Merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa peruntukan dalam Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan merupakan satu petanda yang baik untuk mengembalikan semula kesegaran idealisme mahasiswa di universiti.Berita ini merupakan satu berita yang menggembirakan untuk semua penuntut ilmu yang bergelar mahasiswa kerana keputusan itu jelas memberikan peluang yang lebih cerah untuk merintis jalan ke arah kebebasan akademik dan autonomi universiti yang tulen seperti mana yang diidam-idamkan oleh semua aktivis mahasiswa sebelum ini.
Polemik perdebatan mengenai AUKU dan kesannya terhadap pembangunan diri mahasiswa berjalan selama berpuluh-puluh tahun.Pelbagai pendapat pro dan kontra diutarakan untuk mendapatkan jalan yang terbaik bagi mencapai objektif pendidikan di pusat pengajian tinggi.Akar kepada idea AUKU pada hemat penulis bukan sekadar untuk memastikan mahasiswa tidak diganggu oleh aktiviti politik kepartian di luar kampus sahaja, namun lebih daripada itu, ianya merupakan satu idea dalam perbahasan mengenai hala tuju pembangunan negara.Dalam usaha menuju ke arah negara maju, sumber tenaga manusia merupakan elemen yang sangat penting untuk menentukan kejayaan cita-cita Negara.Tenaga kerja pakar yang diperlukan untuk memacu kemajuan dalam pelbagai bidang utama yang menjadi faktor kepada pertumbuhan ekonomi negara merupakan satu elemen yang harus dilahirkan melalui proses latihan dan pendidikan.Di sini bermulanya fungsi institusi pendidikan secara khusus dan sistem pendidikan secara am dalam merealisasikan wawasan negara.
Secara langsung, hubungan di antara institusi pendidikan dan juga industri dijadikan lebih rapat dan berkait terus.Hubungan saling kebergantungan mula dibina dengan menghapuskan beberapa jurang kecil di antara kedua-dua entiti ini.Sistem pendidikan dan sistem ekonomi mula dirangka ke arah mewujudkan sinergi yang lebih besar dan laju sifatnya.Ini penting dalam persaingan di peringkat global untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi Negara yang seterusnya akan menjadi faktor utama kepada kemajuan sesebuah negara.Atas dasar ini, institusi pendidikan akan mula bertindak sebagai tempat untuk menyumbang tenaga kerja yang lebih ramai kepada industri.Untuk bergerak lebih pantas dan berkesan dalam persaingan ekonomi global, industri memerlukan tenaga kerja yang mampu menepati konsep kerja yang dilaksanakan dalam persekitaran mereka.Maka kriteria-kriteria tertentu yang diperlukan dalam suasana kerja industri mula dituntut dalam penyaluran tenaga kerja.Oleh itu, pihak institusi pendidikan mahu atau tidak perlu menyesuaikan silibus yang ada untuk memenuhi keperluan industri atas dasar hubungan simbiosis yang dibina dalam perencanaan wawasan negara.
Umum maklum bahawa orientasi industri adalah berpaksikan kepada keuntungan dalam proses penjanaan kewangan.Maka konsep kerja yang bersifat pengkhususan merupakan salah satu iklim utama yang dibina dalam suasana pekerjaan.Iklim ini menuntut kepada pekerja yang mampu melaksanakan tugas dalam bidang tersebut dengan lebih mahir dan sememangnya merupakan kepakaran utama bagi pekerja tersebut.Kriteria pekerja yang memenuhi tuntutan ini adalah daripada kalangan mereka yang sememangnya dilatih secara konsisten untuk memberi fokus kepada bidang tersebut dari awal lagi.Untuk melahirkan pekerja yang sebegini maka institusi pendidikan akan bertindak sebagai tempat latihan dan tempat untuk melakukan proses pembangunan yang lebih berfokus kepada keperluan yang dituntut dalam bidang industri.Sistem yang digubal haruslah mampu melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.Oleh hal itu, segala elemen yang berpotensi bertindak sebagai penghalang kepada usaha mewujudkan iklim berfokus ini akan dibuang daripada sistem.
Elemen-elemen tambahan yang dianggap tidak langsung menyumbang kepada keupayaan memenuhi keperluan industri tadi akan dianggap sebagai tidak relevan.Justeru, hala tuju serta matlamat institusi pendidikan juga akan mula beralih arah dan fokus yang lebih besar akan mula diberikan kepada matlamat industri.Sistem pendidikan akan mula diperhalusi untuk menyesuaikan mekanismanya dalam melahirkan graduan yang mampu memenuhi tuntutan industri semasa.Persoalannya, apakah institusi pendidikan tidak punya kuasa untuk menentukan hala tujunya sendiri?Bukankah dalam hubungan saling kebergantungan juga memberi ruang dan kuasa bagi institusi pendidikan untuk merencanakan agendanya sendiri dan sekaligus berupaya memandu halatuju industri dan bukannya industri yang memacu halatuju institusi pendidikan?
Persoalan ini terungkai apabila kita meneliti matlamat yang dirangka dalam urusan pentadbiran negara.Kefahaman mengenai erti kemajuan dan kejayaan peradaban atau tamadun sesebuah bangsa yang dibina akan mempengaruhi segala timbangan yang akan diambil dalam setiap polisi dan keputusan yang akan dibuat untuk segala bidang yang berkait langsung.Sekali gus, bergerak sebagai sebuah entiti dalam menghadapi persaingan global akan memacu kepada perkembangan yang dibina melalui kerangka asas faham kemajuan sesebuah negara.Sekiranya kerangka asas faham kemajuan sesebuah negara dibina berlandaskan kemakmuran ekonomi semata-mata, maka hasilnya adalah pengabaian aspek pembangunan sosial yang akan terkesan dengan keputusan yang berorientasikan matlamat fizikal.
Pimpinan negara harus mempunyai kerangka faham kemajuan yang kukuh dan tepat dalam merencanakan agenda pembangunan negara.Kesilapan dan kelemahan dalam melihat aspek kejayaan secara menyeluruh akan menyumbang kepada tragedi pembangunan yang meruntuhkan.Contoh jelas pada hari ini adalah pembangunan tamadun Barat yang berpaksikan kemajuan material dan fizikal semata-mata.Pelbagai tragedi dalam institusi sosial berlaku.Daripada masalah gejala sosial, keruntuhan institusi rumah tangga sehinggalah kepada gejala hilang kepercayaan terhadap hidup beragama.Ini semua manifestasi yang muncul hasil orientasi faham kemajuan dan kebahagiaan yang didasarkan pada matlamat fizikal semata-mata.Oleh hal itu, setiap keputusan yang diambil dalam proses pembangunan negara di dalam tamadun Barat memastikan aspek subjektif ditinggalkan secara menyeluruh hasil ketidakpercayaan mereka kepada perkara metafizik.
Maka bagaimana pula dengan negara umat Islam, yang menjadikan cara hidup beragama sebagai landasan dalam pembangunan negara boleh terperangkap dan mengikut jejak langkah yang sama?Hal ini berlaku apabila kegagalan umat Islam menguasai ilmu secara lebih menyeluruh dan tidak mempunyai ilmu asas yang kukuh dalam membina corak berfikir atau kerangka pandang alam yang ampuh.Seterusnya akan melahirkan individu yang keliru dalam membuat pertimbangan dalam persoalan kehidupan seharian apatah lagi dalam zaman kemajuan teknologi serta penguasaan pengaruh tamadun Barat yang begitu kompleks pada hari ini.Kelahiran individu yang keliru seterusnya mewujudkan komuniti sosial yang keliru.Masyarakat yang keliru seterusnya akan mengangkat pemimpin daripada kalangan mereka yang juga keliru.Seterusnya kitaran ini berterusan berlaku sebagai salah satu lingkaran kejahatan atau ‘viscious circle’.Inilah punca kepada kegagalan umat Islam pada hari ini.
Dalam konteks bernegara, negara yang dipimpin umat Islam sekiranya tidak mampu memahami kerangka asas ini, maka keputusan yang akan diambil dalam proses pembangunan Negara akan mengikut acuan yang dirangka dalam faham kemajuan Barat walau cara mereka berbeza.Dalam konteks Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai contoh, kegagalan pemimpin negara memahami matlamat kemajuan sesebuah negara secara menyeluruh akan membenarkan kepada tindakan yang simplistik dan mencari jalan kejayaan yang singkat.Maka keputusan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah satu keputusan yang dilihat sebagai wajar oleh pimpinan yang mempunyai faham kemajuan sebegini.Tidak dinafikan untuk matlamat jangka pendek akan berjaya, namun dalam jangka masa yang panjang, peradaban asli tidak mampu dibina.Sesebuah bangsa berjaya di atas elemen asli yang dipunyai dan disepakati secara sejagat mengikut iklim semulajadi lingkaran mereka.
Bagi Malaysia sebagai sebuah negara Timur dan di dalam kepulauan Nusantara, maka untuk membangun dan mencapai kemajuan haruslah didasarkan kepada nilai-nilai ketimuran dan juga budaya Nusantara itu sendiri.Oleh demikian, baru kemajuan dapat dicapai.Hal ini kerana, perkembangan dalam ilmu sains bukan hanya memerlukan kepada penguasaan dalam ilmu sains semasa yang ada, tetapi ia memerlukan kepada satu bentuk kemampuan menaakul, menganalisis dan mencipta satu idea yang baru untuk membina kerangka ilmu sains secara kukuh dalam memahami kejadian alam dan urus tadbir dunia untuk kesejahteraan sejagat.Bagaimana mungkin kemampuan ini mampu dipupuk dalam diri pelajar sekiranya ilmu asas sains dan matematik yang diajar di peringkat sekolah tidak mampu difahami secara mendalam dan betul-betul faham setiap terma sains dan mampu menggapai idea dan konsep yang dilunaskan dalam pelajaran sains dan matematik.Kedua-dua subjek ini bukan merupakan subjek hafalan, tetapi ianya memerlukan kepada daya kefahaman yang tinggi serta kemampuan menaakul dan menganalisis secara logik.
Untuk membolehkan para pelajar mampu mencapai ke tahap ini, maka bahasa adalah alat untuk mereka memulakan proses memahami dan berfikir.Bahasa yang paling mahir dikuasai oleh mereka akan memudahkan mereka melakukan proses ini.Bahasa yang membentuk iklim persekitaran mereka juga akan memudahkan mereka mengaplikasikan ilmu yang didapati ke dalam dunia realiti.Seterusnya akan menyumbang kepada inovasi yang mampu dilahirkan oleh para pelajar ini kepada persekitaran sekeliling mereka untuk mengatasi pelbagai masalah seharian.Dalam erti kata mudah, ilmu yang mereka dapati dalam proses pembelajaran mampu memberi sumbangan kepada persekitaran terdekat dengan mereka.Inilah matlamat pendidikan, iaitu melahirkan manusia yang berguna untuk mengurus tadbir alam dengan lebih harmoni.Proses ini merupakan salah satu elemen asas dalam membentuk perkembangan ilmu dan kemajuan sesebuah tamadun.Prosesnya bermula daripada elemen individu dalam masyarakat.Jika proses ini gagal ditanggapi, maka kemajuan yang kita impikan tidak akan mampu dikecapi sampai bila-bila.Jika kita berjaya sekalipun, tamadun yang dibina hanyalah banyak mendatangkan mudarat berbanding kebaikan.Sedangkan, tujuan pembinaan tamadun adalah untuk mencapai matlamat hidup yang lebih harmoni.
Merujuk kepada kes AUKU, kegagalan pentadbir memahami matlamat pendidikan yang sebenar akan menjelaskan sikap dalam menguruskan masalah ini.Seperti yang diterangkan dalam proses saling berkaitan antara industri dan institusi pendidikan, jika matlamat kemajuan sesebuah negara hanya berpaksikan kepada perkembangan ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata, maka AUKU akan dianggap sebagai relevan kerana mampu melahirkan graduan yang mempunyai kepakaran spesisfik dengan lebih baik.Bahkan proses melahirkan graduan sebegini akan menjadi lebih mudah apabila menutup ruang-ruang dimensi kehidupan yang lain yang mungkin boleh menjejaskan fokus pelajar terbabit.Akhirnya, pelajar yang dilahirkan hanya mampu menguasai satu bidang sahaja dan tidak mampu menguasai kemahiran lain yang agak signifikan dalam kehidupan realiti.Impak yang lebih teruk terjadi apabila penguasaan ilmu yang dikhususkan tadi juga sebenarnya tidak boleh dikatakan mampu dicerna sebaik mungkin oleh pelajar terbabit.Kebolehan yang mereka asah hanyalah menghafal dan ‘memuntahkan’ subjek tersebut di atas kertas peperiksaan semata-mata.
Lebih malang apabila dalam bidang penguasaan mereka sendiri mereka masih tidak mampu menanggapi perbahasan-perbahasan peringkat tinggi dalam subjek tersebut.Fokus para pelajar hanyalah untuk menjadi graduan yang baik supaya dapat menjadi pekerja yang baik untuk memiliki kehidupan yang lebih baik.Itu kefahaman yang ditanam melalui sistem pendidikan sebegini.Akhirnya, generasi yang dibentuk bersifat ‘homogeneous’ dan tidak mempunyai daya kreativiti yang tinggi serta gagal membentuk pemikiran yang kritikal dalam memahami fenomena persekitaran.Para pelajar tadi akan menjadi tidak lebih seperti robot yang dihasilkan secara besar-besaran dalam sebuah kilang untuk digunakan bagi tujuan tertentu sahaja.Sedangkan itu bukan matlamat sistem pendidikan.Bahkan itu juga bukan matlamat sebuah tamadun.
AUKU yang bersifat mencengkam suara dan idea para pelajar hanyalah menambahkan parah dalam dunia akademik.Penutupan ruang kepada suara-suara pelajar untuk bereksperimetasi dengan idea-idea mereka hanya akan menambahkan kesulitan dalam mencapai matlamat pendidikan.Bahkan, bagi dunia akademik, keadaan ini akan mewujudkan perkembangan intelektual yang sangat perlahan serta menggagalkan proses perkembangan ilmu di peringkat pengajian tinggi.Apakah ini yang kita mahukan?Sedangkan untuk membina negara yang maju mengikut acuan kita, keperluan terhadap generasi pelapis yang berkualiti tinggi dan mempunyai kefahaman yang meluas sangatlah diitagih.
Apakah pemimpin yang ingin kita warisi negara ini suatu hari nanti di kalangan para pelajar yang tidak mampu memahami dan menguasai secara menyeluruh ilmu untuk mengurus tadbir negara?Beranikah kita mewariskan negara ini kepada para pelajar yang terperangkap dalam kefahaman ilmu yang dimiliki dalam bilik kuliah sahaja?Mampukah golongan ini memahami proses mengurus tadbir dunia yang kompleks dan tidak menumpukan hanya kepada satu bidang sahaja?Mampukah mereka membina kriteria pemimpin yang berwibawa jika perbincangan dalam institusi pengajian tinggi mereka hanya berlingkar dengan subjek jurusan yang diambil sahaja?Jelas, bahawa untuk melahirkan generasi pewaris kepimpinan negara dan pengurus tadbir dalam setiap komponen negara memerlukan kepada generasi mahasiswa yang pemikirannya kritis, kreatif dan berjiwa besar.Maka, proses untuk mencapai matlamat ini sangat menuntut kepada suatu iklim pendidikan yang memberi ruang kepada para pelajar untuk mengasah kemahiran-kemahiran ini.Jika AUKU dikekalkan, maka impian kita untuk membawa kemajuan kepada negara pasti tidak akan tercapai dek kegagalan graduan yang bakal kita lahirkan dalam sistem pendidikan yang mengongkong.
Kesimpulannya, segala permasalahan yang berlaku dalam sistem pendidikan di Malaysia sekarang hanyalah manifestasi luaran kepada masalah akar yang merupakan masalah sebenar.Jika masalah akarnya tidak mampu dikenalpasti dan dibiarkan, maka konflik yang sama akan terus berulang di masa hadapan dalam wajah yang berbeza tetapi hakikatnya serupa.PPSMI dan AUKU adalah konflik yang wujud disebabkan kegagalan kita dalam meletakkan hala tuju negara yang jelas.Faham kemajuan yang kita anuti merupakan masalah akar kepada timbulnya konflik-konflik sebegini.Rakyat harus dipandu ke arah mencapai negara yang maju dan bertamadun mengikut acuan kita sendiri.Faham kemajuan, kejayaan dan kebahagiaan masyarakat Timur adalah berbeza dengan faham kemajuan tamadun Barat.
Jika kita menempelkan faham kemajuan tamadun Barat yang berpaksikan material ke dalam pembinaan tamadun kita, maka konflik yang lebih kompleks akan berlaku.Walhal, kita maklum, faham kemajuan Barat sebenarnya telah membawa lebih banyak kemusnahan berbanding kebaikan berdasarkan realiti semasa yang boleh kita lihat.Apakah mahu lagi kita menurut jejak langkah seperti mereka?Mahukah kita jika anak cucu kita nanti menerima nasib yang sama seperti mana diterima oleh generasi muda di Barat pada hari ini?Mahukah kita melihat institusi sosial kita punah-ranah dan kejahatan berlaku di merata tempat?Apakah ini kemajuan yang kita impikan?Untuk mengatasi masalah ini, kita masih mempunyai masa dan kesempatan.Dalam agenda Wawasan 2020, kita jelas mempunyai kerangka yang komprehensif dalam mencapai negara maju termasuk dalam aspek pembangunan sosial dan masyarakat.Kenapa hari ini kita lupakan elemen tersebut dan hanya memberi perhatian kepada aspek pembangunan ekonomi semata-mata?Jika jelas mahukan kemajuan seperti mana yang diimpikan dalam agenda Wawasan 2020, maka susun kembali garis panduan yang jelas dalam membuat sebarang keputusan untuk membangunkan negara agar setiap tindakan yang diambil berlandaskan kepada faham kemajuan dan kebahagiaan yang sejati.Wallahuallam.
AHMAD AFIF BIN AHMAD MOHTARI YASIM
(890622-08-5633)
Naib Presiden Antarabangsa
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)