Pada 28 Januari sehingga 4 Februari 2013 yang lalu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) DAN Angkatan Belia Islam (ABIM) telah dijemput untuk menghadiri International Youth Gathering (IYG) kali ke9 anjuran The Union of NGOs of The Islamic World (UNIW) yang diadakan di Near East University, Nicosia, Cyprus. Program yang berlangsung di Istanbul, Turki dan Nicosia, Cyprus ini diwakili oleh delegasi Malaysia yang diketuai oleh Saudara Mu’izzuddin Mustafar, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM dan disertai oleh ahli PKPIM dari kampus dan juga Badan Gabungan Negeri. Persidangan pada kali ini ialah mengangkat tema “Problematic Regions in Islamic World”.
Pada 31 Januari 2013, iaitu hari pertama persidangan, wakil daripada delegasi Malaysia, saudara Muhammad Suhail Ahmad telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk ‘‘AlNour Society Welfare Foundation Solutions to the Problems of Islamic World: Role of Youth and People Surrounding Them”. Fokus hari pertama persidangan adalah permasalahan umat Islam di negaranegara Balkan, Amerika dan Eropah. Sesi pertama menampilkan pembentang muda yang mantap dari Negara-negara Balkan seperti Cyprus, Macedonia, Kosovo, Serbia, Albania dan Russia. Sesi kedua pula menampilkan wakil daripada Eropah seperti England, Perancis, Jerman, Belgium dan terakhir sekali wakil daripada Amerika Syarikat.
Pada hari kedua persidangan, iaitu pada 1 Februari 2013, medan perbincangan telah dibuka untuk negara-negara Asia dan Afrika seperti Bangladesh, Kyrgystan, Afghanistan, East Turkistan, Chad, South Africa, Libya, Turki, Burkina Faso dan Somalia. Dua orang pensyarah juga telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja mereka seperti Ali Sahin yang merupakan ahli parlimen di Gaziantep serta wakil daripada Justice and Development Party, dan juga Duta Republik Chad iaitu Ahmet Kavas.
Pada hari terakhir persidangan, fokus diberikan kepada negara-negara Timur Tengah seperti Yaman, Iraq, Bahrain, Arab Saudi, Syria, Palestin, Turki, dan Lebanon. Selain daripada pembentangan kertas kerja oleh pemuda-pemuda Timur Tengah, beberapa orang pembentang yang berwibawa telah dijemput khas untuk memberikan lebih banyak maklumat dan informasi tentang isuisu negara yang sedang bergolak seperti Syria dan Palestin, seperti Naib Setiausaha Agung IHH, Hasan Aynaci yang membuat penyelidikan khusus tentang situasi politik dan kehakiman di Palestin, Kemal Ozdal yang merupakan Presiden Sadakatasi serta pengkaji dan penyelidik situasi dan keadaan terkini berkaitan dengan para pelarian dari Syria, dan tidak ketinggalan Musab Aydin yang merupakan Presiden WEFA dan juga penyelidik situasi dan kadar kebuluran di Arakan. Turut serta pada hari itu adalah saudara Muhammad Mu’izzuddin Bin Mustaffar yang membentangkan kepada masyarakat antarabangsa tentang isu Umat Rohingya di Arakan yang ditindas oleh kerajaan Myanmar.
Para delegasi daripada negara-negara yang hadir telah bersepakat bahawasanya umat Islam perlu kembali menghayati Islam dengan berpandukan AlQuran dan Sunnah Rasulullah s.a.w untuk membina sebuah empayar Islam yang kuat dan bersatu. Para peserta juga sedar akan kepentingan ukhuwwah dan jaringan antarabangsa dalam membentuk satu fraterniti Islami yang didasari tauhid dan kasih sayang sesama Muslim tanpa mengira perbezaan geografi, warna kulit, bangsa dan bahasa. Persidangan kali ini berpusat di Turki dan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang kekuatan dan kelemahan Empayar Turki Uthmaniyyah supaya para belia Islam dapat mengambil iktibar, pendoman, pengajaran dan ilmu dalam usaha untuk menyatukan hati seluruh penggerak belia Islam lantas membangunkan sebuah tamadun Islam serta membentuk khayra ummah. Semoga segala usaha untuk menyatukan umat Islam pada era globalisasi penuh berliku ini dapat melahirkan generasi syabab yang kuat dan matang dan memperoleh restu dari Allah SWT.
Nur Farhanah Azmi
Setiausaha Delegasi Malaysia ke IYG9