Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menzahirkan rasa dukacita yang teramat dalam ekoran satu adegan kontroversi berunsur lucah yang telah dilakonkan oleh mahasiswa/wi di salah sebuah IPTA terkemuka di Malaysia. PKPIM melihat isu ini, sebagai sikap yang tidak menghormati universiti sebagai pusat keilmuan serta sikap yang suka mernomalisasikan kesenian yang berbaur lucah. PKPIM mengecam sekeras-kerasnya, segala bentuk hiburan yang menjatuhkan harga diri seorang siswa/wi dan mencemarkan imej universiti. Oleh itu, PKPIM ingin menekankan beberapa perkara penting, terutama terkait garis panduan aktiviti kesenian dan hiburan khusus buat mahasiswa/wi dan di universiti:
1. Setiap Mahsiswa/wi hendaklah mematuhi segala peraturan dan ketetapan hiburan dan kesenian di universiti terutama melibatkan perkara etika.
2. Tidak membuat, merancang dan melaksanakan sebarang program kesenian atau hiburan yang melanggar syariat agama dan yang tidak bersesuaian dengan adab santun masyarakat Malaysia.
3. Menetapkan penasihat atau merujuk ahli syariah dan budaya sebagai tempat rujukan utama dalam menulis skrip, lagu dan perkara-perkara terkait budaya.
4. Menghormati Universiti sebagai tempat perkembangan ilmu, setiap kesenian atau hiburan yang dirancang haruslah berpaksikan ilmu dan adab.
Disini sekali lagi PKPIM ingin menegaskan, sebagai mahasiswa/wi yang bakal memikul amanah ilmu dan keintelektualan bagi mencerahkan rakyat, maka wajib bagi semua mahasiswa/wi menonjolkan akhlak mulia yang merupakan cerminan ilmu. Mahasiswa/wi juga seharusnya terus menjaga maruah diri, maruah tempat ia menimba ilmu dan bangsa serta agamanya!
HIDUP BIAR BERJASA!
Muhammad Syamil Bin Omar
Naib Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM