Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid). (Surah An-Nisaa’:125)
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
Alhamdulillah, marilah kita semua memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t lantaran sekali lagi mengurniakan kesempatan dan peluang bagi umat Islam merayakan Eidul Adha, salah satu hari besar Islam. Sesunguhnya perayaan hari besar ini perlu menjangkaui ritual semata-mata, seharusnya perayaan ini membawa kepada peningkatan taqwa kerana darah haiwan yang dikorban tidak sampai kepada Allah s.w.t kecuali taqwa kita pada-Nya.
Sempena hari suci ini semestinya kita mengambil iktibar dari peristiwa korban yang sebut dalam Al-Qur’an, dari kecekalan dan keteguhan hati Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s.
Semangat kecekalan inilah yang perlu kita hayati dalam mengharungi kegetiran perjuangan. Kesediaan Nabi Ismail a.s untuk disembelih ayahnya membuktikan kepatuhan mereka kepada perintah Allah s.w.t dan kisah ini telah diabadikan menjadi syiar Islam dalam penjalanan ibadah korban.
Oleh itu, pengorbanan bukan perkara yang luar biasa bagi umat Islam. Membudayakan pengorbanan merupakan antara intipati kejayaan umat Islam suatu ketika dahulu yang berjaya menawan 2/3 dunia. Islam, berpandukan ayat di awal tadi memberi makna sebagai ‘penyerahan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan diri’. Islam dengan pengertian induk ini tidak hanya dikhususkan kepada manusia tetapi merangkumi segala kejadian di alam semesta.
Sebagai anak muda, kita tidak akan lari dari memaknai pengorbanan dalam kehidupan seharian. Perjuangan dalam mengejar cita-cita dan impian masing-masing, sudah tentu ianya menuntut kepada pengorbanan. Benarlah kata-kata hikmah, perjuangan menuntut pengorbanan. Dan pengorbanan harus bermula dari diri sendiri dengan melakukan perubahan dalam diri (taghyir an-Nufs). Hal inilah yang kita pelajari dari sirah Rasulullah s.a.w. yang mengajar erti keimanan kepada seluruh kaum muslimin. Mahu atau tidak mahu, kesediaan dalam menghadapi cabaran luar dan dalam diri memerlukan pengorbanan dan peningkatan tahap keimanan terhadap Ilahi.
Sebagai anak muda, sikap optimisme, keberanian dan adil perlu dijadikan pegangan. Keyakinan rohani dan ketajaman akal bagi anak muda perlu diberdayakan untuk membebaskan umat dari belenggu kebodohan. Kebangkitan anak muda di Mesir merupakan petanda bahawa sesungguhnya pengorbanan anak muda mampu menegakkan keadilan dalam negara. Nilai keilmuan yang tinggi perlu dipupuk dalam kalangan anak muda. Imam Syafie pernah berpesan bahawa menuntut ilmu itu lebih utama daripada solat sunat.
Bagi semua pelajar yang sedang menjalani peperiksaan, semoga perjuangan mencari ilmu tidak terhenti setakat dalam dewan peperiksaan. Ianya perlu diteruskan sehingga mencapai menara gading dan kembali kepada umat untuk membawa umat ke jalan yang benar. Pulangkan ilmu yang diperoleh kepada umat. Itulah kata-kata pengorbanan yang perlu disemat dalam dada sekalian.
Akhirnya kalam, saya mewakili seluruh Ahli Jawantakuasa Kerja Pusat PKPIM sesi 2012/2013 mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil-Adha kepada seluruh sahabat-sahabat PKPIM, Badan Gabungan Negeri, Kampus dan seluruh pelajar di seluruh negara.
Hari ini hari kegembiraan buat umat Islam, dan seharusnya kegembiraan ini dikongsi bersama-sama. Hari untuk kita menginsafi segala kekhilafan yang telah kita lakukan sepanjang hidup ini. Sama-sama kita hijrah ke arah kebaikan, dari yang baik kepada yang lebih baik, dari yang tidak baik kepada yang baik. Segalanya perlukan pengorbanan wang, ruang, masa, keadaan dan kesanggupan diri. Jika kita mahukan ia, sudah pasti kita akan dapat.
‘kemahuan itu akan kita kecapi dengan langkah pertama’
Jangan hidup dengan beralasan lantaran kita akan hilang dari rahmatNya Tuhan. Jadi teguhkan tekad kita untuk bersama-sama mengecapi bintang di langit itu. Bergembiralah pada hari ini, lantaran hari kegembiraan umat Islam ini perlu kita raikan dan kita ambil intipati penting berdasarkan ilmu.
Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: “Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah s.a.w bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah:
Kemudian Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai)
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر ولله الحمد
‘HIDUP BIAR BERJASA’
Khairul Anuar Bin Abdul Manap
Setiausaha Agung,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),
Sesi 2012/2013