
Aksioma merupakan kompilasi 75 buah esei yang membicarakan persoalan kehidupan berkaitan aspek sosial, politik, kebudayaan, agama, sejarah, kesusasteraan, pemikiran, dan falsafah. Penulisan buku ini dibuat dengan menggunakan bahasa yang mudah serta disampaikan dengan bukti dan hujah yang dapat dipertanggungjawabkan.
Secara asasnya, buku Aksioma dibahagikan kepada lima bahagian, iaitu pemikiran, sosial, keilmuan, belia dan politik. Setiap bahagian mengangkat idea yang meluas dan kompleks. Menerusi Aksioma, penulis berusaha mengajak pembaca agar dapat berfikir secara kritis dan kreatif. Dengan cara itu dapatlah kita membina masyarakat yang berpemikiran tinggi, berilmu dan berperadaban.
Penulisnya, Datuk Jaafar Rahim mantan karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan penulis esei yang produktif, tersohor dan banyak terlibat dalam kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan belia, pelajar dan persatuan penulis. Penglibatan beliau dalam kegiatan NGO tersebut sekurang-kurangmya dapat memberikan perspektif yang luas dan berbeza melalui pelbagai persoalan yang disentuh dalam tulisannya.
Oleh itu, anda semua dijemput ke Majlis Pelancaran dan Wacana Buku Aksioma karya Datuk Ja’afar Rahim di Kolej Dar al-Hikmah pada 2 November 2012 (Jumaat) jam 9:00 pagi. Antara yang akan hadir ialah En Nizal Mohamed (Personaliti TV), En Khalek Awang (Pemilik Khalek Awang & Associates dan CEO Global Movement of Moderate Foundation) dan Puan Fadhlina Sidek (Naib Presiden HELWA ABIM).