Kajang. 04 Mac: Prihatin dengan masa depan remaja Islam yang baru menamatkan zaman persekolahan sebelum melangkah ke Menara Gading, Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) mengambil langkah seperti tahun-tahun sebelum ini untuk mengadakan Program Menara Gading (PMG) peringkat Negeri Selangor.
Program yang bertujuan memberi pendedahan kepada remaja Islam tentang ruang dan peluang untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana Institut Pengajian serta merasai kehidupan sebenar di alam kampus ini berjaya menarik minat seramai 139 orang peserta sekitar negeri Selangor dan juga mendapat sambutan peserta dari luar negeri Selangor seperti Terengganu, Pulau Pinang, kelantan, Negeri Sembilan dan Johor.
Kegusaran Jawatankuasa Program dengan ketiadaan peserta pada peringkat awal akhirnya terubat dengan yakin bahawa ia datang dari keberkatan doa bersama. Para peserta mengakui teruja setelah mengikuti program Perkampungan Menara Gading kali ke 12 ( PMG 12) di German Malaysian Institute (GMI ), Kajang selama 3 hari 2 malam.
Program khas untuk pelajar lepasan SPM dan STPM ini telah mendapat kerjasama yang terbaik daripada pihak GMI sendiri. Sokongan daripada pelbagai pihak telah berjaya untuk kita menghasilkan program seumpama ini . Komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh setiap Jawatankuasa Kerja ini tidak dapat digambarkan dengan dibarisi ahli-ahli yang baru mengenali PEPIAS. JK kali ini turut disertai oleh alumni PMG 9 , 10 dan 11. Ia juga menjadi sejarah kerana bekas peserta PMG sendiri yang menjadi Pengarah dan Timbalan Pengarah untuk PMG kali ke 12 ini.
PEPIAS merupakan salah satu badan gabungan negeri (BGN) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).