SIARAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA
17 REJAB 1433H BERSAMAAN 7 JUN 2012M
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memandang isu pembekuan pinjaman kepada mahasiswa UNISEL sebagai satu lagi tragedi kependidikan dan hak kebajikan pelajar. Sikap pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menggantung pinjaman pendidikan kepada pelajar baru UNISEL ini dilihat suatu penafian hak kepada pelajar UNISEL dan lebih dilihat sebagai satu keputusan politik murahan.
PKPIM berpandangan pihak PTPTN seolah-olah tidak matang dan professional dalam membuat pertimbangan sedemikian. PTPTN perlu bijak dalam mendepani masalah-masalah yang berkaitan isu politik dan juga hal-hal yang berkaitan dengan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan peranan kerajaan negeri khususnya melibatkan pemberian pinjaman pendidikan.
PKPIM menggesa agar isu ini perlu ditangani dengan segera. Hal-hal yang berkaitan mengenai kebajikan pelajar perlu diletakkan pada perhatian yang pertama sebelum menghukum dari demensi politik yang sangat menyimpang dari kepentingan pelajar itu sendiri.
PKPIM menyeru agar pihak berwajib mengambil langkah sewajarnya dalam membela nasib dan pelajar lain agar isu pendidikan ini tidak dipolitikkan dan menjadi barah yang merebak ke seluruh kampus yang lain terutamanya melibatkan negeri-negeri tertentu di bawah Pakatan Rakyat.
Oleh yang demikian, PKPIM menggesa pihak PTPTN agar menarik semula pembekuan berkenaan dan memberikan penjelasan yang tuntas berkenaan isu ini agar tidak memudaratkan dan menjaga kebajikan seluruh pelajar. Bukankah objektif PTPTN adalah memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar-pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar-pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan?
PKPIM merasakan bahawa universiti perlu kembali segar sebagai wahana pencerdasan dan pemerkasaan bangsa,sifatnya sebagai non-partisan institution harus dipelihara dan selamanya dipertahankan manakala peranan kerajaan seharusnya lebih bersifat membantu dan membimbing, tidak terlalu mengawal atau mengongkong.
MOHD SHAZNI ABDULLAH
Setiausaha Agong
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
2011/2012