13 Mac 2012, Kuala Lumpur – Keadaan genting berterusan di bumi Syria. Pergolakan yang berlaku seolah-olah tiada noktah angkara keangkuhan rejim Basyar al-Assad. Mobilisasi antarabangsa untuk advokasi isu ini wajar diteruskan demi keamanan, hak dan keadilan buat rakyat Syria.
Mahasiswa dan pelajar turut menyatakan sokongan dan ikrar mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Syria. Persatuan Kebangsan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meneruskan komitmen dan perjuangannya membantu rakyat Syria yang sedang ditindas dengan menyertai Gabungan Selamatkan Syria (GSS) yang dilancarkan di Hotel Putra, Kuala Lumpur semalam.
PKPIM yang sebelum ini sentiasa menyokong dan mendokong usaha dan perjuangan ABIM yang secara aktif menggerakkan kempen ‘Save Syria’ bersama-sama pelajar dan komuniti Syria yang berada di Malaysia, kini bergabung dengan 18 lagi rakan-rakan NGO di dalam GSS bagi meneruskan momentum bantahan dan tekanan terhadap regim pemerintahan Basyar al Assad.
Dalam kenyataan bersama GSS yang dibacakan oleh Pengarah GSS iaitu Sdr.Naim Jusri, pihak media yang hadir telah didedahkan dengan fakta terkini kekejaman dan visual penderitaan yang sedang dilalui oleh rakyat Syria. Sehingga hari ini, seramai 8,500 orang rakyat telah mati dibunuh, 39,000 cedera dan 18,000 lagi dipenjarakan dan didera dalam tahanan.
Kebangkitan rakyat di Syria bermula pada 25 Mac 2011 apabila sekumpulan kanak-kanak menulis perkataan hurriyah ‘kemerdekaan’ di tembok di sebuah bandar di Syria. Kanak-kanak ini kemudiannya telah ditahan dan dipenjarakan. Paling menyedihkan, kuku-kuku tangan dan jari mereka telah dicabut dengan kejamnya. Ketua Balis Polis pro-Assad yang kemudiannya menerima bantahan penahanan dan tuntutan pembebasan anak-anak mereka oleh ibubapa telah dengan bongkaknya berkata “Sekarang kamu boleh lupakan tentang anak-anak kamu, anggaplah mereka telah mati dan kamu tidak pernah ada anak. Jika kamu tidak mampu, biarlah kami meniduri isteri-isteri kamu untuk mendapatkan anak yang baru!”.
Keesokan harinya, seribu rakyat di kawasan tersebut telah berhimpun dan berarak sebagai tanda bantahan yang kemudiannya berkembang menjadi ratusan ribu dan jutaan rakyat. Sebagai reaksi, rejim Basyar al Assad telah menggembeleng kekuatan tenteranya untuk membunuh rakyat Syria yang tidak bersenjata termasuklah wanita tua dan kanak-kanak. Siri terbaru penindasan kejam ini telah berlaku sepanjang setahun yang lalu sejak kebangkitan rakyat.
Justeru GSS mengecam dan mendesar agar rejim Bashar al Assar segera memberhentikan kekejamannya dan berundur dari tampuk pemerintahan. GSS juga menyeru kerajaan Malaysia untuk menyatakan ketegasan sikap kita kepada kerajaan Syria melalui dutanya di Kuala Lumpur selain menyampaikan pendirian yang tegas kepada komuniti antarabangsa.
Sehubungan dengan itu juga, satu perhimpunan aman akan diadakan pada Jumaat , 16 Mac 2012 di hadapan kedutaan Syria, Jalan U-Thant Ampang selepas solat Jumaat sempena satu tahun kebangkitan rakyat di Syria.
“Kami NGO-NGO yang bergabung di dalam Gabungan Selamatkan Syria menyeru agar semua rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan bencikan kezaliman serta penindasan agar hadir memberikan sokongan sebagai tanda solidariti kita terhadap nasib rakyat Syria yang sedang menderita” ujar Setiausaha Agung ABIM, Sdr Mohamad Raimi Ab.Rahim dalam sidang akhbar tersebut.
Menurut Presiden PKPIM Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin, perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan untuk rakyat Syria adalah juga menjadi tanggungjawab para pelajar dan mahasiswa. Justeru dalam respon terhadap seruan GSS untuk turun berdemonstrasi Jumaat ini, beliau menyeru dan mengajak para pelajar dan mahasiswa untuk menyatakan sokongan dan mempamerkan tanda kecintaan terhadap keamanan sejagat dengan pelbagai cara dan medium dalam kapasiti masing-masing.
Koresponden PKPIM Saudara Fakrur Razi menegaskan ikrar mahasiswa dalam isu ini.
“Kami akan gerakkan usaha membebaskan Syria daripada rejim kuku besi Assad. Kami sasarkan ribuan orang akan turun untuk menyatakan solidariti dan sokongan mereka Jumaat ini”.
Sidang akhbar semalan dihadiri oleh Setiausaha Agung ABIM, Persatuan Kebangsan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Naib Presiden Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN), Setiausaha Agung Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pengarah SaveSyria Malaysia serta wakil-wakil komuniti Syria di Malaysia.