Pada 5 sehingga 7 November yang lepas, seramai 41 orang delegasi mewakili Global Peace Mission Malaysia (GPM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) telah terlibat menjayakan Program Ibadah Qurban di Kemboja. Tiga orang exco, Saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (Presiden), saudara Mohd Shazni Abdullah (Setiausaha Agung) dan saudara Amir Asyraf bin Mohammad Redzuan (Exco Sekretariat Perhubungan Antarabangsa) telah dihantar mewakili PKPIM ke program tersebut.
Program Ibadah Qurban di Kemboja telah pun bermula sejak enam tahun yang lepas. Selain dari membantu menunaikan ibadah Qurban, GPM juga membawa bantuan berupa makanan, pakaian dan naskah-naskah Muqaddam untuk diedarkan kepada masyarakat Islam yang memerlukan disini.
Program yang berlangsung selama tiga hari itu padat dengan lawatan ke kampung-kampung berpenduduk majoriti Islam, sekolah kelolaan Cambodian Muslims Intelectual Alliance (CMIA) disamping juga ke Tuol Sleng Genocide Museum yang terletak di ibukota Kemboja, Phnom Penh.
Bermula pada 5 November, delegasi yang tiba di Phnom Penh International Airport bergerak terus ke CMIA International School yang diuruskan oleh Pengarah Eksekutif CMIA, Ustaz Farid Hossein. Selepas itu kami meneruskan lawatan ke anak yatim CMIA-GPM yang terletak berhampiran.
Pada petangnya kami mengunjungi Tuol Sleng Genocide Museum. ‘Tuol Sleng Genocide Museum’ merupakan sebuah muzium di Phnom Penh, ibukota Kemboja. Tapak ini pernah digunakan sebagai ‘Security Prison 21’ (S-21) oleh rejim komunis Khmer Rouge daripada kenaikan kuasa pada tahun 1975 sebelum kejatuhannya pada tahun 1979.
Diketuai oleh Pol Pot, tahanan yang dituduh sebagai penentang rejim beliau ditangkap dan dibawa ke S-21; bekas tapak sekolah yang digunakan sebagai tempat menyeksa dan membunuh tahanan dengan cara yang tidak berperikemanusiaan, dilaporkan mencecah 20,000 orang (jumlah sebenar tidak diketahui, mungkin lebih banyak).
Keesokan harinya pada 6 November, para delegasi memulakan program Qurban dan pengagihan daging, beras di Kampung Chrow Meatry dan Kampung Thom. Global Peace Mission Malaysia (GPM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) bersama Pertubuhan Intelektual Muslim Negara Kemboja (CMIA) berjaya mengumpul dan menyumbangan sebanyak 143 ekor lembu dan 11 ekor kambing untuk diedarkan kepada 83 buah kampung di 14 buah negeri dalam Kemboja. Selain itu sumbangan beras kepada 1 150 keluarga juga disempurnakan dengan jayanya bersama 1 000 naskah muqaddam.
Setinggi syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana program Ibadah Qurban di Kemboja berjalan dengan lancar dan berakhir tanpa sebarang kejadian yang tak diingini. Selain daripada dapat meningkatkan jaringan antarabangsa, delegasi juga dapat memperkayakan diri dengan kefahaman terhadap sejarah dan isu semasa mengenai masyarakat Islam Kemboja.
Diharap program kebajikan sebegini dapat diteruskan dimasa akan datang. Segunung penghargaan dan kasih sayang kepada CMIA yang menjaga kami sepanjang keberadaan kami di sini dan GPM yang telah memberi kami peluang untuk menyertai Program Ibadah Qurban pada edisi kali ini.
:: Hidup Biar Berjasa ::
DISEDIAKAN OLEH:
AMIR ASYRAF BIN MOHAMMAD REDZUAN
EXCO SEKRETARIAT PERHUBNGAN ANTARABANGSA (SPEKTRA)