Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) dan Wadah Pencerdasan Ummat (WADAH) telah berjaya menghantar 8 delegasi dari Malaysia untuk mewakili negara ke himpunan belia antarabangsa kali ke-enam di Istanbul, Turki. Delegasi ini bertolak pada 29 Jun 2011 dan dijangka pulang pada 20 Julai 2011. Program selama 3 minggu ini bertujuan untuk memupuk semangat kepemudaan dalam gerakan dan menanam nilai-nilai spiritual.
Sepanjang keberadaan di bumi Turki ini, program untuk delegasi lelaki dan perempuan diasingkan. Bermula 1 Julai 2011, delegasi lelaki terlibat dengan Program Divan Forum yang membincangkan tentang latar belakang keadaan penduduk Islam di negara masing-masing dan pengenalan kepada Risalah i-Nur yang ditulis oleh Imam Bediuzzaman Said Nursi.
Manakala delegasi wanita pula dihantar untuk mempelajari Risalah i-Nur di Isparta. Isparta adalah salah sebuah negeri dalam Turki dan mengambil masa 10 jam perjalanan dari Istanbul. Mereka berpeluang untuk berjumpa dengan Sa’id Nuri ( Salah seorang murid Bediuzzaman Said Nursi ). Walaupun masih belum tamat pengajian, tetapi mereka digesa untuk kembali ke Isparta sejurus setelah selesai pengajian di Universiti masing-masing. Delegasi wanita juga berkesempatan ke Barla ( tempat Risalah i-Nur ditulis ).
Bermula 11 Julai 2011, delegasi ini dikumpulkan semula untuk Program Himpunan Belia Antarabangsa yang bertempat di Istanbul Commerce University. Tajuk utama yang dibincangkan adalah tentang ‘Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Islam’. Antara negara yang terlibat adalah Turki, Morocco,Afghanistan,Palestin,Pakistan,Macedonnia, Lubnan, Yaman, Albania, Russia, Kashmir, Belanda dan lain-lain lagi.
Mengumpulkan anak-anak muda Islam di bumi Istanbul ini merupakan kaedah strategik untuk meniup semangat kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fatih yang memegang tampuk kepimpinan seawal umur 20 dan menjadi penakluk Konstantinopal. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa berikut merupakan cabaran besar untuk kami menyesuaikan diri dalam Fakulti Spiritual kemudian Fakulti Hak Asasi Manusia dalam masa kurang dari sebulan. Jadual yang padat dan perbincangan yang berat mengasak kami untuk memaksimakan masa sebaiknya di sini.
Sementara itu, kami juga berkesempatan untuk melawat pejabat dan bangunan yang dimiliki oleh Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam Union of NGO’s of the Islamic World (UNIW ) di Turki. Walaupun hanya berusia kurang dari 20 tahun, mereka mampu mendirikan kilang dan bangunan yang bertujuan untuk menjadi pusat kebajikan dan berfungsi mengikut fokus badan-badan Bukan Kerajaan tersebut.
Kami optimis bahawasanya suatu hari nanti NGO-NGO Islam di dalam Malaysia mampu untuk mencontohi gerak kerja cemerlang dan serius daripada NGO-NGO di Turki. Dengan wujudnya Badan yang tidak berkepentingan ini dapat membantu masyarakat untuk mengenal Islam secara lebih holistik dan kembali berbakti kepada yang lebih memerlukan.
Segunung penghargaan dan kasih sayang kepada Hayrat Foundation yang menjaga kami sepanjang keberadaan kami di bumi bertuah ini. Moga ALLAH jua yang membalas jasa kalian. Meminjam semangat sempena Muktamar Tahunan kali ke-50 untuk PKPIM, kami menyeru sahabat-sahabat di luar sana untuk bersama-sama memupuk semangat cintakan ilmu dan berani mengembara. Program dan aktiviti yang dianjurkan oleh PKPIM,ABIM dan WADAH diharapkan dapat memberi manfaat untuk ummat dunia umumnya dan masyarakat Malaysia khususnya.
:: Hidup Biar Berjasa ::
DISEDIAKAN OLEH:
‘ATIQAH SYAIRAH BINTI SHAHARUDDIN,
Timbalan Pengerusi Hewi 2