Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Tunjuk Perasaan Anti-Presiden Syria: Mahasiswa Tidak Naif


15 Mac 2012 menandakan genap setahun protes rakyat Syria terhadap rejim Basyar al-Assad. Rejim Basyar al-Assad kini seolah-olah hilang punca dan kewarasan. Sepanjang 12 bulan bermula Mac tahun lepas, lebih 230,000 orang rakyat Syria hilang tempat berlindung dan pergolakan ini telah meragut lebih 7,000 korban. Yang jelas, pembunuhan yang berlaku bukanlah suatu yang patut didiamkan.

Namun, dalam usaha segelintir kecil perkumpulan rakyat Malaysia (termasuk mahasiswa) memobilisasi sokongan terhadap keamanan Syria, terdapat pula suara yang cuba menafikan solidariti ini. Seolah-olah bantahan rakyat Malaysia terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan rejim pemerintah Syria dianggap sebagai tindakan kelompok naïf yang emosional atas sebab tidak memahami percaturan dan perancangan terusun lagi kejam yang dipelopori ‘Barat’ terutamanya Amerika dan Israel.

Mengulas artikel “Tidak Perlu Tunjuk Perasaan Anti-Presiden Syria” dalam Utusan Malaysia 14 Mac 2012 tulisan Tan Sri Zainuddin Maidin, mahasiswa merasakan masyarakat Malaysia harus bijak dalam meletakkan garis pemisah antara “memperjuangkan hak-hak insan tertindas” dengan “mencampuri urusan politik dalaman sesebuah kerajaan berdaulat”.

Dalam tulisan beliau, Tan Sri Zainuddin Maidin mengkritik tindakan NGO-NGO Islam seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan beberapa pertubuhan Islam lain yang terlibat dalam menganjurkan demonstrasi aman membantah kezaliman dan pembunuhan di Syria yang bakal diadakan pada Jumaat ini, 16 Mac 2012 di hadapan Kedutaan Syria.

Manusia sedang diseksa dan dibunuh dengan kejam. Apakah wajar masyarakat dunia berpeluk tubuh dan berdiam diri? Mengambil pendekatan realistik, pelajar dan mahasiswa tidak terus terbuai dek ‘teori konspirasi’ rekaan orang-orang pesimis. Kami mampu berfikir dan membuat pertimbangan waras dalam menanggapi isu ini. Mahasiswa dan pelajar turut berperanserta dalam menyatakan sokongan dan solidariti terhadap pengembalian keamanan di Syria.

Kami berpendirian rakyat Syria wajar menuntut perubahan atas apa yang telah berlaku. Proses rundingan dan demokrasi melalui saluran politik tempatan adalah cara terbaik kepada penyelesaian konflik berdarah ini. Kami juga mengecam campur tangan pihak luar berkepentingan yang kononnya cuba menjadi ‘wira’ dalam menyelesaikan kemelut di Syria. Beri ruang kepada kerajaan dan rakyat Syria untuk menyelesaikan kemelut mereka terlebih dahulu melalui meja rundingan!

Walau bagaimanapun, kami memahami, pergolakan politik yang berlaku di Syria kini bukanlah suatu peristiwa yang mudah ditanggapi. Tindakan rejim Basyar al-Assad yang membawa kepada konflik berdarah ini dijustifikasikan beliau dengan slogan ‘mengembalikan keamanan’ di Bumi Syria.

Rejim mendakwa protes rakyat Syria terhadap rejim pemerintah adalah merupakan konspirasi yang didalangi oleh gerombolan ‘teroris’. Sehingga ke hari ini, masih belum kelihatan ruang untuk perundingan berlaku.

Tanpa menafikan spekulasi kemungkinan wujudnya campurtangan luar terutamanya ‘Barat’ dan pemain politik Arab serantau dalam pergolakan yang berlaku di Syria, rakyat tidak berdosa yang menjadi mangsa konflik berdarah ini wajar dilindungi.

Justeru, kami menegaskan, mahasiswa tidak sewajarnya berdiam diri dalam isu ini. Sebagai kelompok terdidik dan tercerah, mahasiswa yang sedar dan insaf harus tegas dengan pendidirian mereka meneruskan advokasi di peringkat antarabangsa demi keamanan, hak dan keadilan buat rakyat Syria.

Jelas, mahasiswa tidak terburu-buru dalam tindakan mereka. Mahasiswa tidak naïf. Wacana-wacana berkaitan isu semasa yang melingkari pergolakan di Timur Tengah turut mendapat tempat di kampus-kampus universiti tempatan. Wacana ‘Sekolah Massa’ dan ‘Forum Lorong Tengah (FORLOT)’ yang digerakkan secara aktif oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di kampus-kampus merupakan antara contoh kematangan mahasiswa dalam membaca situasi politik antarabangsa.

Dalam wacana-wacana mahasiswa, isu ‘Arab Spring’, termasuk pergolakkan di Syria, tidak hanya dibaca secara monotonous. Analisa dan teori politik yang muncul kesan fenomena yang berlaku – sebagai contoh ‘post-Islamisme’ dan ‘creative destruction in greater middle east’ – dibahaskan secara kritis dan analitikal. Naratif yang bersifat pesimis dalam wacana pergolakan Timur Tengah juga mendapat tempat dalam medan diskusi mahasiswa.

Walau betapa panaspun debat dan diskusi yang mengheret perbincangan kepada ketegangan, apa yang pasti, mahasiswa sepakat dalam membawa suara kebenaran dan keadilan, mengembalikan keamanan sejagat dan memperjuangkan hak bagi golongan tertindas.

Sehubungan dengan itu, kempen ‘Save Syria’ yang dipelopori NGO tertentu seperti ABIM mula mendapat dokongan pelajar dan mahasiswa. Ditambah pula dengan penggabungan NGO-NGO Islam dalam Gabungan Selamatkan Syria (GSS), mahasiswa bersama perkumpulan masyarakat Malaysia berikrar menggembleng tenaga dalam memperjuangkan isu keamanan sejagat sebagaimana yang pernah dan sedang kami perjuangkan dalam isu Palestin, Kasymir, Selatan Thai, Chehen, Selatan Filipina, Iraq, Afghanistan dan negara-negara bergolak yang lain.

Malah, Demonstrasi Aman menentang kezaliman dan pembunuhan di Syria telah selamat dilaksanakan selamat solat Jumaat, hari ini. Ribuan rakyat Malaysia turun menyatakan sokongan dan solidariti mereka terhadap keamanan Syria. Mereka berkumpul selepas solat Jumaat dan terus berarak menuju Kedutaan Syria.

Tanpa menoleh lagi, mahasiswa bertegas dengan pendiriannya dalam isu ini. Kami tidak naïf. Matlamat kami jelas; menyatakan sokongan dan solidariti kami terhadap keamanan dan keselamatan rakyat Syria.

Demi Kebenaran dan Keadilan. Hidup Biar Berjasa!

Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)