TONGGAK-TONGGAK KEHIDUPAN BERMASYARAKAT DAN BERNEGARA: MENANGKAP MESEJ
AYAT 58 & 59 SURAH AL-NISA’
Shumuliyyat al-Islam bererti kesempurnaan Islam sebagai cara hidup yang meliputi segala bidang, termasuk bidang kemasyarakatan dan kenegaraan. Ayat 58 dan 59 surah al-Nisa’ menyebut empat tonggak utama kehidupan (bermasyarakat dan bernegara) yang faith-based iaitu amanah, keadilan, kepatuhan dan kesediaan menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai rujukan (ketika timbul perselisihan).
Amanah
Dalam pengertian luas, amanah meliputi segala yang dipercayakan kepada seseorang, dan segala perintah yang wajib dilaksanakan, adalah tanggungjawab yang wajib ditunaikan dan sekaligus nilai akhlak yang wajib ditegakkan. Amanah dalam ayat tersebut merujuk makna yang seluas-luasnya meliputi segala jenis amanah yang berinduk pada al-amanat al-kubra (amanah induk) fitrah keinsanan yang tidak disanggupi oleh makhluk-makhluk lain.
Amanah terbesar yang telah disanggupi oleh manusia ialah amanah hidayah, ma`rifah dan iman yang harus dicapai dengan kesedaran, kerelaan dan kemahuan sendiri, dengan usaha gigih dan susah-payah mujahadah yang berterusan. Berbeza daripada makhluk-makhluk lain yang menerima petunjuk dari Allah dan patuh kepada-Nya secara naluriah, tanpa susah-payah.
إنّا عرضنا الأمانة على السموت والأرض والجبال فأبين أن يحملنها وأشفقن منها
وحملها الإنسان، إنّه كان ظلوما جهولا
Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-gunung; maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh. (Al-Ahzab:72).
Dari al-amanat al-kubra itulah bercabangnya pelbagai amanah lain, termasuk amanah kesaksian terhadap al-Islam sebagai agama anutan. Kerelaan menerima al-Islam sebagai agama membawa implikasi amanah penghayatan dan penjiwaannya dalam kehidupan.
Amanah ini harus dilaksanakan dengan mujahadah menterjemahkan ajaran Islam (prinsip, nilai dan hukum-hakamnya) dalam diri sehingga al-Islam seutuhnya tercermin pada segala perilaku, pemikiran dan perasaannya. Apabila amanah penghayatan dan penjiwaan ini dilaksanakan akan terbentuklah keperibadian Muslim yang menggambarkan keindahan citra Islam yang sebenarnya.
Pencitraan Islam pada watak dan keperibadian Muslim adalah bentuk dakwah yang paling berkesan. Justeru, khalayak umum akan mudah terpikat apabila menyaksikan jelmaan Islam yang hidup secara real dan aktual pada diri seorang manusia Muslim.
Di samping penghayatan dan penjiwaan, amanah kesaksian terhadap Islam juga meliputi amanat al-da`wah, amanah penyebaran dan penyiaran Islam seluas-luasnya. Memang Islam tidak hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk dikongsi dan dinikmati bersama dengan seluruh warga alam kerana ia adalah rahmatan li al-`alamin.
Ikut tercakup dalam amanah kesaksian ini ialah perjuangan melaksanakan syari`at Islam sebagai sistem hidup umat dan sebagai order dunia seluruhnya.
Amanah pendaulatan syari`at ini harus dilaksanakan dengan jihad, perjuangan dan pengorbanan, berbuat sejauh yang terdaya, menggunakan segala cara (yang sah dan beretika).
Sesungguhnya aktualisasi idealisme rahmat sejagat (rahmatan li al-`alamin) hanya akan berlaku apabila Islam dilaksanakan secara kaffah, utuh dan menyeluruh sebagai tatanan hidup di segala bidang.
Bidang cakupan perintah menunaikan amanah dalam ayat tersebut dapat dirumuskan dalam tiga kategori utama: a. amanah yang berkaitan dengan hak Allah, b. amanah yang berkaitan dengan hak diri peribadi, dan c. amanah yang berkaitan dengan hak pihak lain (masyarakat).
Pelaksanaan amanah yang berkaitan dengan hak Allah meliputi kewajipan mematuhi perintah-perintah-Nya dan menghindari larangan-larangan-Nya. Juga kewajipan menggunakan anggota tubuh dan segala kurnia Tuhan pada dirinya untuk menghampirkan diri (taqarrub) kepada-Nya.
Pelaksanaan amanah yang berkaitan dengan diri peribadi meliputi kewajipan menunaikan hak diri menepati pesan nabawi:
Sesungguhnya bagi dirimu ada hak yang wajib kamu tunaikan.
Untuk itu seorang Muslim yang amanah tidak melakukan sesuatu selain yang bermanfaat dari segi agama dan kehidupan dunia-akhiratnya, tidak melakukan sesuatu yang memudaratkan dirinya di dunia dan di akhirat, dan tidak mendedahkan dirinya kepada serangan penyakit dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
Pelaksanaan amanah yang berkaitan dengan pihak lain meliputi amanat al-mu`amalat atau amanah dalam pelbagai urusan kehidupan sosial seperti pengembalian harta-benda kepada tuannya sesuai dengan hukum syara’ tentang al-wadi`ah, al-luqatah, al-ma’jur, al-`ariyah dan al-rahn; amanah penasihatan (kepada pemerintah dan rakyat), amanah pendidikan anak-anak, amanah melindungi maruah dan kehormatan diri warga umat, amanah memelihara harta rakyat, dan segala bentuk tanggungjawab sosial lainnya.
Komitmen pelaksanaan amanah dengan segala pengertiannya adalah syarat utama penciptaan kehidupan sosial yang damai, rukun dan saling percaya. Ia juga adalah tonggak utama pemerintahan Islami yang bergandingan dengan tonggak kedua iaitu keadilan.
Memang sasaran ayat tersebut tidak tertumpu hanya pada para penguasa, tetapi umat seluruhnya. Justeru, memang semua orang harus bersifat amanah dan adil dalam semua tindakan dan perlakuannya, tetapi para penguasa dituntut secara khusus agar melaksanakan amanah dan keadilan kerana mereka adalah pelaksana dan pembuat dasar yang menentukan baik-buruk kehidupan umat keseluruhannya.
Sebagai tonggak utama pemerintahan dan landasan asasi kehidupan yang bertamadun dan beradab, semua syari`at agama samawi mengangkat keadilan sebagai ajaran terasnya.
لقدأرسلنا رسلنا بالبيّنات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط
Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan (membawa) bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkanbersama mereka al-Kitab dan neraca (keadilan) supayamanusia dapat melaksanakan keadilan. (Al-Hadid;25)
Berdaulatnya prinsip keadilan adalah jaminan semua yang berhak mendapat haknya, tidak ada orang lemah yang tertindas, dan tidak ada orang kuat yang memeras. Keadilan dalam perspektif al-Qur’an adalah hak semua manusia tanpa pandang bulu. Demikianlah, kata bayna al-nas (di antara manusia) dalam ayat tersebut membawa mesej keadilan sejagat yang inklusif, tidak terbatas hanya untuk sesama Muslim, tetapi keadilan untuk semua, tanpa mengira agama, bangsa atau budayanya. Setiap orang atas sifatnya sebagai manusia berhak mendapat pelayanan yang adil.
Betapa bererti dan bernilainya perintah melaksanakan amanah dan menegakkan keadilan dapat dirasakan saat kita menghayati ungkapan Ilahi:
إنّ الله نعمّا يعظكم به
Ungkapan yang bermaksud bahawa amanah dan keadilan adalah sebaik-baik pesan dan nasihat Allah kepada manusia itu memang terasa amat mengesankan. Selain menyiratkan makna eratnya hubungan Allah s.w.t. dengan pesan amanah dan keadilan (dengan mendahulukan lafaz al-jalalah Allah, sebelum kata ni`imma ya`izukum), ia juga mengesankan suatu yang menyenangkan (mudah diterima) apabila amanah dan keadilan yang pada hakikatnya adalah perintah itu disebut `izah yang bererti nasihat. Memang tabiat manusia rata-rata lebih senang menerima nasihat berbanding perintah.
Ayat 58 di atas berhujung dengan peringatan bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. Segala yang terjadi, terbuka atau tertutup, terdedah atau tersembunyi, termasuk hal-hal yang berkaitan dengan pelaksanaan amanah dan penegakan keadilan tidak akan ada yang terlepas dari pendengaran dan penglihatan Allah yang bersifat sami`an basiran. Segalanya akan dihisab dan seterusnya diberikan balasan berasaskan Keadilan Ilahi yang Maha Mutlak.
Kepatuhan
Ayat 59 yang memerintahkan kaum mukminin mentatati Allah, mentaati Rasul-Nya dan para penguasa merupakan lanjutan dari ayat 58 tentang pelaksanaan amanah dan penegakan keadilan.
Maksudnya, amanah dan keadilan bukan suatu yang nisbi dan arbitrary, bukan budi bicara manusia untuk mendefinisi dan memaknainya mengikut selera dan kepentingan masing-masing. Amanah dan keadilan harus didasarkan pada ajaran Allah dan Rasul-Nya yang dengan jelas dan tegas telah menentukan neraca dan ukurannya.
Mentaati Allah dan Rasul-Nya bererti mematuhi prinsip, nilai dan hukum-hakam amanah dan keadilan sebagaimana yang telah ditetapkan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.
Ayat ini juga menegaskan bahawa ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, termasuk pelaksanaan syari`at-Nya yang meliputi hukum penegakan keadilan dan amanah adalah persoalan iman. Dengan kata lain, iman menuntut pembuktian amali dengan memenuhi syaratnya, iaitu mentaati Allah dan Rasul-Nya, termasuk pelaksanaan amanah dan keadilan. Penegasan sedemikian terungkap dalam nass Qur’ani:
إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر،…
Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian,…
Mengenai uli al-amri (para penguasa) yang juga harus dipatuhi, ayat 59 ini membuat penentuan tegas dengan kata minkum, bahawa mereka harus dari kalangan al-mu’minin, kaum mukminin yang telah menepati syarat iman: mentaati Allah dan Rasul-Nya. Kerana tertakluk kepada syarat keimanan tersebut (taat kepada Allah dan taat kepada Rasul-Nya) maka ketaatan kepada uli ‘amri menjadi tidak mutlak, berbeza daripada ketaatan kepada Allah yang jelas mutlak dan ketaatan kepada Rasul-Nya yang juga mutlak.
Hakikat ini diindikasikan oleh kata ati`u (taatlah kamu) yang diulang ketika menyebut ketaatan pada Rasul, tetapi tidak diulang ketika menyebut (ketaatan) pada uli ‘l-amri. Tidak berlakunya pengulangan kata tersebut ditafsirkan sebagai isyarat bahawa ketaatan kepada uli al-amri tertakluk pada ketaatan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya.
Selain itu ketaatan kepada uli al-amri juga terbatas pada al-ma`rufat, tidak meliputi maksiat dan kemungkaran terhadap Allah. Di kalangan para mufassirin ada yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan uli al-amri ialah pemerintah (al-hukkam) dan ketua-ketua ekspedisi ketenteraan.
Tetapi ada juga yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan adalah para ulama yang berperanan menjelaskan hukum-hukum syara` kepada masyarakat umum. Dalam isu ini al-Zuhayliy berpendirian bahawa uli al-amri merangkumi kesemuanya, para penguasa dan ulama. Beliau sependapat dengan Ibn al-`Arabiy yang mengatakan bahawa uli al-amri meliputi al-umara’ dan al-`ulama’.
Merujuk al-Qur’an dan al-Sunnah
Ayat 59 mengantisipasikan kemungkinan timbulnya pertikaian di antara umat dengan para umara’. Apabila kes itu terjadi, semua pihak harus merujukkan isu yang dipertikaikan itu kepada al-Qur’an dan al-Sunnah, dan harus bersedia menerima apa jua ketetapan kedua-dua sumber asasi tersebut. Demikianlah cara penyelesaian kepada pertikaian yang berbangkit dari isu yang tidak ada nass yang pasti mengenainya.
Yang dimaksudkan dengan pengembaliannya kepada Allah dan al-Rasul dalam ayat tersebut ialah penetapan hukumnya berdasarkan kaedah-kaedah umum (al-qawa`id al-`amah) dalam al-Kitab dan al-Sunnah. Memang, pertikaian hanya mungkin berlaku dalam isu-isu yang tidak dinasskan. Dalam hal-hal yang telah ditetapkan dengan nass, tidak harus ada pertikaian, yang ada hanya ketaatan yang sepenuh dan semutlaknya.
Setelah kesemuanya — amanah, keadilan, kepatuhan (kepada Allah, Rasul-Nya dan para uli al-amri) dan kesediaan merujukkan pertikaian kepada al-Kitab dan al-Sunnah — terungkap, ditegaskan kaitan semuanya itu dengan iman, sebagai syarat dan tuntutan iman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Demikianlah suatu pakej tonggak-tonggak utama pembinaan masyarakat mukmin dan pembentukan a faith-based governance.
Ayat 59 diakhiri dengan pernyataan hakikat bahawa petunjuk Allah dalam pembinaan masyarakat dan pemerintahan seperti yang telah disebutkan itu adalah untuk kebaikan manusia sendiri.
Yang akan dicapai dari pelaksanaan petunjuk-petunjuk tersebut adalah keredhaan Allah dan sekaligus kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Demikianlah pesan tersirat dalam ungkapan penutup:
ذلك خيروأحسن تأويلا.
Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik kesudahannya.