[Perutusan Presiden Sempena Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 seluruh Malaysia]
17hb Oktober 2016
“Bittaufiq Wan Najah” Buat Calon-calon STAM 2016, Natijah “Mumtaz” milik kalian.
1. Subhanaka La ‘ilmalana ‘illa Ma ‘Allam Tana Innaka Antal ‘ Alimul Hakim.
2. Setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah, pentadbir sekalian Alam. Selawat dan salam buat junjungan agung al-Rasul SAW, dengan pengorbanan dan dakwah Baginda, kita menikmati anugerah Iman dan Islam yang sangat berharga.
3. Hari ini, 17hb Oktober 2016 hingga 26hb Oktober 2016, akan berlangsung peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di seluruh negara. Saya mewakili teman-teman Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berasa optimis dengan keupayaan adik-adik dan menitipkan doa terbaik menduduki peperiksaan ini dengan jayanya.
4. Tenangkan fikiran dan berikan fokus yang terbaik.Jangan bermalas-malas dan disiplinkan diri dari segi pengaturan masa dan melakukan perkara-perkara berfaedah.
5. Jaga diri dan kesihatan. Perkara ini sangat penting supaya adik-adik dapat menggekalkan konsentrasi dan dapat mengulangkaji pelajaran dengan tenang dan kondusif.
6. Di kesempatan ini, suka untuk saya berkongsi beberapa pesan untuk skor terbaik dalam peperiksaan STAM.
*i. Mengulangkaji dan menghafal dalam keadaan berwuduk. Berdoa supaya Allah permudahkan urusan.*
*ii. Usaha memahami sebaik mungkin pelajaran sebelum dihafal. Sekiranya kita faham, maka akan lebih mudah dihafal.*
*iii. Tulis semula apa yang telah dihafal. Kaedah ini bagi memastikan tidak berlaku kesilapan pada huruf dan perkataan yang dihafal. Bahasa arab boleh sahaja bertukar maksud andai ejaan yang ditulis tidak tepat.*
*iv. Mengulang-ulang hafalan supaya kalimah dan ayat yang dihafal dapat diingat dengan tepat dan terpahat kukuh dalam Ingatan.*
*v. Konsisten berdoa supaya Allah beri kefahaman dan ketajaman akal. Apa yang lebih penting adalah memahami pelajaran dan dipraktis dalam seluruh aspek kehidupan.*
7. Ibu ayah, guru-guru senantiasa mendoakan kejayaan buat adik-adik semua. Terus optimis dan bersemangat.Buat yang terbaik. Kami mendoakan supaya kalian dapat memahami dan menghayati pelajaran dengan baik, diberikan ketenangan dan kecerdasan semasa menjawab soalan seterusnya peroleh kejayaan yang diharapkan. Insyaallah takdir “Mumtaz” bakal menjadi milik adik-adik semua.
8. Allah SWT memberikan pesan dan motivasi dalam firmanNya:
“Apabila kamu telah berazam (kesungguhan), maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal”
(surah Ali Imran ayat 159)
Terus bitara, terus berjasa.
“Hidup Biar Berjasa”
MUHAMMAD KHAIR SUJUD
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)