Tanggal 30 Ogos 2012 hingga 7 September 2012 telah diadakan Program Pertukaran Belia Malaysia-Indonesia (IMYEP 2012) yang turut disertai oleh dua orang Exco PKPIM iaitu Saudari Hawa Mas Azmar Ahmad (Exco BLP) dan Saudara Muhamad Zikri Jinal (Pen. Setiausaha 1). Program ini telah dimulakan sejak tahun 1976 dan telah melahirkan puluhan alumni IMYEP. Berbeza dengan IMYEP terdahulu, kali ini buat pertama kalinya IMYEP dilangsungkan di kedua-dua buah negara dengan penyertaan daripada delegasi belia Malaysia dan Indonesia.
Seramai 22 belia Malaysia dan 33 belia Indonesia telah menyertai IMYEP 2012. Belia-belia ini merupakan belia yang telah menyertai kem pemilihan di negara masing-masing dan terpilih bagi menyertai program ini. Antara objektif utama program anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dan Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia (Kemenpora) ini ialah mengenal dan mempelajari budaya dua negara di samping memupuk perbincangan dan perkongsian pendapat sesama ahli delegasi secara tidak langsung mengeratkan tali persaudaraan dua negara serumpun ini.
Berlangsung selama lima hari di Malaysia dan lima hari di Indonesia, program ini dimulakan di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur di mana ahli delegasi berpeluang menyertai sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-55 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos 2012. Acara ini turut disertai oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, dan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib bin Tun Razak. Turut kelihatan ialah Presiden Majlis Belia Malaysia, Saudara Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee menyertai perbarisan ketika acara sedang berlangsung. Para delegasi juga berkesempatan mengunjungi Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur. Tiga hari seterusnya, para delegasi dibawa ke Homestay Ayer Limau, Melaka dan tinggal bersama keluarga angkat di samping diperkenalkan dengan keunikan budaya, permainan tradisional dan makanan tradisi.
Aktiviti IMYEP 2012 diteruskan di Indonesia mulai 3 September 2012. Ketika di Jakarta, ahli delegasi dibawa melawat ke Monumen Nasional (Monas) dan Kementerian Pemuda dan Olahraga (Kemenpora) seterusnya mengadakan pertemuan bersama ahli Komisi X di Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPRI). Seterusnya, peserta IMYEP mengunjungi pejabat Walikota Bandung, melawat Muzium Konferensi Asia-Afrika dan mempelajari alat muzik angklung di Angklung Udjo. Pada hari terakhir di Bandung, belia Malaysia berkesempatan membeli buah tangan di Pasar Baru. Acara persembahan kebudayaan turut diperlihatkan oleh belia Malaysia dan Indonesia di beberapa tempat.
Secara lahiriahnya, ternyata objektif IMYEP 2012 kali ini tercapai. Para delegasi tidak jemu berkongsi budaya yang tidak banyak berbeza antara satu sama lain. Perbincangan berkenaan kesepakatan, keharmonian, dan perpaduan turut diadakan dalam memastikan adanya kesinambungan dan keberlangsungan antara ahli selepas tamatnya program. Pemahaman mengenai sesuatu isu dua negara ini juga dilihat penting dalam memelihara hubungan diplomatik memandangkan tindakan media dalam menyebarkan maklumat yang sukar dikawal boleh menyebabkan pengaruh yang tidak baik dalam kalangan masyarakat. Program sebegini wajar diteruskan agar makna serumpun dijiwai bukan sahaja oleh peserta IMYEP, bahkan ke seluruh masyarakat.
HAWA MAS AZMAR AHMAD
Exco Biro Latihan dan Pembangunan
PKPIM 2012/2013