Pendidikan adalah suatu proses penting yang wajar diberi perhatian dalam konteks pembinaan masyarakat bertamadun. Dalam konteks pendidikan Islam, proses ini wajar berlaku secara berstrategi, sistematik, dan efisen. Kolej Dar al-Hikmah (KDH), Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) meletakkan harapan besar kepada para ilmuwan dan tokoh pendidik di Malaysia agar dapat membantu umat dengan menggarispandukan aspek-aspek penting dalam pendidikan tinggi Islam yang masih kelompongan di sana-sini.
Oleh yang demikian, penganjuran Seminar Pendidikan Tinggi Islam (SPTI) kali ke-8 yang dianjurkan pada 27 September 2014 adalah suatu usaha bersama yang signifikan dalam melangsungkan agenda kependidikan Islam agar agenda ini terus hidup dan memberikan impak positif kepada umat. Dengan mengangkat tema “Pendidikan al-Hikmah Pemangkin Peradaban Khayra Ummah”, digariskan empat objektif utama seminar:1) melakukan penelitian dan penyelidikan ketamadunan dengan fokus kajian gagasan dan isu-isu berkait pendidikan, jati diri dan kebudayaan;2) memanfaatkan gagasan, pemikiran dan pengalaman pendidikan tokoh-tokoh ilmuwan; 3) menggagaskan teori Pendidikan Al-Hikmah sebagai alternatif praktik pendidikan semasa: dan 4) merangka strategi penambahbaikan pendidikan dalam era semasa.
Seminar kali ini menampilkan tokoh-tokoh pendidik, cendekiawan dan aktivis dakwah yang telah sekian tahun terlibat secara serius dengan agenda pendidikan umat. Seminar kali ini telah membahas lima makalah ilmiah yang dibentangkan oleh tokoh pendidik dan ilmuwan dengan tema-tema seperti berikut: 1) “Pendidikan al-Hikmah Pemangkin Peradaban Khayra Ummah”; 2) “Pelaksanaan Pendidikan Sepadu dalam Kerangka Sistem Dualisme Pendidikan: Pengalaman Malaysia dan Negara Brunei Darussalam”; “Fungsi Pendidikan dalam Pembinaan Jati Diri dan Ketamadunan: sejauh Mana Berperanan?”; 4) “Bahasa Sebagai Wahana Keterampilan Jati Diri dan Kebudayaan”; dan 5) “Isu-isu dalam Pendidikan Era Sains dan Teknologi”.
Pendidikan dan Pembinaan Tamadun: Menelusuri Gagasan Pendidikan al-Hikmah Seminar dimulakan dengan ucaptama oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Kolej Dar al-Hikmah (KDH) merangkap Pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan (AKK), bertajuk “Pendidikan al-Hikmah Pemangkin Peradaban Khayra Ummah”. Tiga isi utama yang menjadi intipati ucaptama beliau ialah: 1) Keunggulan Umat (Khayriyatu ‘l-ummah); 2) Hikmah (wisdom); dan 3) Pendidikan al-Hikmah.
Memetik Surah Ali-‘Imran ayat 110, beliau merumuskan bahawa pendidikan al-Hikmah itu bertujuan membina khayriyyatul ummah iaitu keunggulan umat. Sistem pendidikan kita harus berteraskan iman, komitmen terhadap nilai-nilai kemakrufan, dan semangat melawan gejalakemungkaran. Khayriyyah (keunggulan) ini adalah keunggulan bersyarat (syurut al-muktasabah), ia bukan suatu keunggulan yang diwarisi (la ‘unsuriyyahy mawruthah).
Seterusnya, beliau cuba mengkonsepsikan ‘hikmah’ sebagai suatu unsur ‘substantial’ dalam pendidikan Islam. Menurut beliau, ilmu dalam konteks pendidikan Islam harus selamanya terangkai dengan hikmah yang beliau ertikan sebagai ‘ketajaman daya renung yang tembus ke lapisan terdalam segala sesuatu’. Orang-orang yang diberikan hikmah adalah orang-orang yang diberikan nikmat kebaikan yang banyak. Orang yang dikurniai dengan hikmah ini dikenali sebagai golongan ulu ‘l-albab. Perjalanan keintelektualan golongan ini akhirnya akan berhujung dengan taqwa kepada Allah swt.
Dalam membahaskan konsep ‘Pendidikan al-Hikmah’, Dato’ Dr. Siddiq Fadzil meletakkan sepuluh prinsip pesan-pesan Luqman al-Hakim kepada anaknya seperti yang terakam dalam surah Luqman. Pesan kebapaan ini penuh dengan kebijaksanaan tersendiri, malah menurut beliau, ini merupakan pesan Ilahi yang disampaikan menerusi lisan seorang hamba-Nya yang telah dikurniakan ‘hikmah’. Sepuluh pesan inilah yang menjadi intipati kepada pendidikan al-Hikmah yang merupakan suatu terjemah pendidikan Islam yang sebenar: 1) Pemurnian ‘aqidah; 2) Kebaktian kepada kedua ibu bapa; 3) Ketegasan sikap berdasarkan iman, ilmu dan akal sihat; 4) Kesedaran terhadap pengawasan Allah; 5) Pelaksanaan solat; 6) Kewajipan amar ma’ruf nahi munkar; 7) Kesabaran (daya tahan) menempuh ujian; 8) Penghindaran dari keangkuhan; 9) Keserhanaan cara jalan; 10) Pelunakan suara.
Buat Si Toni: Peluncuran Karya Terbaharu Siddiq Fadzil
Si Toni dicabut kupingnya satu yang kanan
Maka suara masuk kuping kiri tembus ke otak
Dikirim baik dan jatuh dikuping kiri lagi
Si Toni dipotong tangannya satu yang kanan
Maka dia belajar menulis dengan tangan kiri
Si Toni diambil satu matanya yang kanan
Maka air matanya tetes ke sebelah kiri
Si Toni dipetik jantungnya lewat rongga kanan
Tapi gagal karena jantung itu mengelak ke kiri
Si Toni dipotong ginjalnya satu yang kanan
Tak gagal karena sesuai secara faali
Si Toni diambil kakinya satu yang kanan
Maka dia main bola cuma dengan kaki kiri
Lama-lama si Toni jadi kidal
Kupingnya yang bisa dengar kuping kiri
Tangannya yang main gitar tangan kiri
Air matanya menetes di mata kiri
Ginjalnya menyaring di sebelah kiri
Dia tendang bola dengan kaki kiri
Lama-lama si Toni ingin kerja
Cita-citanya lumayan sederhana
Dia mau jadi sopir saja
Tapi tak ada lowongan baginya
Karena kendaraan setir kanan semua
Hai Tunggu dulu,
Toni ini anak sayakah
Atau anak saudarakah?
Atau barangkali kemenakan kita?
Keadaan ini memang aneh
Sore ini jam empat tepat
Dengarlah dia sedang mengocok gitarnya
Dengan cara anak muda bergaya kidal
Dan itu bukan suara gerimis,
bukan
Itu air matanya
Memukul-mukul lantai beranda.
(Taufiq Ismail, “Sajak Anak Muda Serba Sebelah”)
Usai ucaptama Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, seminar dikejutkan dengan ‘suara entah dari mana’, secara tiba-tiba deklamasi sajak Anak Muda Serba Sebelah nukilan Taufiq Ismail, pujangga dari Tanah Seberang. Saudara Azizan Ajiji, yang merupakan aktivis PKPIM mendeklamasikan sajak ini, sebagai gimik peluncuran karya terbaharu Dato’ Dr. Siddiq Fadzil berjudul “Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan: Himpunan Pidato Kependidikan Siddiq Fadzil (Edisi Kemaskini)’.
Menariknya, sajak ini dipetik daripada karya Dato’ Dr. Siddiq Fadzil sendiri, dan dalam bahagian awal buku ini dicatatakan dedikasi buku ini “buat Si Toni dan Teman-teman yang Senasib dengannya”. Majlis peluncuran karya ini kemudiannya disempurnakan oleh Dato Dr. Siddiq Fadzil sendiri. Seminar diteruskan lagi dengan pembentangan makalah oleh para pembentang yang merupakan tokoh-tokoh utama pendidikan, akademia dan aktivis kemasyarakatan.
Sidang 1: Konsep dan Aplikasi Pendidikan Bersepadu
Salah satu aspek penting yang mengadun dalam pendidikan Islam ialah ‘kesepaduan’. Ini merupakan sifat penting ‘pendidikan Islam’ yang akan memastikan bahawa proses penyaluran ilmu ini akan membina manusia yang holistik dan lengkap. Dalam sejarah ketamadunan manusia, era sekularisme telah membangunkan epistemologi Barat dan memberi kesan terhadap konsep pendidikan. Pemisahan dikotomis yang dicerna dalam pandangan alam (worldview) sekular ini akhirnya menatijahkan sistem pendidikan sekular (secular education). Menurut Dr. Ghazali Basri dalam pembentangan makalah beliau bertajuk “Pelaksanaan Pendidikan Sepadu dalam Kerangka Sistem Dualisme Pendidikan: Pengalaman Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.”, pendidikan sepadu bertitik tolak daripada epistemologi Islam yang meletakkan bahawa keseluruhan sumber ilmu itu adalah Allah swt. Islam menganjurkan konsep kesepaduan ilmu dengan mengiktiraf apa sahaja bidang ilmu yang bermanfaat kepada manusia asalkan sahaja menurut urutan keutamaan, prioriti dan martabat masing-masing.
Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam perangkaan dan pelaksanaan sistem pendidikan Islam dan pendidikan sepadu di Malaysia dan Negara Brunei Darussalam, beliau meletakkan tiga kerangka model pelaksanaan pendidikan sepadu: 1) Model A: Gabungan Antara Ilmu-ilmu Moden dan Ilmu-ilmu Islam (gaya UIA); 2) Model B: Nilai-nilai Merentas Kurukulum (Model ABIM); 3) Pembangunan Sains dan Teknologi dengan Pendekatan Islam.
Berdasarkan pengalaman beliau dalam perangkaan dan pelaksanaan konsep pendidikan sepadu di Malaysia dan Negara Brunei Darussalam, beliau berkesimpulan bahawa kedua-dua buah negara ini sudah tidak lagi komited dalam pelaksanaan sistem pendidikan sepadu. Kesimpulan beliau ini didasarkan kepada aspek kultural masyarakat Malaysia dan Brunei dalam meraikan konsep dan pelaksanaan pendidikan sepadu, khususnya apabila sudah merasa selesa dengan status quo sistem pendidikan aliran perdana yang telah sedia ada.
Walau bagaimanapun, beliau masih lagi optimis dengan potensi yang dipunyai oleh kedua-dua negara ini dalam mengangkat semula gagasan pendidikan sepadu bagi menggantikan aliran perdana yang bersifat dualisme. Di Malaysia, dengan adanya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), diharapkan dapat dikembangkan konsep pendidikan sepadunya dalam sistem pendidikan nasional. Manakala di Brunei, dengan komitmen pemerintah mengangkat gagasan negara zikir, pelaksanaan hukum syariat dan penubuhan dua Institusi Pengajian Tinggi Islam (Universiti Islam Sultan Syarif Ali – UNISSA dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan – KUPU SB), diharapkan agar gagasan pendidikan sepadu dapat dikembangkan semula.
Sidang 2: Bahasa dan Pendidikan dalam Pengukuhan Jati Diri dan Pembangunan Tamadun
Sidang-2 menampilkan dua orang tokoh pembentang, Hj Ahmad Mohamad Said dan Datuk Dr. Awang Sariyan. Dengan mengangkat topik “Fungsi Pendidikan dalam Pembinaan Jati Diri dan Ketamadunan: Sejauh Mana Berperanan?”, Hj Ahmad Mohamad Said, seorang tokoh pendidik dan mantan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru di Kementerian Pendidikan Malaysia, mengangkat persoalan apakah hubungan antara pendidikan, jati diri dengan pembinaan peradaban manusia. Manakala Datuk Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula mengangkat martabat bahasa sebagai medium penting pembangunan tamadun dengan membentangkan makalah berjudul “Bahasa Sebagai Wahana Keterampilan Jati Diri dan Kebudayaan”.
Pembinaan Jati Diri Melalui Pendidikan
Maksud dan tujuan pendidikan wajar diperjelas semula, dalam suasana dan iklim pendidikan yang hanya bertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata yang diukur dengan gred A. Dalam kekalutan pendidikan semasa ini, ramai orang melupakan fungsi sebenar pendidikan adalah untuk membina manusia yang utuh, walhal orang ramai bersekolah dan belajar mengejar gred yang baik untuk mendapat tempat dalam dunia pekerjaan. Oleh yang demikan, makalah yang dibentangkan oleh Hj Ahmad Mohamad Said, “Fungsi Pendidikan dalam Pembinaan Jati Diri dan Ketamadunan: Sejauh Mana Berperanan?” adalah sangat releven dengan kondisi semasa pendidikan yang wajar direnungi.
Beliau meletakkan premis asas bahawa pendidikan berfungsi untuk membina jati diri dan tamadun. Walau bagaimanapun, sistem pendidikan moden-liberal-sekular yang menjadi tunjang kepada pelaksanaan sistem pendidikan arus perdana kurang memberi perhatian kepada pembinaan jati diri yang hakiki dan tamadun yang lengkap dan seimbang. Akibatnya, kita menerima padahnya atas sebab kita juga turut menjayakan model pendidikan yang hampir sama.
Oleh yang demikian, beliau menyarankan supaya anjakan paradigm yang sesuai dan serasi dengan keyakinan dan pegangan hidup kita selaku masyarakat Muslim. Keperluan kita adalah paradigm pendidikan yang lengkap dan menyeluruh, sepadu dan integratif yang ditunjangi prinsip Tawhid.
Memartabatkan Bahasa Melayu Melalui Pendidikan: Amanah Besar Warga Pendidik
Datuk Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kemudiannya membentangkan makalah beliau berjudul “Bahasa Sebagai Wahana Keterampilan Jati Diri dan Kebudayaan”. Beliau menyatakan pembentangan beliau ini bertitik tolak daripada isu yang dasar iaitu yang berkaitan dengan hakikat bahasa dan hakikat diri insane menurut kerangka falsafah dan kemudian pertaliannya dalam proses pengasasan dan penembangan tamadun serta pembinaan negara.
Menurut beliau, bahasa adalah sebahagian daripada fakulti ilmu yang terletak dalam akal manusia. Justeru, bahasa adalah penting kerana menjadi salah satu komponen akal manusia. Kemajuan pemikiran atas pengembangan potensi akal akan membawa kepada pengembangan budaya seterusnya pembinaan tamadun dan peradaban manusia. Jelasnya, peradaban itu dibangunkan dengan kemajuan pemikiran yang dicetuskan oleh akal yang dikembangkan potensinya dan bahasa adalah salah satu komponen akal, maka bahasa juga memainkan peranan penting dalam memacu peradaban manusia.
Dalam membahaskan aspek yang sama, beliau membahagikan tahap pengembangan Tamadun Melayu kepada dua fasa gelombang: 1) Zaman Melayu Kuno; 2) Zaman Melayu Klasik. Zaman Melayu Kuno adalah zaman kerajaan-kerajaan Melayu pra-Islam yang muncul dan berkembang secara signifikan dalam kawasan Alam Melayu. Bahasa Melayu telah memainkan peranan penting dalam tiga aspek penting iaitu sebagai bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa perdagangan, dan bahasa pengajian agama.
Kebangkitan kerajaan-kerajaan Melayu dalam bentuk sistem kesultanan menandai gelombang tahap kedua pengembangan tamadun Melayu. Menurutnya lagi, Bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka telah memperoleh bentuk yang mantap dan bahasa itulah yang kita warisi kini. Manakala Bahasa Melayu kuno kini kelihatan begitu asing dan sukar difahami disebabkan pengaruh kuat daripada Bahasa Sanksrit baik dari segi kosa katanya mahupun tatabahasanya.
Dalam konteks pembinaan negara bangsa, beliau mempertahankan Bahasa Melayu dimasukkan sebagai salah satu agenda pembinaan negara. Dasar Bahasa Kebangsaan perlu terus diperjuangkan dan dipertahankan. Beliau juga membangkitkan isu pemantapan korpus Bahasa Melayu dalam konteks pembakuan, penyelarasan dan juga penstandardan dalam semua lingkungan penggunaan bahasa baik secara rasmi mahupun tidak rasmi. Oleh yang demikian, beberapa saranan dan cadangan beliau wajar untuk diperhalusi dan dilaksanakan: 1) Perancangan yang berkaitan dengan taraf dan peranan Bahasa Melayu, meliputi peruntukan undang-undang tentang taraf Bahasa Melayu dalam urusan rasmi, pendidikan, penggunaan hariannya, dan penubuhan audit bahasa bagi memantau pelaksanaan peruntukan undang-undang ini; 2) Perancangan yang berkaitan dengan pemupukan Bahasa Melayu Tinggi merangkumi usaha bersepadu kerajaan dan sektor swasta serta media massa dalam membudayakan bahasa Melayu tinggi, dan menjadikan Bahasa Melayu sebgai bahasa supra-nasional yang juga digunakan oleh masyarakat lain.
Beliau menutup pembentangan makalah ini dengan suatu pernyataan sikap bahawa bahasa tidak wajar dikorbankan atas nama kemajuan dan pembangunan.
Sidang-3: Isu-isu dalam Pendidikan Era Sains dan Teknologi
Sesi pembentangan terakhir adalah pembentangan oleh Prof Madya Dr. Mat Rofa Ismail dari Jabatan Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau merupakan seorang akademia yang menekuni bidang matematik dalam masa yang sama menceburkan diri dalam disiplin pemikiran, falsafah dan metafizik. Beliau memulakan pembentangan makalah bertajuk “Isu-isu dalam Pendidikan Era Sains dan Teknologi” dengan bertanyakan satu soalan “apakah hubungan sains dan matematik dengan metafizik dan ketuhanan?”. Ternyata soalan ini menyentak para hadirin dan peserta seminar.
Premis awal beliau adalah kehidupan sesorang Muslim adalah penghayatan keseluruhan maksud keimanan kepada Ilahi dalam konteks ibadat dan aktiviti hariannya termasuk kegiatan berkaitan Sains dan Matematik. Namun reality yang berlaku dalam pelaksanaan pendidikan Sains dan Matematik di semua peringkat pengajian di Malaysia nampaknya tiada beza dengan apa yang dilakukan di Barat, kerana kecenderungan memisahkan aspek metafizik ketuhanan dengan akademik.
Beliau memaparkan sebuah kajian kes yang menarik tentang kajian terhadap guru Matematik di Malaysia dan Fahaman Logikisme, Formalisme dan Intuisisme. Ternyata berdasarkan kajian tersebut didapati bahawa kebanyakan guru Matematik memang mengamalkan pengajaran matematik dengan falsafah “matematik sebagai sistem tanpa/ bebas nilai” yang menafikan kesepaduan ilmu Matematik daripada unsur intelek dengan unsur kerohanian.
Kejadian yang sama berlaku dalam sistem pengajian Matematik di peringkat IPT. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab para akademia dan pakar-pakar bersidang dan merangka strategi dalam merubah pelaksanaan pengajian matematik yang jelas bercanggah dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). selain mengajarkan ‘techne’ dalam pengajian Matematik, aspek falsafah dan sejarah Matematik wajar diberi perhatian dalam kurikulum IPT. Beliau juga berharap agar dapatan yang beliau tuangkan dalam makalah ini nanti dapat dimanfaatkan untuk usaha pentakrifan semula kerangka matematik acuan negara yang melihat kesepaduan sebagai acuan dan matlamatnya.
Resolusi: Angkat Martabat Pendidikan dalam Usaha Membangun Tamadun
Setelah selesai keseluruhan pembentangan, Pengarah Program al-Fadhil Ustaz Mohd Nasir Mohd Tap, yang juga merupakan Pensyarah Kanan KDH merangkap Timbalan Pengarah AKK meneraju sesi resolusi dan kesepakatan. Digariskan beberapa kesepakatan bersama yang telah dicapai dalam Seminar Pendidikan Tinggi Islam ke-8 bagi tahun 2014 ini:
1. Menyedari bahawa Falsafah Pendidikan al-Hikmah adalah suatu kerangka pendidikan holistik dan bersepadu yang berdasarkan faham tauhidik yang wajar didokong secara bersama oleh seluruh aktivis pendidikan.
2. Menginsafi keperluan mendesak untuk kita mengemaskini institusi pendidikan yang mendokong Falsafah Pendidikan al-Hikmah khususnya institusi pendidikan di bawah seliaan jamaah WADAH-ABIM-PKPIM, seterusnya melakukan usaha pemantapan institusi secara serius dan efisen.
3. Mengangkat faham dan falsafah Pendidikan al-Hikmah yang menyemangati hakikat falsafah dan prinsip Tauhid.
4. Memberikan komitmen penuh dalam perjuangan Islamisasi ilmu sebagai suatu kelangsungan yang perlu diteruskan.
5. Mengusahakan proses kajian terhadap epistemologi Islam dan terjemahannya dalam sistem pendidikan kita adalah suatu yang sangat penting dan perlu disegerakan.
6. Mendokong institusi penyelidikan dan pengurusan pendidikan seperti Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) dan Yayasan Takmir Pendidikan (YTP), khususnya dari aspek kewangan dan sumber manusia.
7. Memanfaatkan tenaga para pemikir dan aktivis pendidikan yang berpengalaman dalam perjuangan kependidikan ini. Pengkalan data para pejuang senior dalam pendidikan perlu diusahakan dan usaha dokumentasi perjaungan pendidikan perlu disegerakan.
8. Mengembleng secara sungguh-sungguh usaha memasyarakatkan falsafah Pendidikan kepada rakyat dan masyarakat awam,
9. Menyedari bahawa Bahasa Melayu perlu dimartabatkan sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa penggunaan dalam urusan rasmi di samping tidak mengetepikan penguasaan bahasa asing yang lain.
10. Agar segala cita dapat disempurnakan dengan jayanya, perjuangan ini menuntut sokongan dan komitmen penuh semua, termasuk dalam aspek pendanaan.
Resolusi ini telah disepakati secara bersama oleh keseluruhan peserta seminar kali ini. Kesepakatan ini akan dibawa kepada Ahli Majlis Tertinggi Pendidikan al-Hikmah yang terdiri daripada para ilmuwan, wakil guru dan pendidik, pakar dalam bidang pendidikan, dan aktivis sosial. Seminar berakhir pada jam 6.00 petang. Rakaman seminar boleh ditonton di laman Youtube Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) dan juga boleh diakses di www.waptv.my.
Mohammad Fazril Mohd Saleh
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
January 5, 2015 , 5:23 petang