Kemahiran asas yang diperolehi diperkembangkan melalui program dan bengkel-bengkel kemahiran sepertimana kursus dan bengkel yang telah dijalankan. Antaranya ialah Kursus Asas Fasilitator (4 fasa perlaksanaan), Bengkel Pengurusan Strategik dan Organisasi, Siri Latihan Kepimpinan Mahasiswa IPT (pemimpin mahasiswa) dan Bengkel Latihan Khidmat Masyarakat.
Pembangunan generasi muda perlu dibina sejak dari awal lagi. Justeru itu, PKPIM melihat aktiviti yang bersifat latihan dan motivasi dianjurkan untuk memberi pendedahan dan bimbingan kepada golongan pelajar sejak dari alam persekolahan. Program Perkampungan Menara Gading Kebangsaan (PMGK). Program ini dikhususkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM). Seterusnya Perkhemahan Motivasi dan Kepimpinan Sekolah (MEKAR) yang dikhususkan kepada pelajar sekolah menengah dan rendah. Projek Sekolah Angkat turut dilakukan oleh PKPIM dalam membantu negara membangunkan generasi muda. Tidak ketinggalan juga Program Kepimpinan Rakan Muda (KARISMA) yang memberi tumpuan kepada remaja bermasalah.
PKPIM juga turut mengadakan program-program yang berfungsi sebagai pencetus wahana perbincangan sihat mengenai isu-isu semasa terutama dalam menangani kemelut dunia pelajar khususnya dan manfaat masyarakat umumya. Antara program-program yang dianjurkan oleh PKPIM ialah Konvensyen Pendidikan Nasional, Kongress Mahasiswi Islam Kelantan, Muzakarah Kepimpinan , Wacana Ilmiah Bulanan dan Majlis Diskusi Ilmu. Aspek keilmuan dan keintelektualan merupakan pendekatan dan orientasi PKPIM yang utama di kalangan pelajar dan masyarakat umumnya.
PKPIM dari masa ke semasa menyumbang pelbagai bentuk genre penulisan terutamanya rencana dan penulisan ilmiah melalui saluran media massa. Penulisan ini berkaitan dengan isu-isu pendidikan, perkembangan mahasiswa dan kemasyarakatan. Dalam bentuk sebegini jugalah PKPIM dapat menyalurkan maklumat kepada para pelajar dan masyarakat. Antara bahan penerbitan PKPIM ialah Siri Berkala “Suara Muda Kelantan”, Siri Motivasi Pelajar Muslim Cemerlang (SMART) dan Monograf Berkala Koleksi Kertas Kerja PKPIM.
Penumpuan terhadap teknologi maklumat turut digunakan sebagai medium pengantaraan kepada pelajar dan masyarakat. PKPIM turut mempunyai laman web & laman sosial (facebook & twitter) tersendiri yang memuatkan maklumat semasa pelajar, aktiviti persatuan dan rencana ilmiah. Laman web ini boleh diterokai melalui www.pkpim.org.my manakala Facebook & twitter boleh terus ke ruangan carian dengan menaipkan perkataan PKPIM.