
JAKARTA, 28 Julai 2011: Insititute for Sustainable Reform (Insure) telah menjemput Saudara Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk membentangkan kertas kerja bertajuk “Islamic Youth Movement in South East Asia: The Case of Malaysia” di dalam Insure Studium Generale. Wacana ilmiah tahunan ini telah dihadiri oleh lebih 100 orang aktivis mahasiswa Indonesia dari beberapa buah universiti merupakan sesi penutup bagi program latihan insentif selama sebulan bagi melahirkan penyelidik muda di bawah seliaan Yayasan Lingkar Pemuda Pembaharu.
Sesi pembentangan kertas kerja pada awalnya dijadualkan turut dihadiri oleh Saudara Imron Ibrahim yang merupakan aktivis dan penggerak gerakan belia Philipina. Namun, atas faktor kesihatan beliau tidak dapat menghadiri acara ini. Dalam pembentangan kertas kerja oleh Saudara Ahmad Fahmi, beliau menyentuh beberapa perkara penting antaranya dalam aspek sejarah, fakta dan statistik, isu dan cabaran gerakan Islam di Malaysia dengan mengambil model PKPIM sebagai gerakan pelajar Islam yang telah 50 tahun wujud di Malaysia semenjak dari tahun 1961-2011. Selain itu, peranan gerakan Islam seperti ABIM turut di sentuh dalam mengolah beberapa isu yang berkaitan dengan tema perbincangan.
Dalam sesi soal jawab, para peserta mengambil peluang untuk bertanyakan soalan dan memberikan ulasan terhadap pembentangan yang diberikan. Ternyata, majoriti daripada mahasiswa di Indonesia mengikuti secara dekat perkembangan yang berlaku di negara jiran khususnya di Malaysia. Antara cadangan praktikal yang diusulkan dalam wacana berkenaan adalah untuk mengadakan dengan lebih kerap program antara negara khususnya melibatkan latihan kepimpinan antara Malaysia dan Indonesia.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Fahmi berkesempatan mengadakan kunjung hormat dan perbincangan bersama pimpinan utama Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI). Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Saudara Ilyas (Presiden Kammi) dan Saudara Bramastyo yang merupakan Mantan Presiden KAMMI dan juga Pengarah Eksekutif Insure.
Dalam pertemuan tertutup yang diadakan antara PKPIM-KAMMI, beberapa isu dan perkara penting dibincangkan antaranya ialah berkenaan isu bersama yang dibawa oleh Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) khususnya melibatkan isu Selatan Thailand dan isu dua hala antara pergerakan gerakan Islam di Malaysia dan Indonesia.

