Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

DARI MEJA SUA : SALAM MAULIDURRASUL

 

“Tidak sempurna iman seseorang kamu, sehinggalah aku lebih dicintai daripada anaknya, orang tuanya, dan manusia seluruhnya”.

(Riwayat Imam Bukhari & Muslim).

Hak untuk setiap insan meluahkan dan mengatakan dirinya mencintai Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah dikekang atau dihalang sama sekali. Walau bagaimanapun, ia akan dianggap mitos jika ia tidak di ikuti dengan perbuatan untuk sama-sama mengikut langkah dan pengajaran yang telah ditinggalkan oleh Baginda S.A.W. Namun tidaklah dinafikan juga bahawa pada bulan inilah umat Islam, termasuk di Malaysia keseluruhannya memperbaharui kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dengan mengadakan majlis-majlis maulud.

Rabi’ul Awal yang tiba setiap tahun menjadi saksi betapa kerinduan pada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. sering diraikan bagi mengingati kelahiran Baginda. Disebalik perayaan yang dijadikan takwim wajib untuk cuti tahunan ini, sejauh manakah kita memahami dan menghayati sejarah ulung hidup Baginda S.A.W. Oleh kerana itu, ia tidak boleh dijadikan ukuran sebenar sehinggalah seluruh aspek kehidupan kita berpandukan ajaran dari Baginda S.A.W.

“Sungguh kamu akan mengikuti sunnah-sunnah (perjalanan-perjalanan) orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu memasukinya juga.”

(Hadith riwayat Muslim)

Kenyataan yang dilafazkan oleh Baginda S.A.W. 1400 tahun dahulu membuatkan kita sentiasa dalam keadaan yang perlu berwaspada agar tidak terjerat ke kancah kesesatan. Inilah hikmah yang telah ditinggalkan dan perlunya bagi kita golongan muda terutamanya mengambil iktibar dalam membentuk peribadi Muslim yang berjaya di dunia dan cemerlang di akhirat.

Mari sama-sama kita sorot kembali jasa besar Nabi Muhammad S.A.W. Baginda membawa Islam yang menerangi manusia, yang memerdekakan manusia daripada diperhambakan sesama manusia, dijajah sesama manusia, dizalimi dan menzalimi sesama manusia, kepada manusia yang merdeka dan mempunyai hak yang dihormati. Tidak disangkal lagi, semuanya ini memerlukan pengorbanan dan mujahadah yang tinggi dalam perjuangan.

Kehidupan Baginda S.A.W sebagai seorang pendakwah sepenuh masa sememangnya sentiasa diuji dan dirintangi dengan mehnah dan tribulasi. Ketahanan dan tarbiyah yang berterusan dari Allah menjadikan Baginda S.A.W seoarang suri tauladan yang cukup hebat dalam lapangan dakwah. Sangat memalukan untuk kita yang seringkali bermain kalimah-kalimah dakwah di bibir tetapi tidak mampu menahan ujian dan rintangan dalam perjuangan. Dan akhirnya gugur di pertengahan jalan.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Ankabut ayat 1 hingga 3 yang bermaksud;

“Alif Lam Mim. Adakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta”.

(Al-Ankabut: 1 – 3)

Amaran dan peringatan Allah s.w.t. ini menjelaskan tentang kasih sayang-Nya kepada manusia bukanlah sebagai ugutan atau amaran keras. Maka, apabila datangnya ujian dari Allah s.w.t., maka bersabarlah kerana mereka itulah yang bakal mendapat keberuntungan yang besar.

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna ini pernah berpesan kepada kader-kader dakwah ;

“Seorang pendakwah yang memiliki watak yang hebat adalah seorang pendakwah yang memiliki aqidah yang selamat. Ini adalah tunjang dan perkara yang paling asas. Ia diibaratkan seperti pokok, ianya akan bertahan dan kuat sekiranya akarnya sihat dan memanjang sehingga ke dalam bumi. Aqidah yang utuh akan menghasilkan akhlak yang terpuji. Maka, contoh yang terbaik adalah Rasulullah s.a.w. yang diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.”

Benarlah, hanya dengan memiliki aqidah yang menjadi tunjang kekuatan peribadi Muslim membuatkan kita sentiasa melihat dan percaya bahawa setiap halangan dan ujian yang kunjung tiba itu mempunyai nilai positif yang besar di sisi Allah. Mustahil Dia membiarkan kita sengsara memperjuangkan agamaNya.

Allah juga menerangkan dalam Surah Al-Fushilat ayat 33 yang memberikan kita motivasi untuk terus menerus berada di jalan dakwah :

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.”

Maka, jika seluruh umat Islam memahami dan menghayati ayat ini tidak mustahil bumi ini subur dengan keadaan yang cukup harmoni, aman dan sejahtera.

Melihat di sudut pembinaan golongan muda belia terutamanya, sejarah telah membuktikan Rasulullah S.A.W. amat menitik beratkan tarbiah kepada golongan belia ini sehingga lahirnya para belia yang cukup komited dan kuat pembinaan jatidiri aqidahnya sehingga mampu mencorak dunia Islam. Sebagai contoh, beberapa sahabat seperti Saidina Ali telah dididik dan diamanahkan membawa panji-panji Islam dalam peperangan Badar ketika umurnya 20 tahun. Sementara Zaid bin Tsabit diberi mandat membawa panji-panji perang Tabuk pada usia muda remaja, Usamah bin Zaid juga mengetuai bala tentera ketika umurnya baru mencecah 17 tahun.

Menyelami sirah sahabat Baginda S.A.W. lebih menjadikan kita terfikir sejauh manakah sumbangan kita terhadap Islam di waktu umur muda sedang bergerak laju meninggalkan angan-angan kita sendiri. Adakah kita sudah cukup menguasai ilmu-ilmu semasa yang juga sangat penting untuk bekalan pendakwah agar merasa tidak terpinggir dan menepati keperluan masyarakat semasa. Justeru, harus ada usaha untuk mempelajari ilmu insan yang ingin dididik untuk memudahkan usaha dakwah.

Sebagai akhirnya, umat Islam sangat wajar untuk memiliki sekurang-kurangnya senaskhah sirah Rasulullah S.A.W sebagai koleksi bacaan peribadi, kerana memahami dan meneladani Rasulullah S.A.W merupakan suatu kewajipan bagi semua umat Islam khasnya. Perkara ini tidak akan dapat dicapai melainkan melalui proses pencarian ilmu. Marilah kita sama-sama mengambil semangat Maulidur Rasul pada tahun ini untuk sama-sama berazam menjadikan kehidupan Baginda S.A.W sebagai cara hidup sekaligus dapat membentuk masyarakat yang dipandang tinggi di sisiNya. InsyaAllah.

“Janganlah engkau berputus asa, kerana putus asa bukan akhlak seorang Muslim. Ketahuilah kenyataan hari ini adalah mimpi hari semalam dan impian hari ini adalah kenyataan di hari esok. Waktu masih panjang dan hasrat akan terwujudnya kedamaian masih tertanam di jiwa masyarakat kita. Walaupun fenomena kerosakan dan kemaksiatan menghantui mereka. Yang lemah tidak akan lemah sepanjang hidupnya dan yang kuat tidak akan kuat selamanya.”

(Imam Hassan al-Banna)

Mohd Shazni Abdullah
Setiausaha Agung PKPIM
Laman Qiyadi
3 Feb 2012

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)