Mahasiswa merupakan aset terpenting dalam negara. Hal ini disebabkan mahasiswa merupakan golongan intelektual yang mampu untuk memberikan idea-idea yang bernas. Dari segi pendedahan keintelektualan, golongan ini ialah lapisan yang paling terkehadapan. Hal ini perlu menjadikan mahasiswa menjadi golongan paling sedar dan menyedarkan serta golongan tercerah. Walaupun mahasiswa kini tidak seperti mahasiswa pada era 70-an dahulu, namun kita sedar bahawa akan usia perjalanan masa akan mematangkan pergerakan perjuangan mahasiswa selaras dengan persekitaran.
Namun malangnya, saya amat kesal dengan peratusan mahasiswa yang terlibat dengan masalah gejala sosial. Pelacuran terhormat, dadah, keruntuhan nilai intelek, budaya hiburan melampau, hubungan bebas, terkandas di dalam pelajaran adalah antara beberapa masalah yang tidak mencerminkan seseorang mahasiswa. Jelas kepedulian sosial jatuh ke tahap yang terendah sekali. Hal ini jelas menunjukkan bahawa mahasiswa kini berada di zon selesa sehingga tidak menghiraukan masyarakat sekitar.
Golongan yang terpelajar tidak menjadi unggul sekiranya ilmu yang dipelajari tidak diamalkan dengan sebaik mungkin seterusnya menjadi masyarakat yang ungul dan berwibawa. Sehingga di dalam Al-Quran juga ada disebut untuk menjadi masyarakat yang unggul perlu melengakapi tiga ciri iaitu perlu berbuat kebaikan, mencegah keburukan dan mengakui tentang wujudnya Tuhan. Nabi Muhamad s.a.w juga menyatakan di dalam hadis baginda yang bermaksud bahawa golongan yang dikatakan unggul dan baik adalah golongan yang bermanfaat dan boleh dimanafaatkan oleh orang lain.
Jelas ketinggian ilmu yang ada pada mahasiswa adalah tidak bernilai sekiranya ilmu yang ada padanya tidak dicurahkan kepada masyarakat. Golongan mahasiswa tidak hanya perlu terperuk di kelas-kelas kuliah dan tidak menjengah keluar dari kepompong universiti. Mahasiswa perlu mengambil peduli tentang masalah masyarakat sekitar. Mahasiswa bukan calang-calang golongan di dalam hieraraki masyarakat. Pak Mat Natsir seorang pejuang ulung Indonesia pernah berpesan iaitu pemimpin-pemimpin yang hebat tidak lahir hanya di bilik-bilik kuliah. Mahasiswa perlu sedar kita adalah golongan harapan dan benteng pertahanan utama negara.
Menurut Dr.Fadzilah Kamsah masalah golongan muda berlaku apabila golongan ini tidak mempunyai sebarang agenda besar dan matlamat di dalam kehidupan. Mengikut kajian yang dibuat oleh beliau, hampir 80 peratus anak-anak Melayu di tingkatan empat dan lima belum ada matlamat hidup yang jelas..Menurut beliau lagi orang menjadi hebat bila ada agenda besar, bahkan agenda besar inilah yang menguasai hidup kita.
Tidak dinafikan bahawa selepas berlakunya peristiwa 13 Mei, orang Melayu memang sudah bersatu, namun selepas itu mereka menjadi alpa semula. Jadi, bila agenda besar sudah tiada, Akademi Fantasia, Raja Lawak dan pelbagai lagi hiburan yang menjadi agenda anak-anak muda dewasa kini.
Mahasiswa perlu bangkit dan keluar dari label-label masalah yang dilemparkan kepada kita. Cukuplah dengan masalah ‘Black Metal’, fahaman sesat, label pro-kerajaan atau pro-pembangkang. Kita ialah golongan istimewa dan bukan menjadi alat bagi mana-mana pihak yang berkepentingan. Kita perlu menanam azam dan meletak agenda besar dalam matlamat besar di dalam kehidupan. Kehadiran Mahasiswa di menara gading bukan sahaja semata-mata untuk mencari pekerjaan malah mempunyai perenan dan matlamat yang lebih dari itu.
Menara gading bukanlah kilang pengeluar pekerja sahaja di samping tidak mengetepikan kepentingan menguasai ilmu kepakaran di dalam sesuatu bidang pekerjaan. Kita tidak mahu universiti menjadi kilang pengeluar produk pekerja yang tinggi dari segi intelektual dan kepakaran tetapi dangkal dari segi nilai akal dan budi. Memang tidak dapat disangkal bahawasanya universiti-universiti di Malaysia tidak mengetepikan soal pembangunan insan. Hal ini adalah selaras dengan gesaan para pemimpin kita untuk melahirkan pembangunan insan yang berasaskan keunggulan peribadi.
Mahasiswa perlu berdiri gagah dan berjiwa besar sebagai rakan pembangunan negara yang tercinta ini. Mahasiswa perlu menyemai cinta kepada agama, bangsa dan tanah air. Janganlah menjadi mahasiswa yang hanya membebankan masyarakat dengan isu-isu yang tidak bermoral. Semoga mahasiswa pada hari ini mampu untuk merealisasikan impian masyarakat. Insya-Allah.
‘HIDUP BIAR BERJASA’
Khairul Anuar Bin Abdul Manap
Setiausaha Agung,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),
Sesi 2012/2013