dato’ Lee Chong Wei, beliau makin hari makin tua dimamah usia. Kekalahan dalam All England baru-baru ini kepada jaguh muda dari negara Tembok Besar adalah isyarat yang kesekian kali bahawa beliau sudah sepatutnya mempunyai pengganti yang jauh lebih bertenaga.

Tanpa menafikan hal-hal yang melibatkan sukan, akademik dan prestasi sekolah, hal yang lebih mustahak merangkumi sahsiah dan kepimpinan seawal usia di sekolah harus dititikberatkan. Tema sekolah yang dibangunkan atas dasar budi pekerti demi melahirkan akhlakulkarimah seperti kata Pak Harfan dalam filem yang berjudul ‘Laskar Pelangi’ harus diangkat sebagai identiti dan entiti kepada perjalanan harian sekolah.

Justeru, sekalipun sebahagian pelajar dilihat tidak cergas di atas padang atau guru menilai pelajar tertentu sebagai kurang pandai kerana bilangan A dalam peperiksaannya amat berkurang, pendidikan dalam sistem sebuah sekolah masih belum boleh dianggap gagal jika pelajar-pelajar yang dilihat tidak cemerlang tersebut masih punya budi pekerti, sopan santun dan tahu menjaga diri dengan akhlak yang terpuji. Tetapi, malangnya, seringkali juga pelajar-pelajar ini dikesampingkan dan dilayan ala kadar atas alasan tidak menyumbang kepada pencapaian sekolah. Itu belum diteliti kes pelajar yang sanggup membunuh diri hanya kerana tidak memperoleh bilangan A yang diharapkan.

Oleh yang demikian, wajar untuk kita sedar bahawa di sinilah titik kepincangan sistem pendidikan bermula. Pelajar dinilai atas tiket prestasi semata-mata. Mereka tidak lagi dilihat kepada keseluruhan potensi yang ada pada diri sendiri. Jadilah mereka tidak ubah seperti mesin-mesin di kilang yang hanya digunakan jika mampu beroperasi dengan baik. Fenomena yang seumpama ini akibatnya telah membuka pintu kepada kemusnahan makhluk yang bernama insan apabila mereka tidak lagi dipedulikan.

Justeru, di atas landasan untuk mewujudkan akhlak mulia dan budi pekerti itulah amat wajar sekolah dijadikan sebagai medan membentuk peribadi sekaligus sebagai lubuk untuk melahirkan pemimpin. Baik pemimpin negara mahupun masyarakat, malah sebagai pemimpin keluarga sebagai unit asas dalam pembinaan tamadun manusia. Insan yang boleh memimpin dirinya akan berupaya memimpin suasana di sekelilingnya. Jika tidak, dirinya yang akan dipimpin oleh suasana dan diri yang dulunya berharga itu hanya menjadi buih-buih di lautan yang tidak menambah nilai apatah lagi tidak akan mampu untuk mencorakkan suasana.

Bimbang kepada situasi yang entah bagaimana di sekolah, kemenjadian seseorang sebagai pemimpin hanya dapat dilihat apabila sudah teruji di medan cabaran. Dan untuk mengharungi cabaran itulah ia berkait pula dengan karakter keperibadiannya. Sensitifkah ia dengan arus yang mencabar nilai-nilai ?. Atau sekadar berserah melihat ‘tangan-tangan’ rakus meratah potensi kepimpinan yang masih berusia umbi ?.

Hal ini yang menjadi kebimbangan. Belum lagi berdepan dengan cabaran sebenar, bakat pemimpin muda seolah dimatikan. Tambah mendukacitakan, sekolah-sekolah yang dulunya dilihat sebagai wadah kelahiran pemimpin berwibawa terutama sekolah berorientasikan pendidikan Islam kini turut menumpang sekaki untuk mengejar status sekolah. Tidak lagi serius dalam mewatakkan anak didik mereka menjadi pemimpin dan harapan umat.

Mereka juga tidak dicita-citakan untuk mendukung perjuangan tetapi memadai hanya sekadar cemerlang dalam peperiksaan awam. Mulut mereka didiamkan, idea mereka diremehkan malah amat sedikit dorongan diberikan kepada mereka untuk menjadi pemimpin yang mempunyai keyakinan diri, bijak membuat keputusan serta berani menyatakan pandangan.

Kata-kata sinis seperti, “Tasrif pun kamu tak lepas lagi. Ada hati nak bincang tentang masa depan sekolah” turut dituturkan oleh seorang guru kepada wakil pelajar salah sebuah sekolah. Ia tidak pernah surut malah semakin bertambah-tambah yang akhirnya telah membentuk satu kepercayaan yang kekal kepada pelajar-pelajar bahawa mereka masih mentah untuk berbicara soal kehidupan.

Apa yang sedang berlaku sebenarnya?. Adakah faktor tekanan dari transformasi pendidikan yang menjadi punca kepada situasi ini berlaku?. Lebih malang jika yang menjadi mangsa ialah para pelajar lelaki. Mereka telah dikembirikan seawal usia persekolahan lagi. Peranan mereka dikecil dan diperkecilkan sehingga yang tinggal hanyalah sekadar tugasan membersihkan surau serta membuat pengumuman ketibaan tetamu yang bertandang ke sekolah!.

Justeru, dalam hal yang seumpama ini, yang dibimbangkan ialah bagaimana kualiti yang ada pada diri mereka. Sudah bersediakah mereka untuk dihantar keluar ke tengah-tengah gelanggang masyarakat jika situasi yang sedia ada tidak membantu ke arah perkembangannya?. Hal ini mesti difikirkan semula. Jika ada yang tersalah, ia seharusnya dibetulkan dan diberi bimbingan. Bukannya dihukum dan dipalu seperti pesalah jenayah kelas pertama. Jika ada yang tersinggung dengan semangat anak muda, bawalah ke meja untuk berbincang. Bentuklah pemimpin muda kita hari ini dengan penuh diplomasi. Barulah kena dengan pepatah, yang tua dihormati dan yang muda disayangi.

(Tulisan ini diambil daripada blog saudara Ukasyah iaitu www.soutulfaizin05.blogspot.com)

MUHAMMAD UKASYAH AZHARI
Penolong Setiausaha 2
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

ARTIKEL & BERITA PKPIM

SURAT AHLI KONGRES AMERIKA KEPADA MARKO RUBIO :

Apa yang berlaku? Pada 21 Julai 2026, lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menggesa kerajaan Amerika mengkaji semula hubungan dengan Malaysia susulan [...]
Read more

PERJUANGAN INI, PERJUANGAN KITA

Bismillāh ir-Raḥmān ir-Raḥīm WARKAH PRESIDEN PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM) SESI 25/26 PERJUANGAN INI, PERJUANGAN KITA إِنْ أُرِيدُ إِلَّا ٱلْإِصْلَـٰحَ مَا ٱسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِىٓ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ عَلَيْهِ [...]
Read more

EID AL-ADHA: A SACRED RIGHT, NOT A THREAT

As we approach one of the most significant and celebrated occasions in the Islamic tradition, Eid al-Adha reminds Muslims of the profound meaning of sacrifice, obedience and steadfastness in faith. [...]
Read more

PASCA PENGUMUMAN KEPUTUSAN SPM 2025

PERJALANAN MASIH JAUH, MASA DEPAN MENANTI KALIAN Adik-adik calon SPM sekalian, Adik-adik yang berpotensi, Adik-adik yang berkemajuan, Adik-adik yang bitara, Jangan sekadar menjadi pelajar yang lulus dalam peperiksaan, tetapi jadilah [...]
Read more

AL-ATTAS ASAS KEPADA KELETARIAN PERJUANGAN PKPIM

Perjuangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) selama 65 tahun di pentas dakwah dalam negara mahupun di luar negara bertahan dan terus mampan kerana perjuangan PKPIM didasari dengan budaya keintelektualan [...]
Read more

INSTITUSI PENDIDIKAN BUKAN SARANG IDEOLOGI SONGSANG

PKPIM memandang serius dan berat dakwaan yang sedang tular melibatkan seorang pensyarah kanan Universiti Malaya yang dikaitkan dengan fahaman serta rangkaian Freemason suatu ideologi yang jelas bercanggah dengan akidah Islam [...]
Read more

PASCA SPM: JANGAN HANYUT, BINA DIRI

Kepada anak-anak muda yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami mengucapkan tahniah dan mendoakan agar beroleh keputusan yang cemerlang. Habis sahaja peperiksaan ini, maka anda semua telah [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +60 11-5536 1470 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)