Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

KENYATAAN MEDIA PKPIM: ISU PROGRAM DWIBAHASA DLP: PKPIM PERSOAL PENDIRIAN DBP

12933149_1076787632363737_2547099154087473959_n

Kenyataan Media PKPIM
08 April 2016

ISU PROGRAM DWIBAHASA DLP: PKPIM PERSOAL PENDIRIAN DBP

PKPIM merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Puustaka (DBP) yang baharu dilantik, Haji Abdul Adzis Abas, menerusi laporan akhbar Berita Harian semalam (07 April 2016) berjudul “DBP Tetap Sokong Program Dwibahasa”.

Dalam laporan tersebut, Ketua Pengarah DBP menyatakan, “Apa juga pandangan dan rancangan kementerian, itulah pandangan kita (DBP). Kita tidak boleh bergerak berasingan kerana DBP di bawah kementerian”.

Tambahnya lagi, “Kami menyokong DLP kerana merancang sesuatu program bukan mudah. Kita kena faham, prosesnya panjang sebab itu ia dipanggil program”. Beliau dilaporkan berkata demikian selepas Sidang ke-55 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) bertempat di Menara DBP, kelmarin (06 April 2016).

PKPIM menyatakan rasa kecewa kami dengan kenyataan beliau ini. Kenyataan ini menggambarkan pendirian sikap yang tidak jelas oleh Ketua Pengarah DBP yang baharu ini terhadap perjuangan mendaulatkan bahasa yang selama ini menjadi tanggungjawab dan taklifan DBP.

Oleh yang demikian, PKPIM mendesak Ketua Pengarah DBP agar segera memberi menarik balik kenyataan “dayus” beliau ini.

Pada pandangan kami, menjadi Ketua Pengarah DBP tidak bermakna menjadi “Pak Turut” dan merelakan diri “dicucuk hidung” oleh kementerian atau pihak tertentu.

Sejarah membuktikan keberanian para pendahulu beliau yang memegang taklifan sebagai Ketua Pengarah DBP. Mereka mempertahankan prinsip dan memegang amanah dan mandat yang diberikan kepada DBP walaupun bertentangan dengan polisi dan dasar semasa kerajaan. Mereka tidak mudah merelakan maruah Bahasa dicemar oleh kerakusan sang penguasa.

Sebagai contoh, Tun Syed Nasir Ismail menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967, Datuk Hassan Ahmad konsisten memperjuang kedaultan bahasa, dan terkini Datuk Dr. Awang Sariyan (Ketua Pengarah DBP ke-10) menentang pelaksanaan PPSMI dan DLP.

PKPIM juga yakin dan percaya, Ketua Pengarah DBP maklum dengan tindakan para pejuang Bahasa yang membantah pelaksanaan program dwibahasa DLP yang dilaksanakan secara tergesa-gesa ini.

Beliau sendiri sudah menerima naskah buku “Kami Bantah DLP” yang memuatkan hujah-hujah mengapa DLP wajar ditentang. Malah, beberapa orang pendokong perjuangan bahasa telahpun bertemu dan menjelaskan kepada beliau tentang bantahan ini.

Justeru, usah berdolak-dalih lagi. Sekiraya Ketua Pengarah DBP terus berkeras dengan sikap bebal ini, kami tidak akan teragak-agak untuk mengusung Keranda 152 ke DBP.

HIDUP BIAR BERJASA

Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

08 April 2016

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)