Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

BERSAUDARA DAN BERJUANG: TAMRIN RIJAL NASIONAL 2013

tamrin

Pahlawan Nasional Indonesia, Almarhum Bapak Muhammad Natsir pernah dalam pesan-pesan keramatnya menyatakan “Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh ummat”.

Dalam usaha membangunkan kepemimpinan berkualiti yang memahami denyut nadi rakyat, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menganjurkan Tamrin Rijal Nasional 2013 yang diadakan selama tiga hari dua malam, bermula 29 November 2013 yang lalu, bertempat di Kampung Pasir Puteh, Kalumpang, Hulu Selangor. Seramai lebih 50 orang menyertai program tamrin ini. (Tamrin adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud latihan.)

MEMBINA ANGKATAN RIJAL DAKWAH

Tamrin Rijal Nasional kali ini memfokus kepada pembinaan angkatan rijal dakwah dalam kalangan aktivis PKPIM di seluruh Malaysia. PKPIM menjangkakan kesemua yang terlibat dalam tamrin kali ini akan menyerap semangat persaudaraan dan semangat perjuangan seterusnya menggerakkan kegiatan dan aktiviti seperti dalam perangkaan keseluruhan PKPIM. Seramai 50 orang aktivis PKPIM dari seluruh pelosok negara telah mengikuti tamrin ini.

Tamrin dijalankan dalam konsep perkhemahan. Tema Tamrin Rijal kali ini ialah “HBB” –  “Hijrah: Bersaudara & Berjuang”. Pelaksanaannya adalah berasaskan konsep peers – angkatan bersaudara, sahabat rapat; bersahaja dan santai tetapi serius; backpacking dan travelling; khidmat bakti; sukarela dan bersepakat; natural; dan berorientasi perencanaan yang praktik.

MALAM PERTAMA YANG MENCABAR

Para peserta dikehendaki berkenderaan sendiri untuk sampai ke kawasan perkhemahan. Para peserta terpaksa meredah sungai pada paras dada dengan membawa barangan masing-masing untuk sampai ke tapak perkhemahan. Kawasan tamrin ini tidak mempunyai sebarang sumber elektrik. Justeru, bagi mendapatkan sumber cahaya pada waktu malam, generator seberat 10kg terpaksa dibawa bersama meredah sungai tersebut. Menariknya, kerjasama yang ditunjukkan sangat membanggakan. Para aktivis saling membantu dalam pergerakkan mereka ke tapak tamrin.

Sampai di tapak tamrin tersebut, para peserta perlu menyiapkan tapak perkhemahan untuk kegiatan di kawasan tersebut. Kawasan tamrin adalah dalam kebun getah dan durian yang dimiliki oleh seorang rakyat Malaysia berbangsa cina yang merupakan anak jati kawasan tersebut. Para aktivis PKPIM membahagikan tugas antara mereka; ada yang memasang khemah untuk penginapan masing-masing, ada yang menghidupkan unggun api, ada yang menyiapkan makan malam, ada yang mengorek lubang untuk persediaan tandas dan sebagainya.

Berbetulan dengan musim hujan yang kini melanda Malaysia, para aktivis PKPIM dengan tabah meneruskan tamrin dalam kebasahan. Mereka terpaksa mengharungi malam yang gelap-gelita dengan gangguan nyamuk hutan dan dingin malam yang menggigit tulang rusuk. 

PAGI PERTAMA DI TAMRIN

Malam berlalu. Pagi Sabtu yang ceria menjelma. Para aktivis bangun untuk menunaikan solat fardhu Subuh secara berjemaah diimamkan oleh saudara Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh, Timbalan Presiden PKPIM. Usai solat, Sdr. Mohammad Fazril menyampaikan taklimat tamrin. Dalam taklimat tersebut, beliau menekankan kepentingan memahami konsep dan tema tamrin “Hijrah: Bersaudara dan Berjuang”. Seterusnya, para peserta sama-sama membacakan zikir Al-Mathurat wazifah Al-Kubro yang menjadi amalan harian para aktivis PKPIM. 

Selesai zikir, para peserta melakukan riadah pagi, dikendalikan oleh Sdr. Muhammad Hanis Zakaria, Naib Presiden PKPIM. Beliau telah membahagikan kumpulan dan mensaudarakan para peserta. Setelah riadah pagi, peserta bersiap-siap untuk menyediakan sarapan pagi dan kegiatan gotong-royong di kawasan perkampungan tersebut. Ditakdirkan, pihak pengurusan tamrin menerima panggilan telefon daripada Ketua Kampung Pasir Puteh, Tn Hj Aris atau lebih mesra dengan panggilan Tok Aris, yang menjemput kesemua peserta bertandang ke rumah beliau untuk bersarapan pagi. Justeru, kesemua peserta bersiap sedia dengan peralatan dan bahan-bahan gotong royong berjoging dengan jarak dua kilometer menuju rumah tok ketua kampung.

SIKAP YANG BETUL MEMBENTUK KEBAHAGIAN PEJUANG 

Memandangkan sekarang merupakan musim durian, maka Tok Aris mengambil kesempatan ini untuk menjamu bubur durian kepada para aktivis PKPIM. Penghulu Mukim Hulu Selangor juga turut bersama menghadiri jamuan sarapan pagi ini.

Selesai bersarapan, para aktivis bergerak menuju Balai Raya kampong Pasir Puteh untuk Slot Pidato Khas 1 bertajuk “Aku Bahagia Menjadi seorang Pejuang” bersama Tuan Haji Amidi Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Tn Hj Amidi juga merupakan mantan presiden PKPIM. Dalam pidatonya, di samping berkongsi pengalaman peribadi dan dakwahnya, beliau menyatakan bahawa sikap adalah faktor utama yang membawa kepada kejayaan seseorang. Para peserta jga bertanyakan pelbagai soalan dengan penuh minat dan kesungguhan.

BERJASA KEPADA RAKYAT 

Selesai sesi tersebut, para aktivis mula melakukan tugas-tugas pembersihan dan gotong-royong. Disebabkan musim hujan dan angin kencang, sebatang Pokok Sena sebesar sepemeluk telahpun tumbang. Justeru, para aktivis, dengan keterbatasan peralatan telah dengan sedaya upaya memotong dan memindahkan dahan-dahan besar pokok tersebut ke dalam lori yang disediakan majlis tempatan. Selain itu, para aktivis telah membersihkan balai raya, masjid dan surau serta jalan-jalan utama di kampung tersebut.

Gotong-royong dijalankan sehingga masuk waktu Zohor. Para aktivis bersolat Zohor berjemaah di Masjid Kalumpang. Selesai solat, Slot Bibliophilia diadakan di masjid tersebut. Bibliophilia adalah produk PKPIM yang berkonsepkan kupasan buku. Bibliphilia kali ini dipimpin oleh Sdr. Yusaimi Yusof, Yang Dipertua ABIM Daerah Tanjong Malim. Beliau berkongsi pengalaman dan kefahaman yang beliau peroleh daripada buku “Jejak-jejak Rasulullah: Iktibar daripada Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam bicara beliau, Sdr Yusaimi meletakkan beberapa asas penting dalam kehidupan Rasulullah s.a.w sebagai manifestasi suruhan Allah dalam Al-Quran. Beliau juga banyak menyentuh soal kepentingan menjaga alam sekitar dan peranan kaum muslimin dalam isu-isu environmentalisme.

LELAKI PENGGANAS YANG MISTERI

Selesai acara Bibliophilia, para peserta dikehendaki bergegas pulang ke tapak perkhemahan sebelum jam 3.00 petang. Sampai sahaja di tapak perkhemahan, para peserta berasa amat terkejut melihat keadaan tapak tamrin, khemah, barang-barang, beg dan sebagainya berterabur dan berselerak.

Dari jauh terdengar suara garau seorang lelaki bertopeng yang memegang parang, berteriak memberi ancaman kepada para peserta. Lelaki yang tidak dikenali itu kemudiannya menuang minyak diesel dan hampir-hampir membakar tapak perkhemahan. Walau bagaimanapun, beliau segera bergegas lari dan menghilangkan diri.

LATIHAN ALA-TENTERA

Saudara Khairul Ridhwan Adhha, jurulatih fizikal tamrin kemudiannya memberikan taklimat situasi dan pengarahan seterusnya. Para peserta rijal diberikan sepasang persalinan kasut but askar dan seluar yang ditaja khas. Para peserta kemudiannya diperkenalkan dan diajarkan dengan beberapa teknik tempur dan gerakan ala-tentera. Maka, simulasi peperangan pun bermula.

Setiap kumpulan yang terdiri daripada dua belas orang rijal yang akan bergerak dalam paduan pasukan masing-masing untuk menyelesaikan misi yang diberikan. Empat angkatan berentap untuk mendapatkan bekalan makanan masing-masing. Bukan itu sahaja, mereka juga perlu mencari musuh dalam selimut dan dalang di sebalik konspirasi jahat yang sedang mencetuskan masalah ini. Malah mereka juga dibenarkan membunuh musuh (dengan cara menampar dahi musuh).

STRATEGI, PEMBUNUHAN DAN MUSOLAHAH 

Dalam menggerakkan misi ini, setiap angkatan sangat berhati-hati. kegagalan untuk menyelesaikan misi ini akan menyebabkan mereka kelaparan sepanjang hari dan malam, kerana bahan-bahan makanan tersebut adalah bahan-bahan untuk makan tengahari dan makan malam. Sudah lah tidak makan tengahari, makan malam pula bakal terlepas nanti.

Ada angkatan yang mengambil pendekatan berhati-hati; bergerak secara berkumpulan walaupun berpecah. Ada yang merasakan lebih baik berpecah kepada kelompok lebih kecil. Dalam menggerakkan misi dan tugasan masing-masing, tidak disangka ada musuh yang menghampiri dan mengejar lalu ‘membunuh’.

Ada kumpulan yang mendapat habuannya. Malah ada juga angkatan yang mencuri bekalan makanan daripada Pusat Kawalan. Ada juga angkatan yang ingin mengadakan pakatan dan berdamai (musolahah). Memang, bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan pada ketika dalam zon perang seperti ini. Simulasi peperangan ini berakhir dengan hanya satu kumpulan berjaya mendapatkan habuan mereka dan angkatan yang lain kesemuanya gagal.

SEMANGAT BERSAUDARA; SUSAH SENANG BERSAMA 

Walau bagaimanapun, bahan makanan tersebut diagih-agihkan antara mereka. Para rijal memasak secara bersama-sama. Mereka menghidupkan api dan dengan hanya menggunakan dua unit ‘messtin’ sahaja bagi setiap angkatan, mereka meneruskan kerja-kerja memasak.

Memang tidak mudah memasak dengan peralatan yang terhad dan tidaklah dapat mengenyangkan mereka dengan hidangan yang tidak seberapa itu. Akan tetapi, semangat kerjasama, ukhuwah dan bersaudara itulah yang menjadikan mereka terus gagah dan bertenaga meneruskan aktiviti dan kegiatan seterusnya. Mereka bersiap-siap dan bersolat Asar, makan, solat Maghrib dan menanti kegiatan seterusnya.

SEMANGAT HIJRAH AR-RASUL DALAM BERJUANG 

Sesi malam ini dihangatkan dengan Pidato Khas 2 oleh Sdr Suhaimi Latip (Cikgu Suhaimi), mantan Yang Dipertua ABIM Negeri Perak dengan topik “Semangat Hijrah dalam Membangun Angkatan Rijal Islah dan Dakwah”. Menariknya, beliau juga terpaksa meredah air sungai separas dada dalam gelap malam untuk sampai ke tapak tamrin. Lebih menarik lagi, beliau membawa bersama beliau yang berusia lapan tahun. Memang mencabar.

Menurut beliau, pemuda yang ditarbiyah oleh Ar-Rasul s.a.w adalah pemuda-pemuda yang berani dan sentiasa bersungguh-sungguh. Kesungguhan luar biasa yang dipamerkan mereka adalah manifestasi Tawhid kepada Allah s.w.t. Pesan-pesan berguna dan cukup signifikan beliau sampaikan kepada para rijal yang pastinya menyuntik semangat juang mereka.Sesi malam ini berakhir dengan slot pidato oleh Cikgu Suhaimi tadi. Selepas itu, diadakan sedikit perbincangan ringkas dan kemudiannya berehat.

BERSAUDARA: BERTEMU DAN BERPISAH KERANA ALLAH 

Cuaca pada pagi terakhir agak mendung. Ini merupakan hari terakhir para rijal berkhemah di sini. Kegiatan bermula dengan aktiviti membersihkan kawasan sungai dan tebing sungai tempat perkhemahan serta kebun getah. Kebersihan alam sekitar adalah antara keprihatinan kami. Justeru, selain membantu membersihkan kawasan tersebut, para rijal juga menyiapkan kain rentang dengan mesej kepentingan menjaga sungai dan alam sekitar.

Selesai aktiviti membersihka sungai, tamrin meneruskan agenda dengan Pidato Khas oleh Sdr Aliemran Norasid, Presiden PKPIM. Dalam ucapannya, beliau meletakkan pengharapan yang tinggi agar para rijal yang hadir dalam tamrin ini akan terus sukses dan istiqamah dalam perjuangan dakwah PKPIM ini.

Slot terakhir adalah slot resolusi yang dikendalikan oleh Sdr Mohammad Fazril Saleh, Timbalan Presiden PKPIM. Beliau mengimbau kembali pergerakan dan perjalanan program sejak mula hingga akhir dan merasionalkan setiap kegiatan yang dilakukan. Para rijal telah bersepakat untuk sentiasa sedia menggerakkan agenda dakwah dan tarbiyah dalam usaha membangun tamadun kahyra ummah.

Tanpa diduga, hujan turun dan membasahi kesemua rijal. Program tetap diteruskan dengan bacaan Surah Al-Nisa’, ayat 97-99 yang merupakan ayat tema bagi tamrin ini. Bacaan Al-Quran ini dipimpin oleh Sdr Muhammad Khair Sujud. Seterusnya, bacaan doa wehdah, dipimpin oleh Sdr Muhammad Ukasyah Azhari, Setiausaha Agong Kesatuan Pelajar-pelajar Islam Perak (KPIP).

Akhirnya, para peserta dihadiahkan dengan sehelai baju t-shirt dan disampaikan oleh jurulatih fizikal tamrin, Sdr Khairul Ridhwan Adhha. Mereka seterusnya bersalam-salaman dengan ‘jurus salam khas tamrin’. Kesemua pulang ke kampus dan negeri masing-masing dengan puas dan gembira walaupun jelas terpancar riak-riak keletihan pada wajah masing-masing.

dan perjuangan pun diteruskan…

Mohammad Fazril Mohd Saleh
Timbalan Presiden PKPIM
Sesi 2013/2014

*Bagi yang ingin melihat foto kenangan-kenangan semasa Tamrin Rijal Nasional (TAMRIN) 2013 dijalankan, anda boleh melihatnya di https://www.facebook.com/media/set/?set=a.629122993796872.1073741832.226522734056902&type=3 

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)