Pada 2 November yang lepas, PKPIM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kolej Dar Al-Hikmah (KDH) menganjurkan majlis pelancaran buku Aksioma tulisan Datuk Jaafar Rahim di Dewan KDH. Datuk Jaafar Rahim merupakan mantan karyawan DBP dan Aksioma merupakan kumpulan artikel beliau di majalah dan akhbar seperti Dewan Masyarakat dan Utusan Malaysia. Buku beliau dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu pemikiran, sosial, keilmuan, belia dan politik. Pelancaran disempurnakan oleh Presiden PKPIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.
Selain itu, wacana juga diadakan supaya beberapa buah fikiran daripada buku ini dapat dibincangkan bersama khalayak ramai. Wacana berbentuk forum dipengerusikan oleh Nizal Mohamad, personaliti dan juga mantan Naib Presiden PKPIM. Panel forum adalah Haji Khalek Awang, mantan Presiden PKPIM, Fadhlina Sidek, Naib Presiden ABIM dan Mohd Fazril Mohd Saleh, Naib Presiden PKPIM. Antara inti perbincangan forum adalah persoalan orang muda masa kini yang lesu pemikirannya dan bahan bacaan yang kurang berkualiti menyebabkan masyarakat lebih tertarik kepada bahan bacaan picisan.
Majlis diakhiri dengan ucapan penghargaan oleh Datuk Jaafar Rahim dan sesi tandatangan buku. Moga mahasiswa mendapat manfaat daripada buku ini dan menjadi pencetus semangat untuk menulis dan membaca bahan bacaan yang mencabar.