Salam Ramadhan Kareem buat semua umat Baginda Rasulullah SAW. Moga dalam redha dan maghfirah Allah selalu.
Sering kali apabila musim Ramadhan tiba kita akan disajikan dengan kuliah-kuliah atau ceramah khas sempena Ramadhan tentang apa yang terkandung disebalik Ramadhan itu. Hakikat yang perlu kita ketahui disebalik Ramadhan itu ada dua perkara yang perlu diambil tahu iaitu penurunan Al-Quran dan puasa kerana kedua-dua perkara ini ada saling kaitannya dan jatuh pada bulan Ramadhan.
Permulaannya perlu dilihat dari sudut penurunan Al-Quran dimana Al-Quran ini sendiri bermaksud petunjuk; petunjuk bagi mereka yang mengambil pengajaran. Kata Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah Rahimakumullahu Taala; Al-Quran itu dijadikan sebagai petunjuk, untuk dihayati dan difahami serta diresapkan ke dalam hati agar diri berasa ringan untuk mengamalkan kandungan Al-Quran. Insya Allah akan melahirkan umur yang berkat walaupun usia adalah singkat.
Jika kita berfikir sejenak hikmah penurunan Al-Quran pada bulan Ramadhan selama 15 tahun kemudian baru disyariatkan puasa pada dua Hijrah adalah untuk memantapkan keyakinan, membina kekuatan dalaman dan supaya Al-Quran itu mengisi dan memenuhi hati dan kehidupan manusia dahulu, baru diikuti dengan puasa yang mana ketika itu manusia sudah bersedia untuk mengamalkan syariat yang ditetapkan kemudian. Boleh disimpulkan bahawa Al-Quran itu diturunkan adalah untuk memberi petunjuk.
Seterusnya pensyariatan puasa itu adalah sebagai wasilah yang membawa diri seorang hamba kepada taraf taqwa iaitu taraf tertinggi seorang hamba kepada Tuhannya. Bagi mendapatkan sifat taqwa itu, puasa itu diperlukan sebagai wasilah untuk kejernihan hati. Menurut Abu Hurairah RA tentang makna taqwa itu adalah takut dan waspada pada perkara yang boleh merosakkan diri, hati dan amal. Taqwa itu sendiri boleh dibahagikan kepada dua iaitu taqwa zahir dan batin.
Taqwa zahir itu adalah seluruh anggota pancaindera yang diamanahkan oleh Allah SWT digunakan pada amal yang boleh mendekatkan diri pada Allah SWT (taqarrub billah) manakala taqwa batin adalah sifat-sifat yang berada di dalam hati adakah dipenuhi dengan sifat mazmumah atau dihiasi dengan sifat mahmudah. Adakah hati merasa bahawa ibadah puasanya yakin diterima oleh Allah SWT? Rasa sombong, ujub, riak atau takabbur atas ibadah atau amal yang dilakukan? Merasakan bahawa setiap amal yang dilakukan berpunca daripada kekuatan yang dimiliki? Maka semua itu perlu dinilai dan dikoreksi kembali. Taqwa itu letaknya di dalam hati dan pintu hati itu ada enam iaitu mata, mulut, hidung, telinga, kaki dan tangan. Maka keseluruhan pintu ini perlu dijaga dan diawasi supaya setiap amal yang dilakukan menjurus kepada nilai taqwa. Sepatutnya amal yang dilakukan tidak difikirkan tentang hikmah dan natijahnya tetapi dilaksanakan tanpa banyak soal apabila ianya datang daripada Allah SWT. Hikmah amalan itu akan datang kemudian. Amalan yang berjaya adalah amalan yang mengarah kepada ketaatan, amalan yang sentiasa memohon pertolongan Allah SWT dan amalan yang memohon petunjuk Allah SWT sentiasa. Semua ini terkandung dalam surah Al-Fatihah ayat 4 apabila kita hayati dan fahami dengan pemahaman sebenar-benarnya tentang ayat ini.
Nilai ketaqwaan itu boleh dijelmakan dengan akhlak yang terpamer. Akhlak utama yang hendak dibentuk pada bulan Ramadhan ini adalah akhlak sabar yakni sabar menahan diri. Sabar ini berkait dengan iman dan iman itu dibahagi kepada dua iaitu sifat rasa syukur dan sabar. Sabar yang paling terbaik adalah ketika membalas kebaikan pada kejahatan yang menimpa diri. Kemuncak orang yang bertaqwa adalah kurniaan syurga yang mampu menahan marah dan sabar ketika bersedekah walaupun dalam masa susah dan senang (3:134). Semulia-mulia akhlak sudah pasti berada pada sosok tubuh Rasulullah SAW yang telah diutuskan oleh Allah SWT untuk menyempurnakan akhlak dan merupakan rahmatan lil a’lamin.
Adalah perlu untuk kita melihat kembali amalan yang dilakukan pada Ramadhan yang lepas supaya peningkatan amal dapat dilakukan dari segi kualiti dan makna yang boleh membawa kepada rasa taqwa. Bermula dengan penghayatan tentang isi kandungan Al-Quran, menurut Ibnu Taimiyyah sebagai zikrullah terbesar, penjagaan amalan-amalan ketika puasa dari segi hati dan penggunaan pancaindera dan natijahnya dilihat melalui akhlak yang ditonjolkan. Paling utama apabila segala-gala yang dilakukan dengan niat hanya sepenuhnya kerana Allah SWT.
Semoga Ramadhan kali ini membawa perubahan yang lebih baik buat diri kita sebagai hamba untuk kembali kepadaNya sebagai hamba yang terbaik yang diciptakanNya.
Siti Mardiah
Exco Dakwah dan Tarbiyyah PKPIM
Sesi 2012/2013