Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

MENGEMBALIKAN MAKNA AIDILFITRI KE DALAM DIRI

Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan merasai detik kematian. Demikian kata Al-Quran. Sesuatu yang bermula akan ada pengakhirannya. Begitu juga setiap pertarungan akan ada penghujungnya. Maka, setiap pemenang akan sentiasa dianugerahkan mahkota kejuaraan. Hanya Allah ‘azzawajalla Yang Maha Kekal yang menguasai segenap aturan kehidupan. Demikian jugalah dengan tetamu yang bertandang ke rumah. Kita akan mengalu-alukan kehadiran mereka dengan layanan yang penuh kegembiraan. Sampai masanya, ia akan beredar pergi meninggalkan kita. Boleh jadi kita akan bertemu dengannya lagi jika ada kesempatan di lain masa.

Itulah hakikat setelah sebulan mengharungi Ramadhan. Ia hadir setahun sekali bagai tetamu dari perjalanan yang sangat jauh dan singgah sebentar menumpang teduh buat beberapa ketika. Apabila tiba saat perpisahan, hati menjadi sebak dan sayu. Apakah akan ada lagi pertemuan yang seumpama ini ? Adakah kali ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat diri kita? Demikian Allah ‘azzawajalla telah menjadikan Ramadhan itu sebagai medan latihan buat insan mengawal diri. Hanya Dia yang mengetahui ‘ubat mujarab’ untuk merawat hati manusia. Inilah imej Ramadhan sebagai lambang kepada bulan pertarungan di antara akal dan nafsu. Di penghujungnya, hanya ada kisah di antara hamba dan Pencipta. Bagaimana hubungan di antara kita dengan Allah‘azzawajalla setelah selesai Ramadhan? Hanya diri insan yang menempuh Ramadhan sahajalah yang tahu bagaimana duduk keadaan yang sebenarnya. Jika Ramadhan yang lalu diisi dengan melipatgandakan amalan, berpuasa dengan keimanan dan kesabaran serta bersungguh-sungguh mengawal diri maka Ramadhan akan diakhiri dengan semangat dan jiwa yang baru.

Manakala, bagi yang mereka menghabiskan Ramadhan tidak lebih daripada sekadar menahan lapar dan dahaga, maka berakhirnya Ramadhan hanyalah sekadar suatu kebebasan daripada kurungan semata-mata. Maka, kemenangan sekali lagi berpihak kepada nafsu yang bakal menakluk dirinya sendiri untuk ke sekian kalinya. Hidupnya akan kembali mengikut rentak lama yang tidak ada perbezaan sebelum daripada kedatangan Ramadhan. Adapun makna di sebalik pengakhiran Ramadhan adalah kembali membesarkan Allah‘azzawajalla. Mengucapkan lafaz memuji kebesaran dan keagunganNya kerana telah menghamparkan dataran Ramadhan yang luas untuk insan mendekatkan diri kepadaNya. Firman Allah ‘azzawajalla yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur” (Al-Baqarah, 2:185).

Telah diperintahkan kepada kita untuk mencukupkan bilangan hari berpuasa di bulan Ramadhaan. Demikian juga perintah Allah ‘azzawajalla selepas potongan ayat berkenaan agar meraikan hari kemenangan supaya jiwa kita  merasai rahmat Allah ‘azzawajalla atas hidayahNya yang memberi kekuatan pada kita untuk melaksanakan ‘ibadah dengan sempurna. Maka, hendaklah seluruh kaum Muslimin menzahirkan kegembiraan dan bersyukur atas nikmat kurniaan Allah ‘azzawajalla. Begitu bermakna Ramadhan kepada kita kerana ia menjadi perantara untuk hamba kembali membaiki diri dan menjernihkan hati sebelum kembali ke sisi Allah ‘azzawajalla pada suatu hari nanti.

Dalam masa yang sama, insan seharusnya telah mampu menyuntik kembali semangat berjuang (fighting spirit) ke dalam dirinya sendiri. Nilai perjuangan yang diasah dalam tempoh sebulan itu sewajarnya menjadikan kita insan yang tidak takut untuk berjuang. Memang Islam itu sendiri adalah agama yang berjuang. Berjuang mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah ‘azzawajalla. Maka, di hari pertama Syawal ini ialah tanda kepada kemerdekaan diri daripada belenggu hawa nafsu yang sentiasa mengarahkan kepada kejahatan.

Terlanjur menyebut tentang kemerdekaan, makna kemerdekaan sesebuah negara itu tidaklah bererti andai hanya sekadar mencipta slogan baru, mengibarkan bendera, menonton filem peperangan menentang penjajah dan menyanyikan lagu kebangsaan. Realitinya, penjajahan versi moden tidak lagi berwajah ganas dan menumpahkan darah. Aliran pemikiran dan suntikan budaya Barat kini menjadi senjata ampuh tanpa disedari yang menyerang kehidupan umat. Lihatlah di sekeliling masyarakat. Antara yang mengakar ialah budaya lawak bodoh dan budaya takut hantu. Umat tidak lagi mempunyai roh dan semangat berjuang. Justeru, akibatnya umat akan terus berada dalam minda yang tertawan (the captive mind) serta merelakan diri untuk dijajah tanpa sedikit keinginan untuk melawan. Maka, kemusnahan negara tidak lagi datang dari faktor luaran akan tetapi berpunca daripada kerapuhan dalaman yang sangat parah. Hal seperti ini mesti diperbetulkan segera agar Islam itu kembali agung dan dipandang mulia oleh umat manusia. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya utnuk kita keluar daripada kemelut ini. Tidak ada masa lagi buat kita untuk terus terjajah oleh kelemahan sendiri. Hendaklah kita pada hari yang mulia ini memulakan perjalanan hidup baru menentang arus kezaliman dan penjajahan yang selama ini meragut kemerdekaan diri kita.

Sehubungan dengan itu, marilah kita hayati hari kemenangan ini dengan penuh keinsafan. Bergembiralah dengan sanak-saudara dan ahli keluarga serta rakan-rakan dalam batas-batas dan kadaran yang dibenarkan oleh syara’. Hari yang mulia ini bukan masa untuk bersedih atau menangisi insan yang sudah tiada di sisi kita. Hanya kalungan doa yang termampu untuk dikirimkan kepada mereka. Semoga pertemuan dengan Ramadhan meninggalkan bekas yang mendalam terhadap jiwa kita dan jiwa kita sentiasa berhubung dengan Allah ‘azzawajalla..

تقبل الله منا و منكم
الله اكبر الله اكبر و لله الحمد
Semoga Allah ‘azzawajalla menerima amal kami dan amal kamu.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Dan untuk Allah segala puji-pujian!

Muhammad Ukaysah Azhari
Penolong Setiausaha Agung PKPIM

(Artikel ini telah tersiar di laman http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12602-mengembalikan-makna-aidilfitri-ke-dalam-diri )

ARTIKEL & BERITA PKPIM

SURAT AHLI KONGRES AMERIKA KEPADA MARKO RUBIO :

Apa yang berlaku? Pada 21 Julai 2026, lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menggesa kerajaan Amerika mengkaji semula hubungan dengan Malaysia susulan [...]
Read more

PERJUANGAN INI, PERJUANGAN KITA

Bismillāh ir-Raḥmān ir-Raḥīm WARKAH PRESIDEN PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM) SESI 25/26 PERJUANGAN INI, PERJUANGAN KITA إِنْ أُرِيدُ إِلَّا ٱلْإِصْلَـٰحَ مَا ٱسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِىٓ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ عَلَيْهِ [...]
Read more

EID AL-ADHA: A SACRED RIGHT, NOT A THREAT

As we approach one of the most significant and celebrated occasions in the Islamic tradition, Eid al-Adha reminds Muslims of the profound meaning of sacrifice, obedience and steadfastness in faith. [...]
Read more

PASCA PENGUMUMAN KEPUTUSAN SPM 2025

PERJALANAN MASIH JAUH, MASA DEPAN MENANTI KALIAN Adik-adik calon SPM sekalian, Adik-adik yang berpotensi, Adik-adik yang berkemajuan, Adik-adik yang bitara, Jangan sekadar menjadi pelajar yang lulus dalam peperiksaan, tetapi jadilah [...]
Read more

AL-ATTAS ASAS KEPADA KELETARIAN PERJUANGAN PKPIM

Perjuangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) selama 65 tahun di pentas dakwah dalam negara mahupun di luar negara bertahan dan terus mampan kerana perjuangan PKPIM didasari dengan budaya keintelektualan [...]
Read more

INSTITUSI PENDIDIKAN BUKAN SARANG IDEOLOGI SONGSANG

PKPIM memandang serius dan berat dakwaan yang sedang tular melibatkan seorang pensyarah kanan Universiti Malaya yang dikaitkan dengan fahaman serta rangkaian Freemason suatu ideologi yang jelas bercanggah dengan akidah Islam [...]
Read more

PASCA SPM: JANGAN HANYUT, BINA DIRI

Kepada anak-anak muda yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami mengucapkan tahniah dan mendoakan agar beroleh keputusan yang cemerlang. Habis sahaja peperiksaan ini, maka anda semua telah [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +60 11-5536 1470 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)