Kenyataan Media
15 Januari 2012 M/ 3 Rabiul Awal 1434 H
PKPIM GESA PRESIDEN SUARA WANITA 1 MALAYSIA TAMPIL MOHON MAAF
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memandang serius terhadap tindakan yang dilakukan oleh Pn. Sharifah Zohra Jabeen, Presiden Suara Wanita 1 Malaysia terhadap seorang mahasiswa ketika sesi forum di Universiti Utara Malaysia. Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari kalangan pimpinan mahasiswa di kampus, tindakan yang dilakukan oleh beliau sangat memalukan dan mengejutkan seluruh mahasiswa di Malaysia.
Pendidikan adalah proses dua hala antara pemberi dan penerima. Seharusnya Pn. Sharifah Zohra lebih berhati-hati dalam menjalankan sesi forum bersama-sama mahasiswa lantaran pendidikan yang baik adalah melahirkan insan yang baik sebagaimana yang dihuraikan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas yakni pendidikan adalah menciptakan manusia baik dan beradab. Forum tersebut seharusnya dijalankan dengan menghormati adab antara satu sama lain dalam memberikan pandangan.
Mahasiswa seharusnya dan sememangnya perlu diberikan peluang untuk bersuara bukannya diperlakukan dengan tindakan mencantas sedemikian. Hal ini sejajar dengan prinsip demokrasi yang sewajibnya berlaku di negara kita yakni setiap individu mempunyai hak untuk bersuara menyatakan pandangan dan pendapat masing-masing.
Sebagai individu yang professional dan terpelajar, Pn. Sharifah Zohra sepatutnya menampilkan sikap yang terbuka dan tenang serta professional dalam menghadapi situasi pertanyaan saudari Bawani dalam forum tersebut. Pandangan seorang mahasiswa sewajarnya dilihat sebagai pandangan yang positif untuk membina kepimpinan masa depan, bukannya dilihat sebagai anti-kerajaan atau anti kepada mana-mana parti politik.
Sesungguhnya, tindakan Pn. Sharifah Zohra Jabeen telah memburukan imej sebagai salah seorang pemimpin sebuah salah sebuah badan bukan kerajaan di bawah kerajaan Malaysia malah sekaligus mencalarkan imej Islam terhadap orang bukan Islam. Forum yang sepatutnya menjadi medium untuk mengangkat martabat nilai keilmuan di universiti telah dicalari dengan nilai yang membodohkan dan mengaibkan nilai institusi pendidikan tinggi. Sesungguhnya ingatlah pesan Profesor Ungku Aziz, belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin berpengalaman dan terpelajar. Itulah yang sepatutnya yang berlaku dalam mengangkat nilai intelektualisme dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat Malaysia. Ayuh, hidup suburkan budaya ilmu dalam Institut Pengajian Tinggi!
Oleh hal yang demikian, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia menggesa supaya Pn. Sharifah Zohra untuk tampil dan membuat kenyataan memohon maaf kepada seluruh mahasiswa terutama saudari Bawani atas tindakan beliau terhadap insiden yang berlaku. Dan kami berharap insiden yang mengaibkan nilai kepemudaan mahasiswa tidak akan berlaku lagi. Sesungguhnya, prinsip hikmah as-Syuyukh fi hamasati syabab yang membawa maksud kebijaksanaan orang tua dan semangat orang muda wajib digunakan dalam menangani isu ini.
‘‘HIDUP BIAR BERJASA’’
KHAIRUL ANUAR ABDUL MANAP
Setiausaha Agung
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia