Malaysia, menuju kearah 2014 dalam masa yang terdekat. Sungguh, kita sudah merasai dijajah oleh penjajah pada suatu ketika dahulu. Nenek moyang kita mewarisi tanah ini dengan penuh keringat menentang penjajah, tidak kira sama ada mereka diwartakan sebagai pejuang kemerdekaan atau tidak. Namun, saya yakin dan percaya masing-masing telah menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat yang menuntut kemerdekaan. Sebagai retrospeksi diri kita, sejauh manakah kita mewarisi nilai kemerdekaan dan kesatuan kebangsaan dalam negara kita.
Usaha memastikan kelangsungan peradaban negara sebenarnya membabitkan sekali langkah memartabatkan dan memperkasa bahasa Melayu sama ada di arena nasional mahupun antarabangsa. Hal ini harus diakui bukanlah suatu amanah yang begitu mudah dijaga dan dilaksanakan walaupun pada hakikatnya kesinambungan pengisian dan penghayatan terhadap Bahasa Melayu daripada generasi dulu, kini dan generasi baru tetap satu aspek mustahak.
Begitu juga pengisian terhadap erti dan nilai perpaduan, kemerdekaan dan kesatubangsaan tidak akan dapat terlaksana sekiranya pemahaman dan penghayatan dasar bahasa kebangsaan yang menjadi tunjang pembentukan tamadun kita tidak dapat dimengertikan secara lebih terbuka dan mendalam oleh generasi muda.
Sesungguhnya kegemilangan ilmu sesebuah tamadun itu turut membawa kegemilangan bahasa tamadun berkenaan. Kelangsungannya akan diwarisi generasi yang memiliki daya penghayatan dan erti tanggungjawab yang tinggi dalam usaha memperkasa bahasa dan khazanahnya.
Bahasa sebagai alat penyatuan bangsa. Gerakan menyatupadukan rakyat melalui satu bahasa kebangsaan memang mempunyai sejarah yang panjang, dan ditambah pula Malaysia sebagai negara bermasyarakat majmuk. Penyata Razak pada tahun 1957 telah menegaskan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dapat dicapai dengan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.
Jika di Amerika, bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda, maka bahasa itulah bahasa kebangsaannya. Begitu juga dengan Malaysia, bahasa Melayu ialah bahasa ibunda, maka bahasa Melayu yang semestinya menjadi Bahasa Kebangsaan dan bahasa penghantar dalam sistem pendidikan negara kita.
Kita harus yakin dengan bahasa kita dan kita harus berpuas hati dalam mempopularkan budaya, bahasa dan produk-produk intelektual negara kita. Sungguh, ketidakyakinan diri sendiri sebenarnya tidak akan memberi impak positif kepada penyatuan bangsa. Justeru, penilaian semula Bahasa Melayu dalam sistem negara kita perlu dibuat dan pemurnian pelaksanaan perlu diusahakan supaya Bahasa Melayu dimartabatkan.
KHAIRUL ANUAR ABDUL MANAP
Setiausaha Agung PKPIM
Sesi 2013/2014
*Artikel ini telah disiarkan di dalam akhbar Berita Harian.