“Menara Gading dan Jasa Mahasiswa: Apresiasi kepada Penggerak PMG Seluruh Negara”
1- Assalamualaikum w.b.t. Bismillahir rahmanir rahim, Alhamdulillah, segala puji kepada Allah Tuhan sarwa sekalian alam yang dengan Kasih Sayang-Nya menyediakan kita dengan ni’mat yang pelbagai.
2- Selawat dan salam kepada Junjungan Besar al-Rasul Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat dan mereka yang berjalan di atas jalannya sehingga hari Kiamat.
Saudara-saudaraku,
3- Mewakili qiyadah di peringkat pusat, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada para penggerak Perkampungan Menara Gading (PMG) peringkat negeri-negeri seluruh Malaysia yang sedang bertungkus lumus dalam persiapan akhir menjelang hari kejadian. Selamat beraktiviti, berinduksi, berwacana dan bermusyawwarah.
4- Sesungguhnya, inilah prinsip asas dalam jamaah kita yang sentiasa kita dukungi dalam memacu kekuatan umat: syura dan amal jama’i. Kami doakan segala persiapan akhir untuk PMG di tempat masing-masing akan dipermudahkan oleh Allah s.w.t.
Saudara-saudaraku sekalian,
5- Sebagaimana yang kita sedia maklum, Perkampungan Menara Gading (PMG) adalah agenda yang kita gerakkan saban tahun. Sekian lama, ia digerakkan dan menjadi tradisi pertubuhan kita. Ini merupakan salah satu proses tarbiyah buat anggota dan pendokong gerakan PKPIM dalam usaha membentuk individu yang kompetens lagi berjasa.
6- Tahun ini, InshaAllah dengan izin Allah Taala, kita semua bakal menjalankan PMG di sebelas buah negeri seluruh negara. Bermula dengan Negeri Perak (22-25 Januari 2015), Negeri Johor (22-24 Januari), Negeri Pahang (23-25 Januari), Negeri Pulau Pinang (30 Januari – 01 Februari), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (13-15 Februari), Negeri Selangor (18-22 Februari) Negeri Sarawak (19-22 Februari), Negeri Kedah (20-22 Februari), Negeri Terengganu (26-28 Februari), Negeri Sembilan (27 Februari – 01 Mac), dan Negeri Perlis (27 Februari – 01 Mac). Awal atau pertengahan bulan Mac akan disusuli pula dengan Perkampungan Menara Gading Peringkat Kebangsaan 2015 (PMGK 2015).
7- Alhamdulillah, ungkapan syukur kita ucapkan kerana Allah telahpun memberikan kekuatan kepada kita semua untuk menggerakkan agenda umat ini. Ayuh kita teruskan, tanpa rasa lelah dan gundah, kerana Allah pasti akan mengganjari amalan perbuatan kita yang baik dan ikhlas ini. InshaAllah.
Saudaraku,
8- Marilah sama-sama kita kenangi dan insafi Firman Ilahi: “…Dan dia berdoa, “Ya Tuhanku, anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua-dua orang tuaku, dan agar aku mengerjakan kebajikan yang ENgkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba yang soleh.” (Al-Naml: 19).
9- Saya berharap dan berdoa, agar Allah s.w.t menganugerahkan kepada kita rahmat dan barakah. Dengan kurniaan itu, maka percayalah, segala urusan kita akan menjadi lancar.
Saudara-saudara yang berjasa,
10- Dalam ruang dan kesempatan ini, suka saya berpesan beberapa perkara, buat ingatan dan pedoman bersama. Supaya nanti suatu masa, saat-saat getir yang kita terasa, akan menjadi mudah dengan izin-Nya.
11- Pertama, kita adalah manusia-manusia terpilih, yang diaturkan oleh Allah untuk menggerakkan sebuah agenda mulia, proses mendidik masyarakat dan anak bangsa kita. PMG adalah suatu yang amat berharga dan bernilai bagi adik-adik kita, kerana dengan ilmu dan pengalaman dalam program PMG ini, akan menjadi bekalan berguna buat mereka bersedia menempuh alam kampus nanti. Justeru, berbanggalah kerana terpilih menjadi para penggerak PMG di tempat masing-masing.
12- Kedua, dalam penganjuran PMG, kita semua memperoleh banyak sekali kebaikan dan manfaat. Kita beroleh ilmu, jaringan, persahabatan, dan pengalaman. Semua ini adalah anugerah Tuhan kepada kita. Justeru, bersyukurlah kepada Allah.
13- Ketiga, kita meyakini bahawa jamaah kita (PKPIM) punya potensi bangkit dan melakukan reformasi serta perubahan dalam masyarakat. Ia bermula dengan diri kita masing-masing. Dengan menganjurkan program seumpama ini, marilah kita menilai potensi besar yang terpendam dalam diri kita, rakan-rakan dan adik-adik peserta nanti.
14- Keempat, dalam sejarah perjalanan dan perjuangan PKPIM, ramai sekali tokoh yang dilahirkan, dalam semua peringkat masyarakat, baik pemimpin, akademia, politikus, profesional, teknokrat dan sebagainya. Bukan berniat bernostalgia, tetapi biar ingatan kembali ini jadi pembakar semangat buat kita semua untuk jadi orang berjaya. Para pendahulu kita semasa zaman bergiat sebagai aktivis PKPIM dahulu pun dilatih dalam proses sebagaimana kita dilatih kita. Mengendalikan PMG adalah salah satu latihan yang melorongkan kita kepada jalan kejayaan sepertimana mereka dahulu.
15- Kelima, hormati dan santuni kepelbagaian yang muncul dalam kalangan sahabat seperjuangan kita. Mereka adalah sahabat kita, kurniaan Allah kepada kita semua. Justeru, santuni mereka sebaiknya. Sayangilah mereka sebagaimana kalian menyayangi diri kalian. Insafi kisah tiga orang sahabat Rasulullah s.a.w yang sentiasa meletakkan kepentingan sahabat lain walaupun di ambang sakaratul maut:
“Ikrimah meminta air minum, kemudian ia melihat Suhail sedang memandangnya, maka Ikrimah berkata, “Berikan air itu kepadanya.” Dan ketika itu Suhail juga melihat al-Harits sedang melihatnya, maka iapun berkata, “Berikan air itu kepadanya (al Harits)”. Namun belum sampai air itu kepada al Harits, ternyata ketiganya telah meninggal tanpa sempat merasakan air tersebut (sedikitpun). (HR Ibnu Abdil Barr dalam at Tamhid)
16- Begitulah beberapa catatan untuk ingatan kita sekalian! Tahniah dan selamat maju jaya sahabat-sahabatku sekalian! Teruskan berjaya. InshaAllah PMG seluruh negara berjaya!
Hidup Biar Berjasa!
Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
22hb Januari 2015