Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 174:
“Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak)”.
Kita semua tahu betapa besarnya peranan ulama’ khususnya dari keturunan Rasulullah dalam menyebarkan Islam di Tanah Melayu. Umat Islam pada umumnya dan di kepulauan Melayu khususnya perlu bersyukur dan merasa beruntung kerana telah menerima cahaya Islam, hasil jerih payah para ulama’, awliya’ dan haba’ib yang menda’wahkan Islam sejak lebih seribu tahun yang lalu. Para Ulama’ dan haba’ib keturunan Baginda Rasulullah saw yang telah memilih gugusan pulau ini untuk mereka huni dan sebarkan Islam. Mereka telah menyampaikan Islam dengan bijaksana sehingga berhasil menarik seluruh lapisan masyarakat, dari yang tertinggi sehingga yang terendah. Para Wali yang disebut sebagai Walisongo contohnya telah berhasil mengislamkan majoriti masyarakat Jawa dengan menggunakan pelbagai cara dan kaedah yang dekat dengan jiwa masyarakat iaitu segala bentuk aktiviti kebudayaan seperti lagu dan musik serta wayang kulit. Mereka berhasil mengislamkan ramai orang kerana melalui mereka Islam terlihat indah, menarik dan mudah. Islam tidak terlihat kaku, dan menakutkan. Lebih dari itu mereka bukan saja mendakwahkan kebenaran dan kebaikan tetapi juga mengamalkan dan menjadi contoh teladan untuk diikuti oleh masyarakat.
Mereka berhasil meyakinkan masyarakat bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan keadilan dan pembebasan. Pembebasan dari segala bentuk kepercayaan karut, khurafat, tahyul yang menjadikan manusia terbelenggu dengan sesuatu yang palsu dan tidak nyata. Islam telah menjadikan mereka orang-orang yang cerdas, rational dan bijaksana sekaligus berbudi pekerti dan berhati mulia.
Pendek kata, Islam telah mentamadunkan bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain yang menerima Islam. Islam telah mengangkat harkat dan darjat setiap bangsa yang memeluk Islam dan mengamalkan ajarannya dengan sepenuhnya.
Persoalan yang timbul adalah bagaimanakah menzahirkan kesyukuran kita sebagai Muslim?
Mensyukuri nikmat Islam tentunya bukan hanya dengan melekatkan stiker nama Allah, Muhammad atau ayat-ayat al-Qur’an di dalam rumah dan di dalam kereta. Yang paling penting adalah bersyukur dengan mengimani dan mengamalkan segala yang diajarkan oleh baginda Rasulullah saw. Bukan hanya pada kata-kata dan simbol-simbol luaran tetapi mestilah diikrarkan dalam hati dan fikiran serta dibuktikan dengan perbuatan. Kerana Islam menuntut pengislaman jiwa dan raga bukan hanya jasad dan raga.
Kesyukuran mesti dimulakan dengan penghayatan dalam hati dan fikiran serta dizahirkan pada akhlak dan amalan kita, pada segala tingkah laku dan aktiviti seharian kita. Islam bukan agama spiritual semata yang hanya melibatkan kehidupan peribadi tetapi agama yang menyeluruh yang mesti terlihat pada setiap apa yang kita lakukan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah, 208:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”.
Oleh kerana itu seorang Muslim tidak akan mengambil ideologi, teori dan pemikiran yang bercanggah dengan Islam. Tidak menggantikan cara hidup Islam dengan cara hidup sekular, liberal atau bahkan agnotis dan ateis. Oleh yang demikian seorang Muslim perlu mempelajari Islam dengan sempurna, supaya dengan ilmu itu ia akan dapat merasakan keindahan Islam, kedamaian dan ketenangan yang ditawarkannya.
Untuk memastikan bahawa Islam difahami dengan benar, Islam perlu dipelajari daripada pewaris nabi, para ulama sejati bukan ulama palsu dan ulama dunia. Melalui merekalah kerana memiliki ilmu yang benar Islam akan terlihat indah dan meyakinkan. Tanpa bimbingan ulama’ sebenar Islam akan tampak kaku, kolot dan menakutkan.
Hanya ulama’ sebenar yang tahu mana perkara yang utama yang perlu didahulukan dan mana perkara yang perlu dikemudiankan. Perkara-perkara yang sangat penting dan yang kurang penting. Tidak memperkecilkan perkara-perkara yang besar dan tidak memperbesarkan perkara-perkara yang kecil, agar umat Islam tidak keliru dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai Muslim.
Rasulullah saw bersabda:
يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله ينفون عنه تحريف الغالين وانتحال المبطلين وتأويل الجاهلين. رواه البيهقي
“Ilmu (agama) ini akan dibawa oleh yang terbaik dari setiap generasi, mereka akan menyanggah penyimpangan golongan pelampau (ektrimis), serangan golongan yang memusuhi Islam, dan penafsiran golongan yang jahil” Hadith diriwayatkan oleh al-Bayhaqi.
Raja Ali Haji (w.1873) seorang ulama’ besar pada zaman kerajaan Riau Lingga menegaskan peri pentingnya masyarakat menghormati ulama’ pewaris nabi, beliau berkata dalam Thamarat al-Muhimmah:
Maka barangsiapa daripada raja atau orang kaya-kaya dan orang yang gagah berani merintangi dan melawan dan takbur atas segala anbiya’ dan auliya’ dan ulama’ al-‘amilin maka datanglah murka Allah Ta’ala atas mereka itu ada kalanya dengan tunai atau dengan bertangguh seperti kebanyakan hikayat-hikayat yang dahulu-dahulu beberapa kaum yang dibinasakan Allah Ta’ala sebab tiada mengikut serta menyeterui akan segala anbiya’ dan auliya’ dan ulama’ al-‘amilin dengan beberapa kebinasaan ada yang ditenggelamkan dengan air seperti kaum Nabi Allah Nuh dan seperti kaum Nabi Musa dan lagi dibinasakan Allah Ta’ala dengan diangkat negerinya dijatuhkan ke bumi hancur luluh iaitu seperti kaum Luth beberapa lagi kaum-kaum yang dibinasakan Allah Ta’ala dengan bermacam-macam azab sebab mereka itu menyeterui Allah Ta’ala dan rasulNya dengan segala anbiya’ dan auliya’ dan ulama’ al-‘amilin kerana auliya’ dan ulama’ al-‘amilin itu mewarisi anbiya’ yakni menjalani akan jalan anbiya’ dan yang menyeterui akan mereka itu seperti menyeterui anbiya’ jua.
Ulama’ besar umpama lampu yang dapat menerangi kegelapan. Janganlah kita, sebagaimana pernah diungkapkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, seperti isteri Aladin yang tidak pandai menghargai lampu lama yang tiada ternilai harganya lalu menukarkannya dengan lampu baru yang dianggapnya lebih moden dan menarik tetapi sebenarnya tidak berkualiti dan tidak teruji.
Kebijaksanaan para ulama’ yang besar telah menyebabkan Islam berjaya menyebar ke seluruh kepulauan Melayu tanpa perlu kepada bala tentera dan pertumpahan darah. Islam telah diterima oleh masyarakat di kepulauan ini yang memiliki ribuan etnik lalu menghimpunkan mereka di bawah satu bangsa iaitu Bangsa Melayu dan satu bahasa iaitu bahasa Melayu. Melayu kemudian ditakrifkan dengan Islam, bahasa Melayu dan adat Istiadat Melayu bukan lagi faham perkauman yang sempit. Para ulama’ ini jugalah yang memperkenalkan huruf-huruf arab sehingga terbentuknya tulisan Jawi. Sejak kedatangan Islam bahasa Melayu telah berubah menjadi bahasa ilmu dan bahasa persuratan bagi seluruh kepulauan alam Melayu. Melalui karya-karya besar yang mereka hasilkan, para ulama telah berhasil menghimpunkan umat Islam di rantau ini di bawah satu mazhab, (mazhab Syafi’i), satu pemikiran akidah (aliran Asya’irah). Ia dilakukan tanpa menimbulkan ketegangan dan permusuhan dengan aliran-aliran lain yang sah di sisi Islam.
Lebih dari itu Islam telah berjaya bertapak kukuh di hati sanubari umat Islam sehingga akidah mereka tidak dapat diganggu gugat walaupun telah dijajah selama ratusan tahun dan melalui proses kristenisasi dan sekularisasi. Adalah amat malang sekali, jika pada hari ini umat Islam mula goyah dan luntur akidah dan jati diri mereka. Telah ramai yang secara terang-terangan menyatakan ingin keluar dari Islam dengan menukar nama dan agama mereka. Oleh kerana itu amatlah penting bagi umat Islam hari ini kembali menghormati para ulama’ dan karya-karya besar yang mereka hasilkan. Karya-karya ini umpama akar bagi jati diri dan identiti umat Islam. Tanpa akar ini umat Islam bagaikan tercabut dari jati dirinya.
Raja Ali Haji dalam salah satu bait syairnya mengatakan:
Jika anakanda menjadi menteri,
orang berilmu anakanda hampiri,
Lawan mesyuarat lawan berperi,
supaya pekerjaan jadi ugahari.
*Teks khutbah disampaikan oleh Dr Khalif Muammar pada 9/9/2011 di Masjid UTM Kampus Antarabangsa.
sumber : www.khairaummah.com