Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Hindari Sikap Suka Menyalahkan Orang Lain

Jangan Suka Menyalahkan Orang Lain

“Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: Jika ada seseorang berkata, “orang ramai (sekarang ini) sudah rosak”, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka”. H.R Muslim

Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab Riyadhus Shalihin: “Larangan semacam di atas itu (larangan berkata bahwa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram”.

“Ada pun orang yang berkata seperti ini kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat nasib yang dialami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan itu tidak ada salahnya”.

Hadis ini diletakkan di awal buku supaya menjadi suatu peringatan kepada kita kerana di dalam hadis-hadis akhir zaman terkandung pelbagai realiti umat yang hilang nilai diri. Maka, apabila kita menyorot dan menghurai hadis-hadis tersebut hendaklah berlindung diri kepada Allah dari bangga dan ujub kerana baiknya kita tetapi harus merenung dan menilai diri sendiri di manakah letaknya kita.

Moden ini, kita cenderung untuk melihat betapa salahnya orang. Betapa teruknya orang tanpa sedar hakikatnya mereka itu adalah cerminan diri kita.New World Order membentuk pemikiran kita supaya lebih banyak berdebat, mengkritik dari mencari penyelesaiannya melalui filem-filem, media-media dan pelbagai lagi medium yang tanpa sedar meracuni pemikiran kita dari membentuk suatu keadaan mencari kesejahteraan. Menjauhkan kita dari berjalan melata melebarkan ”SALAM”. Manusia diasah nilai haiwannya menjadi rakus. Tuding menuding. Saman menyaman.

Apakah keadaan semakin baik? Apakah masyarakat kita menjadi masyarakat yang prihatin? Masyarakat yang peduli terhadap apa yang berlaku terhadap umat. Ambil tahu tentang kemelaratan, kesengsaraan dan serangan umat itu sendiri. Apakah yang akan terjadi sekiranya tidak ada lagi orang yang peduli terhadap apa yang berlaku terhadap umat? Inilah apa yang menjadi perancangan utama salibiah, zionisme. Menghilangkan perasaan kepedulian terhadap kesedaran bertuhan. Menghapuskan rasa peduli, kasih mengasihi di antara sesama manusia.

Berkenaan huraian Imam Nawawi yang kedua, orang seperti yang dihuraikan adalah sesuatu yang baik. Orang itu adalah orang yang punya kesedaran. Orang yang melihat dan berfikir tentang umat. Menganalisis, mencari punca, mencari jalan penyelesaian dan menyebarkan kesedaran.

Dato’ Dr. Siddiq Fadzil menyebut dalam ucapan beliau dalam muktamar ABIM, orang semakin hilang kesedaran tentang dosa, tentang akhirat. Dalam suasana seperti inilah perlunya kita tampil dengan semangat baru membina masyarakat yang beragama. Masyarakat yang beragama kalau hendak diungkapkan barangkali ada bermacam-macam versi. Yang dimaksudkan dengan masyarakat yang beragama seperti yang terdapat dalam ayat 112 surah At-Taubah.

”Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, beribadah, memuji (Allah), mengembara (demi ilmu dan agama), rukuk, sujud, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman”. (rujuk ayat 111 untuk mengetahui siapakah ”mereka” yang disebut dalam ayat 112)

Masyarakat yang sentiasa bertaubat, mengoreksi diri, bermuhasabah. Masyarakat yang sentiasa mengabdi kepada Ilahi, masyarakat yang GodConscious. Masyarakat yang sedar peranannya terhadap perkara ma’ruf dan mungkar. Masyarakat yang segala tindak tanduknya segala langkahnya dipenuhi dengan kesedaran tentang hukum-hakam, nilai-nilai dan prinsip-prinsip ketuhanan.



Inilah yang menjadi kekuatan umat yang terdahulu. Umat zaman kegemilangan, zaman kemurnian Islam. Yang mengawal mereka bukanlah undang-undang, bukanlah pihak berkuasa tetapi ialah kepekaan, kepedulian masyarakat yang apabila melihat gejala-gejala penyelewengan, penyimpangan mereka spontan akan bertindak. Masyarakat yang tidak tidur, tidak terpedaya dengan proganda dan permainan ilusi musuh-musuh Islam. Mereka menjadi ”The Enlightened Soul” (TES). Dato’ Dr. Siddiq Fadzil juga menghuraikan tentang TES. Seperti berikut:

Menurut Ali Shariati mereka ini bukan sekadar intelektual atau ilmuwan kerana banyak ilmuwan, banyak intelektual hilang kesedaran diri dan kesedaran kemasyarakatan. Yang disebut sebagai TES, jiwa yang mengalami pencerahan adalah yang punya kesedaran tentang hakikat dirinya dan punya sensitiviti dan kepekaan terhadap masyarakat. Jiwanya terpanggil untuk membela dan membina masyarakat. Ayat 20 dari surah Yasin menceritakan tentang manusia yang punya kepekaan yang mendalam. Yang sensitif. Yang sentiasa terpanggil untuk membina dan membela ummat.

”Dan datanglah dari hujung kota seorang lelaki dengan bergegas dia berkata, ”Wahai kaumku! Ikutilah utusan-utusan itu. Ikutilah orang yang tidak meminta imbalan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk”

Dari ayat tersebut menyatakan datang dari hujung kota, bermakna dari jauh dia datang dengan susah payah (dengan bergegas). Kalimah yas’a memberi makna berusaha dengan susah payah dari jauh. Dia datang dengan keadaan tersebut untuk mendatangi kaumnya yang menolak seruan rasul dan menyeru supaya kaumnya mengikut ajaran utusan-utusan (rujuk ayat 13, perkataan mursalin). Siapa orang ini? Inilah TES yang al-Quran sebut sebagai ”rojulun” yang menunjukkan orang ini bukan orang besar, bukan orang kenamaan, bukan somebody.

Kita harus menjadi orang yang seperti ini. Bermakna tidak perlu menjadi orang besar untuk punya jiwa TES. Orang yang punya jiwa seperti ini punya matlamat, punya misi untuk memberikan pencerahan kepada orang lain. Dengan kata tindakan kita harus mencerahkan massa, masyarakat.. Tanwir ul ummah. Memberikan pencerahan, kesedaran kepada umat. Membangkitkan umat memanfaatkan cahaya.

Sekiranya kita tidak membina masyarakat yang sedar, masyarakat yang God Conscious, maka tidak akan ada lagi orang yang peka dan sensitif terhadap apa yang berlaku kepada umat. Terbiarlah umat berada dalam keadaan lalai dan ingkar terhadap Tuhan.

Khairul Ridhwan Adha bin Akhiar

Timbalan Presiden PKPIM

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)