Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Perdebatan Kontemporari Mengenai Kesetaraan Gender: Islamis Versus Feminis Muslim

Oleh: Khalif Muammar A Haris & Adibah Mukhtar

Pendahuluan

Islam seringkali dikaitkan dengan diskriminasi terhadap wanita. Imej penindasan terhadap kaum Hawa ini diperkuat lagi dengan apa yang berlaku di sebahagian negara yang membawa nama Islam. Adanya larangan mufti Mesir pada tahun 50an bahawa kaum wanita tidak dibenarkan berpartisipasi dalam segala bentuk aktiviti umum dan membataskan diri dengan aktiviti dalam rumah (domestic) sahaja[i]; pemerintahan Taliban yang suatu ketika telah menafikan hak pendidikan bagi wanita; terdapatnya hak wali untuk memaksa anak perempuannya berkahwin dengan orang yang tidak dikenalinya di Pakistan; merupakan sebahagian daripada contoh dan senario yang menguatkan lagi imej diskriminasi tersebut. Semua ini menimbulkan persoalan yang sangat kontroversi.

Pada zahirnya umat Islam berhadapan dengan dua pilihan yang bertentangan (two opposing ends) iaitu antara konservatisme dan liberalisme. Akan tetapi pada hakikatnya dalam tradisi Islam terdapat alternatif ketiga iaitu jalan tengah atau al-wasatiyyah, meminjam istilah yang digunakan oleh al-Qaradawi.[i] Jalan tengah yang dimaksudkan di sini bukanlah Islam moderat yang satu ketika dahulu pernah dikemukakan oleh Gusdur alias Abdur Rahman Wahid. Golongan Islamis adalah golongan yang mengambil pendekatan yang sederhana dan seimbang antara dua pendekatan yang bertentangan, iaitu konservatif dan liberal. Apa yang dikesalkan adalah golongan liberal dan feminis seolah-olah tidak menghiraukan kewujudan golongan ini, dan mereka menganggap semua ulama’ adalah konservatif. Anggapan ini sebenarnya tidak berasas sama sekali.  Oleh itu kertas kerja ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada umum adanya pendekatan sederhana yang telah menjawab segala permasalahan yang ditimbulkan oleh golongan feminis Muslim. Kritikan dari sudut metodologis dan epistemologis akan dilakukan untuk menguji kekuatan argumentasi feminisme Islam.

Jalan Tengah: Golongan Islamis

Dalam banyak perkara khilafiyyah, golongan sederhana[ii] mengambil pendekatan pertengahan di antara konservatif dan liberal/feminis. Sebagai contoh, ketika Islam menetapkan kewajipan hijab[iii], (bertudung, the veil) terdapat perbezaan pandangan di kalangan ulama’ sama ada wajah dan tapak tangan termasuk aurat wanita. Golongan Islamis ini kemudian memilih pendapat yang membenarkan wajah dan pergelangan tangan terdedah, kerana disokong oleh dalil yang kuat dan pendapat majoriti ulama’. Sementara golongan konservatif pula memilih hukum yang lebih ketat untuk berhati-hati,[iv] dan ini tidak disanggah oleh golongan sederhana. Yang jelas, perbezaan pendapat ini memberikan kelonggaran kepada wanita untuk memilih salah satu pendapat yang dianggap betul.

Dalam banyak perkara, pendekatan konservatif adalah bersifat protektif bahkan terkadang dikatakan ‘over protective’, hinggakan sebahagian ulama’-ulama’ Afghanistan ketika zaman pemerintahan Taliban tidak membenarkan kaum wanita mendapatkan haknya dalam pendidikan atas dasar peranan kaum wanita hanya terbatas di dalam rumah. Sedangkan bagi golongan sederhana, pendidikan bukan sahaja merupakan hak, akan tetapi ia adalah kewajipan bagi setiap Muslim tanpa melihat kepada jantina. Oleh itu pendapat seperti di atas hanyalah berdasarkan ijtihad subjektif ulama’ kerana baik nas al-Qur’an mahupun Hadis sama sekali tidak memberikan justifikasi.

Demikian juga dalam permasalahan yang berkaitan dengan kepimpinan wanita. Kaum konservatif berpendapat bahawa kepimpinan awam (termasuk menjadi hakim dan menteri) adalah khusus untuk kaum lelaki. Manakala golongan Islamis mengambil pendekatan yang sederhana dengan pandangan bahawa wanita layak memegang kepimpinan awam (wilayah ‘ammah). Namun, khusus untuk kepimpinan tertinggi di dalam sesebuah negara Islam (khilafah dan Imamah) golongan Islamis tetap berpegang kepada hadis Abu Bakrah yang melarang wanita menjadi pemimpin tertinggi sesebuah negara Islam.[v] Walaubagaimanapun dalam kepimpinan awam selainnya, sekiranya seseorang wanita memiliki kemampuan dan memenuhi syarat-syaratnya maka tiada halangan sama sekali untuknya menjadi pemimpin, samada daripada teks al-Qur’an mahupun al-Sunnah.

Feminis Muslim

Gerakan feminis Muslim serta perjuangan mereka sebenarnya bukanlah satu pergerakan yang baru. Walaupun istilah ‘feminis Muslim’ mula diperkenalkan dan digunapakai sekitar tahun 1990an, namun asas perjuangan dan pemikiran mereka adalah kesinambungan dari gerakan feminisme Barat yang telah dianuti dan diterima sebagai satu wadah untuk memperjuangkan hak-hak serta kepentingan wanita.[vi] Margot Badran, seorang sarjana di Center for Muslim-Christian Understanding di Georgetown University, secara ringkasnya mendefinisikan feminis Islam sebagai “a feminist discourse and practice articulated within an Islamic paradigm”. Secara dasarnya, gerakan ini mendakwa mendapat mandat untuk memperjuangkan hak dan keadilan wanita dari ajaran yang terkandung di dalam al-Qur’an. Definisi yang lebih jelas yang diberikan oleh kalangan Feminis sendiri, Azza M. Karam, ialah: “a one who adopts a worldview in which Islam can be contextualized and reinterpreted in order to promote concepts of equity and equality between men and women, and for whom freedom of choice plays an important part in expression of faith”.[vii]

Di antara sarjana dan tokoh yang pernah menggunakan istilah tersebut di dalam penulisan mereka, sekaligus menyumbang dalam memperkenalkannya di dunia Islam termasuklah Afsaneh Najmabadeh dari Ziba Mir-Hosseini dari Tehran, Mai Yamani dari Saudi di dalam bukunya Feminism and Islam pada tahun 1996 serta Yesim Arat dari Turkey. Manakala Mesir dikatakan sebagai tempat lahirnya Islamik feminis, terkenal dengan tokohnya Huda Shaarawi (1879-1947) yang menubuhkan The Egyptian Feminist Union pada 1923.[viii]  Perlu disebutkan di sini, meskipun dasar dan asas pemikiran para pejuang keadilan wanita adalah sama, namun tidak semua secara terbuka berasa selesa menisbahkan atau mengaitkan diri mereka dengan perjuangan Feminis Islam atau Feminis Muslim. Bagi sesetengah pelopor perjuangan gender ini, usaha mereka dalam menuntut keadilan sosial dan kesetaraaan gender yang didakwa merupakan intipati ajaran al-Qur’an digambarkan sebagai ‘projek pentafsiran Islam dan pemahaman semula teks-teks al-Qur’an’ serta ‘women–centered readings of religious texts’. Justeru, dewasa ini telah lahir tokoh dari kalangan sarjana wanita Muslim yang dikatakan khusus dalam bidang theologi feminis dan tafsir al-Qur’an dari perspektif wanita seperti Amina Wadud.[ix]  Namun, walau apapun istilah atau nama yang digunakan, suatu fakta yang jelas adalah kumpulan–kumpulan ini bergerak atas dasar perjuangan yang serupa, berorientasikan wanita, mempunyai objektif yang sama dan berhujah dengan metodologi yang sama. Perjuangan mereka juga kebanyaknnya bersifat antagonistik terhadap pemerintahan Islam dan Islam itu sendiri.

Prioriti misi kebanyakan Feminis Muslim adalah rekonstruksi hukum-hukum agama berkaitan wanita terutamanya hukum keluarga, dengan menilai dan menganalisa semula teks agama –al-Qur’an dan al-Sunnah- serta mentafsirnya dari perspektif yang berbeza dengan tafsiran klasikal.[x] Pendekatan yang mereka gunakan adalah berorientasikan wanita, dimana dalam memahami teks tersebut, pandangan serta pengalaman mereka sebagai wanita dijadikan asas pertimbangan. Hasilnya, wujudlah beberapa sayap pendekatan dan kelompok, seperti kelompok yang memberi fokus terhadap teks-teks al-Qur’an yang dipelopori oleh Amina Wadud, Rifaat Hassan dan Fatima Naseef; kelompok yang melaungkan penyemakan semula hadis seperti Fatima Mernissi dan Hidayet Tuksal; dan juga kelompok yang mengaplikasikan pemahaman semula al-Qur’an (re-reading of the Qur’an) dalam penyemakan semula hukum-hukum Syariah seperti Aziza al-Hibri dan Shaheen Sardar Ali.

Secara umum, Feminis Muslim mengaplikasikan beberapa jenis pendekatan dan metodologi dalam membahaskan hukum-hukum berkaitan wanita yang terdapat dalam teks-teks agama. Ini termasuklah metodologi tradisional seperti ijtihad dan tafsir, serta beberapa metodologi yang melibatkan bidang ilmu yang lain seperti antropologi, sosiologi, sejarah, linguistik dan literary criticism. Para Feminis Muslim merasakan bahawa hukum kekeluargaan Islam perlu mengalami proses reformasi bagi mengurangkan senario penguasaan lelaki (male domination). Mereka berhujah, perbezaan dan kepelbagaian versi undang-undang Islam di antara negara-negara Islam membuktikan undang-undang Islam sebenarnya sangat kuat dipengaruhi oleh keadaan sosio-politik setempat, dan bukannnyadivine injunctions. Seumpamanya, ini juga membuktikan bahawa teks-teks agama boleh ditafsirkan dengan tafsiran yang berbeza, mengikut pemahamam atau pre-understanding masing-masing. Malahan, hujah mereka diperkuat lagi dengan terdapatnya perbezaan tafsir al-Qur’an antara para mufassirin[xi]

Isu Kesetaraan Gender Dan Rekonstruksi Syariah          

Di antara argumen dasar bagi feminis Muslim adalah ‘gender equality’–kesetaraan dan kesaksamaan gender, yang didakwa merupakan ajaran asas dan fundamental di dalam Islam. Golongan feminis Muslim menegaskan bahawa al-Qur’an sebagai kitab suci dan panduan utama bagi ummat Islam amat menekankan persamaan serta kesetaraan antara semua manusia, terutamanya antara lelaki dan wanita. Ironinya, ini tidak berlaku dalam realiti kehidupan sosial ummat Islam sejak dahulu hingga sekarang. Bagi mereka, ‘equality’ yang di gariskan oleh Islam telah dipengaruhi dan diwarnai oleh ideologi dan amalan patriarchal. Malah, mereka mengatakan Fiqh dan Syariah Islam juga tidak lari daripada unsur patriarki, atas alasan para ulama’ yang terlibat dalam proses kodifikasi hukum-hukum fiqh pada kurun ke 9 Hijrah terdiri daripada individu yang hidup dan bergelumang dengan pemikiran serta tingkahlaku patriarki.

Pada pendapat mereka, hakikat ini menjelaskan sebab dan faktor mengapa sesetengah hukum di dalam Syari‘ah tidak mengaplikasi prinsip equality (persamaan) seperti yang sepatutnya. Malah, seorang tokoh feminis Mesir, Nawal Saadawi mengatakan bahawa semua Kitab-kitab samawi termasuk al-Qur’an telah menindas wanita. Bagi beliau semua agama bersikap patriarki kerana muncul dalam masyarakat yang juga patriarki.[xii] Sa’dawi juga berpendapat bahawa al-Qur’an sepertimana agama-agama sebelumnya menganggap wanita sebagai punca kejahatan, dengan alasan Hawa diciptakan dari tulang rusuk Adam dan dialah yang bertanggung jawab terhadap dosa manusia (original sin).[xiii] Beliau mentafsirkan frasa ‘wakhalaqa minha zawjaha’ bermaksud dan diciptakan daripada Adam pasangannya. Penafsiran ini bahkan bercanggah dengan tafsiran sebahagian feminis sendiri seperti Yvonne Haddad dan Jane Smith yang melihat bahawa al-Qur’an sama sekali tidak menjelaskan penciptaan Hawa dari Adam.[xiv]

Sehubungan itu, Feminis Muslim mendakwa bahawa prinsip keadilan dan kesaksamaan yang dipromosi oleh al-Qur’an tidak terlaksana disebabkan para mufassirin yang terdiri daripada lelaki telah menghasilkan tafsir al-Qur’an yang mendukung doktrin yang mengangkat martabat kaum lelaki dan menjustifikasi superiority kaum lelaki. Implikasinya, samada pengalaman kaum wanita tidak diambilkira dalam penafsiran al-Qur’an, ataupun ayat-ayat al-Qur’an ditafsirkan hanya daripada perspektif lelaki, kehendak dan keperluan lelaki terhadap wanita.[xv] Bahkan, ada yang bertindak lebih jauh dari itu dengan membuat kesimpulan bahawa hukum –hukum dalam al-Qur’an memberi kelebihan kepada kaum lelaki, terutamanya dalam masalah harta pusaka dan perwarisan, pemerintahan dan kekeluargaan, semata-mata kerana ingin mengambil hati dan mendapatkan sokongan daripada masyarakat Arab ketika itu yang mengamalkan patriarki.[xvi] Dakwaan yang agak radikal ini juga memberi isyarat bahawa sesetengah penafsiran ayat-ayat al-Qur’an perlu menjalani proses rekonstruksi agar lebih sesuai dan releven dengan keadaan sosio-ekonomi dan pemikiran masyarakat masa kini.

Feminis Muslim juga beranggapan bahawa terdapat bias gender yang ketara dalam hukum-hukum Syari‘ah yang diambil daripada hadis-hadis Rasulullah s.a.w., atas alasan perawi hadis yang terdiri daripada kalangan Sahabat adalah para lelaki yang tidak dapat membebaskan diri daripada pengaruh amalan patriarki. Hujah mereka lagi, kebanyakan hadis diriwayatkan selepas hampir satu kurun selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., manakala kebanyakkan perawi hadis mewarisi sikap prejudis sosial terhadap wanita. Walaupun  Rasulullah s.a.w. sendiri sangat bersimpati terhadap kaum perempuan dan memberikan hak-hak yang sewajarnya kepada mereka, namun sebahagian sahabat tidak bersetuju dengan pemberian hak tersebut.[xvii] Pemberian hak tersebut diprotes oleh sebahagian kaum lelaki, lalu apabila mereka meriwayatkan hadis, mereka dikaburi oleh sikap prejudis mereka terhadap wanita. Tambahan lagi, golongan feminis berpendapat kemasukan orang-orang Syria, Mesir, Parsi dan lain-lain agama ke dalam Islam menyebabkan sikap dan amalan prejudis mereka terhadap wanita serta adat resam dan tradisi dibawa bersama ke dalam masyarakat Islam, seterusnya memberi kesan terhadap proses kodifikasi hukum Islam. Bahkan, situasi ini memberi implikasi negatif kepada revolusi wanita yang diperkenalkan oleh Islam bagi mengangkat martabat wanita.[xviii]

Gugatan-gugatan Feminis Muslim

Atas alasan-alasan di atas, kelompok yang memperjuangkan kesetaraan gender melaungkan perlunya rekonstruksi undang-undang Islam, terutamanya undang-undang keluarga dari sudut sejarah dan pengalaman terkini, bagi menjamin prinsip kesetaraan sepertimana yang dikehendaki oleh al-Qur’an dapat diaplikasi dan dimanifestasi sepenuhnya.[xix] Bahkan, Amina Wadud menyatakan, bagi menjamin al-Qur’an sentiasa releven, ia haruslah secara terus menerus direinterpretasi.[xx] Bagi mereka, beberapa ciri al-Qur’an dijadikan bukti perlunya proses rekonstruksi ayat-ayat yang terkandung di dalamnya. Pertama, perkataan –perkataan berbentuk simbolik yang sering terdapat di dalam al-Qur’an menjadikannya sentiasa releven untuk ditafsirkan semula. Kedua, ayat-ayat yang membawa maksud yang samar-samar adalah fleksibel dan boleh menerima perubahan maksud secara kreatif. [xxi]

Feminis Muslim bertindak antagonistik terhadap beberapa hukum dalam al-Qur’an yang berkaitan dengan wanita. Mereka cuba menggugat dan mempertikaikan hukum Syari‘ah dengan menekankan isu-isu seperti asal kejadian wanita, kepimpinan wanita, kepimpinan lelaki terhadap wanita (qawwamah) serta kelemahan wanita yang sering menjadi persoalan dan juga bukti wujudnya bias gender di dalam Islam. Dengan mengaplikasi metodologi dan menganalisa nas-nas al-Qur’an dengan cara yang berbeza, mereka mencabar kedudukan dan status wanita di dalam masyarakat Muslim.

Penciptaan Hawa dari Tulang Rusuk

Persoalan mengenai kedudukan wanita tidak dapat dikaji dengan saksama tanpa mengkaji terlebih dahulu tentang asal usul kejadian wanita iaitu Hawa. Seperti diketahui umum, di antara sebab mengapa semua agama samawi dituduh misogynist adalah kerana agama-agama tersebut mengatakan wanita dicipta daripada tulang rusuk Adam. Pendapat ini sebenarnya wujud dalam tradisi Kristian, kemudian sebahagian ulama’ berpendapat ia juga diakui oleh Islam. Walaubagaimanapun pendapat ini pada hakikatnya adalah pendapat yang tidak kuat. Sebenarnya Islam tidak menjelaskan secara spesifik penciptaan Hawa dari tulang rusuk Adam.

Penciptaan Hawa daripada tulang rusuk Adam merupakan fakta yang disokong oleh teks-teks kitab suci agama Nasrani. Perbandingan antara  nas-nas al-Qur’an dengan teks Bible menunjukkan bahawa kedua-duanya adalah tidak sehaluan. Pertama sekali, terdapat perbezaan yang ketara tentang kejadian Adam itu sendiri. Di dalam Bible, Adam dikatakan dicipta daripada debu manakala di dalam al-Qur’an Adam dicipta darpada tanah liat. Setelah ditempatkan di syurga maka Tuhan ingin mencipta pasangan bagi Adam sebagai penolong dan pendampingnya. Bible juga ada menceritakan tentang penciptaan Hawa dengan terperinci:
“… tetapi baginya sendiri ia tidak menjumpai penolong yang sepadan dengan dia. Lalu Tuhan membuat manusia itu tidur nyenyak; ketika ia tidur, Tuhan mengambil salah satu rusuk dari padanya, lalu menutup tempat itu dengan daging. Dan dari rusuk yang diambil Tuhan dari manusia itu, dibangun-Nyalah seorang perempuan, lalu dibawa-Nya kepada manusia itu.

Lalu berkatalah manusia itu: ‘Inilah dia, tulang dari tulangku dan daging dari dagingku. Ia akan dinamai perempuan, sebab ia diambil dari laki-laki.’ Sebab itu seorang laki-laki akan meninggalkan ayahnya dan ibunya dan bersatu dengan isterinya, sehingga keduanya menjadi satu daging. Mereka keduanya telanjang, manusia dan isterinya itu, tetapi mereka tidak merasa malu.” (Kejadian 2:20-25)

Berbeza dengan keterangan dari Bible di atas, Al-Qur’an sama sekali tidak menyebut tentang kejadian Hawa dari tulang rusuk Adam. Yang jelas, al-Qur’an hanya menyatakan bahawa manusia diciptakan dari satu jiwa. Ini bermakna Adam dan Hawa mempunyai dan berasal daripada jiwa yang sama. Dalam konteks ini, Sayyid Qutb di dalam kitab tafsirnya mengatakan masing-masing merupakan dua bahagian yang tidak mungkin dipisahkan (shatray al-nafs al-wahidah).[xxii] Seterusnya, al-Qur’an juga menjelaskan bahawa dari satu jiwa itu diciptalah pasangan bagi Adam, iaitu Hawa. Surah al-Nisa, ayat 1 menjelaskan:

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari jiwa yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”

Golongan Feminis mendakwa kisah kejadian Hawa dari tulang rusuk Adam diambil oleh para ulama’ silam daripada kisah-kisah Israiliyyat.[xxiii] Sebenarnya tidak dinafikan bahawa fakta tersebut diambil oleh sebahagian besar ulama dari kisah-kisah Israiliyyat, akan tetapi ulama’-ulama’ ini juga bersandarkan kepada beberapa Hadis yang menjelaskan penciptaan Hawa daripada tulang rusuk. Akan tetapi sebahagian ulama’ silam telah menterjemahkan hadis tersebut secara literal. Hadis tersebut bermaksud:

‏Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w. jagalah kaum wanita (dengan baik), sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk (min dil‘) dan sesungguhnya yang paling bengkok dari tulang rusuk itu adalah yang teratas, maka jikalau engkau berusaha meluruskannya engkau akan mematahkannya dan jika engkau biarkannya ia akan kekal bengkok, maka jagalah kaum wanita (dengan baik)”.[xxiv]

Hadis tersebut secara harfiyah atau literalnya bermaksud Hawa telah diciptakan oleh Allah S.W.T. dari tulang rusuk. Namun, beberapa persoalan timbul daripadanya. Apakah pemahaman hadis secara harfiyyah ini betul dan tepat? Mungkinkah yang dimaksudkan dan dikehendaki oleh Nabi s.a.w. adalah makna majazi dan bukan makna haqiqi atau literal? Walaubagaimanapun tidak ada satu hadis pun yang memperincikan tentang kejadian wanita daripada tulang rusuk Adam. Ini mungkin kerana apa yang ingin disampaikan oleh Rasulullah sebenarnya adalah bukan tentang penciptaan Hawa.Yang jelas, mesej hadis tersebut adalah supaya lelaki berlemah lembut dalam hubungannya dengan wanita kerana kekerasan tidak akan memberi kesan yang baik. Demikian juga jika membiarkannya ia mungkin akan merugikan kedua-dua pihak. Dengan memahami hakikat wanita yang sedemikian rupa, lelaki hendaklah bersikap lebih bijaksana dalam berinteraksi dengan wanita. Atas dasar inilah Rasulullah menasihatkan agar kaum wanita dijaga dengan baik, dan inilah sebenarnya mafhum hadis tersebut.

Selain itu, terdapat kepelbagaian lafaz yang digunakan dalam matan hadis tersebut sepertimana yang diriwayatkan oleh Bukhari, Ahmad dan Tirmizi dengan lafaz yang sedikit berbeza.[xxv] Riwayat Bukhari[xxvi] dalam Sahih Bukhari dan riwayat Muslim[xxvii] menyebut khuliqat min dil’, manakala dalam riwayat Ahmad disebut khuliqna min dil‘.[xxviii]Namun, terdapat juga riwayat Bukhari[xxix], Tirmizi[xxx] dan Imam Ahmad dari musnad Samrah bin Jundub yang berbunyi al-mar’atu ka al-dil‘. Berhubung hadis yang kedua ini, Imam Tirmizi mengatakan ia disampaikan melalui riwayat atau jalan lain iaitu oleh Abu Zar, Samrah dan ‘Aishah.

Jika dianalisa dari segi bahasa, perkataaan min dalam bahasa Arab biasanya bermakna ‘dari’, tetapi kadangkala ia juga boleh membawa makna ‘seperti’ (mithl).[xxxi] Persoalannya ialah, apakah qarinah untuk membuktikan bahawa yang dikehendaki dan dimaksudkan daripada hadis ini (hadis yang menyebut frasa ka al-dil‘) adalah ‘seperti’ (mithl) dan bukannya ‘dari’? Jika diambil kira prinsip dan kaedah bahawa suatu hadis boleh ditafsirkan dengan menggunakan hadis yang lain, maka makna yang rajih bagi hadis tersebut adalah hakikat kejadian wanita seperti tulang rusuk (ka al-dil‘), bukan dari tulang rusuk. Oleh itu qarinah atau bukti kesahihan makna ‘seperti’ (mithl)dalam hadis ini adalah hadis sahih yang lain.

Walaupun orang awam biasanya akan cenderung kepada makna zahir/literal hadis dan memberi makna dari ‘tulang rusuk’; akan tetapi, oleh kerana terdapat hadis yang memberi kefahaman yang lebih sempurna, maka makna literal perlu ditukar kepada metafora atau makna majazi. Penafsiran seperti ini amat bersesuaian dengan mesej yang ingin disampaikan oleh Rasulullah iaitu adanya persamaan di antara wanita dengan tulang rusuk. Persamaan tersebut adalah dari segi sifat keduanya yang bengkok, melengkung atau tidak lurus[xxxii], dan lelaki harus menerima keadaan itu dengan rela hati tanpa cuba memaksa wanita atau meluruskannya. Dengan penafsiran yang thematicdan bukan harfiyah ini, maka hilanglah kemusykilan bahawa wanita diciptakan dari sebahagian kecil anggota badan lelaki yang memberi konotasi kerendahan asal-usul wanita.

Apabila diteliti dengan saksama, kekeliruan yang seringkali berlaku dalam memahami suatu hadis ataupun ayat disebabkan oleh sikap selektif dan atomistik. Dalam memahami satu hadis, seseorang perlu bersikap terbuka dan cuba memahaminya dalam kerangka maqasid shari‘ah (objektif Shari‘ah). Sementelah, seperti juga ilmu tafsir, di dalam ilmu hadis juga terdapat kaedah menafsirkan hadis dengan hadis yang lain. Jadi jelaslah daripada kajian ini bahawa yang dimaksudkan oleh hadis asal kejadina wanita bukanlah makna haqiqi dan literal, tetapi makna majaziatau metafora.

Walau bagaimanapun, pendapat sebahagian ulama’ tradisional yang menjustifikasikan penciptaan wanita dari tulang rusuk tidak dapat disalahkan secara mutlak kerana zahir sebahagian hadis mengatakan demikian.[xxxiii] Bagi ulama’ tersebut penciptaan wanita dari tulang rusuk Adam bukan bermakna kerendahan dari segi martabat tetapi merupakan simbol hubungan keduanya yang sangat rapat serta saling melengkapi (complementary), sehingga tidak mungkin salah satunya hidup tanpa yang lain. Kesimpulannya, kedua-dua pendapat ini boleh diambil kerana masing-masing berdasarkan hadis. Akan tetapi pendapat yang menolak hadis ini sama sekali samada dengan manafikan kesahihannya, mahupun dengan mengatakan ia tidak dapat diterima dalam konteks zaman sekarang, adalah pendekatan asing yang tidak ada dalam tradisi Islam.

Wanita dan Kepimpinan Awam

Islam memberikan persamaan antara lelaki dan wanita, dan prinsip ini diakui oleh seluruh cendekiawan Islam serta sebahagian golongan Feminis,[xxxiv] meskipun ada sebahagian Feminis yang mengatakan Islam adalah sama dengan agama samawi lain yang misogynist. Konsep persamaan dan kesetaraan (equality) ini kemudian ditafsirkan mengikut paradigma yang berbeza, sehingga akhirnya berlakulah pertentangan di antara golongan Islamis dan Feminis. Bagi golongan Feminis, persamaan semestinya bermaksud penyamarataan atau kesamaan hak dalam semua bidang kehidupan yang diceburi oleh lelaki dan perempuan. Dengan pemahaman seperti ini maka segala bentuk pembezaan dalam sesuatu perkara dianggap diskriminasi. Oleh itu Feminis menyerukan hak wanita untuk menjadi Imam dan khatib solat Jumaat, menjadi pemimpin tertinggi (khalifah), mendapatkan hak yang sama rata dalam harta waris, dan hak mentalakkan suami (melafazkan talaq).

Adapun bagi golongan Islamis, persamaan tidak semestinya bermakna penyamarataan. Dalam worldview Islam, untuk bersikap adil seseorang perlu memberikan hak yang sepatutnya kepada yang layak.[xxxv] Keadilan dalam erti kata meletakkan sesuatu pada tempatnya bermakna perlunya mempertimbangkan kesesuaian, kelayakan, kesediaan dan fitrah dalam menempatkan seseorang yang terbaik bagi tugas tertentu.[xxxvi] Atas pertimbangan inilah maka Islam memberikan tugas tertentu khusus untuk kaum lelaki, seperti mencari nafkah, berperang atau berjihad dan memimpin wanita. Pembezaan tugas ini sama sekali tidak bermaksud driskriminasi. Ia hanya akan terlihat sebagai diskriminasi apabila dilihat dari perspektif paradigma Barat.

Islam meletakkan nilai-nilai moral di kedudukan yang sangat tinggi sehingga dapat dilihat nilai-nilai tersebut mempengaruhi setiap peraturan dan ketentuan. Wanita diberikan tugas secara khas untuk membesarkan anak (child bearing) kerana wanita diberikan keistimewaan dan keunikan yang tidak dimiliki oleh kaum lelaki dari segi biologi, mental dan emosional. Kualiti dan sifat seperti penyayang dan penyabar ini sangat penting dalam membesarkan anak, sehinggakan ia dapat memberi kesan yang baik kepada psikologi anak-anak yang dibesarkan dengannya, berbanding dengan anak-anak yang tidak mendapatkannya. Kita lihat sebenarnya ada hikmah disebalik kelainan dalam pemberian keistimewaan kepada manusia. Allah telah memberikan kepada wanita apa yang tidak dimiliki oleh lelaki dan begitu juga sebaliknya. Melihat dari sisi yang positif, kerjasama yang baik di antara kedua jantina ini semestinya menghasilkan kesempurnaan dan keharmonian. Berbanding apabila kedua-dua jantina memiliki keistimewaan yang sama, situasi ini akan menghilangkan perasaan saling memerlukan antara sau sama lain, seterusnya kerjasama dan keharmonian tidak akan terjalin.

Ketika Islam menempatkan lelaki sebagai pemimpin dalam rumah tangga dan wanita sebagai pengurus domestik, ia sama sekali tidak bertujuan untuk merendahkan martabat wanita. Falsafah kepimpinan dalam Islam tidak dikaitkan dengan kemuliaan dan kerendahan; akan tetapi kepimpinan adalah tanggung jawab yang berat dan merupakan suatu tugas yang akan dipertanggung jawabkan suatu hari kelak. Bagi Sayyid Qutb, kepimpinan adalah suatu perkara yang amat penting dalam sesebuah keluarga sebagaimana ianya sangat kritikal dalam organisasi ataupun institusi, dimana ia dapat membawa keluarga kepada kemajuan dan kejayaan dunia akhirat. Tanpa kepimpinan maka tidak ada bidang kuasa dan tidak ada tanggungjawab.[xxxvii] Ulama-ulama bersepakat bahawa seorang suami bertanggung jawab dalam memastikan keluarga menjalankan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Seorang isteri pula bertanggung jawab mentaati suaminya selama tidak bercanggah dengan kehendak Allah s.w.t .[xxxviii] Di sinilah letaknya kepentingan sebuah keluarga yang dibina atas dasar agama dan moraliti. Islam juga menggariskan kepimpinan lelaki hendaklah atas dasar kasih sayang dan kerjasama, bukannya kepimpinan despotik dan satu arah.[xxxix] Demikian beberapa kali dinasihatkan oleh Rasulullah s.a.w. ketika Haji Wada‘. Kepimpinan syuratik dan penyayang diikuti oleh ketaatan ahli keluarga dalam kebaikan bermakna keharmonian dan kejayaan. Sebaliknya keluarga yang tidak memiliki pemimpin dan tidak dipimpin serta tidak merasakan perlunya ketaatan dan tanggungjawab untuk memenuhi tuntutan tugas masing-masing adalah keluarga yang rentan terhadap ketidakharmonian dan kebencian sesama ahli keluarga.

Kontroversi dalam Kepimpinan Wanita

Hadis Abu Bakrah yang biasa diperdebatkan dalam kontroversi mengenai kepimpinan wanita dianggap bermasalah oleh seorang feminis Islam, Fatima Mernissi. Mernissi berpendapat sedemikian disebabkan hadis ini adalah hadis Ahad dan Abu Bakrah pula dikatakan mempunyai kepentingan ketika meriwayatkan hadis tersebut.[xl] Ini memperkuatkan alasan Mernissi untuk menolak hadis tersebut walaupun ia telah diaggap sahih dan terdapat dalamKutub al-Sittah. Persoalannya, apakah benar bahawa Abu Bakrah tidak boleh dipercayai kerana mempunyai kepentingan peribadi dalam meriwayatkan hadis ini? Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah, atau nama lengkapnya Nafi‘ bin al-Harith bin Kaldah, adalah seperti berikut:

Daripada Abu Bakrah berkata: “Allah telah memberiku manfaat ketika peperangan al-Jamal dengan satu kalimah yang aku dengar daripada Rasulullah s.a.w.. Ketika itu aku hampir menyertai dan berperang dengan pasukan al-Jamal (dipimpin oleh ‘A’ishah r.a.), ketika Nabi diberitahu bahawa rakyat Farsi mengangkat anak perempuan Kisra sebagai raja, beliau bersabda: “tidak akan berjaya suatu kaum yang mengangkat seorang wanita sebagai pemimpin mereka””.[xli]

Penulis mendapati dalam riwayat Tirmizi kalimat ‘asamani (menyelamatkanku) digunakan menggantikan kalimatnafa’ani (memberiku manfaat). Bagi Mernissi kalimat nafa’ani ini menunjukkan adanya kepentingan diri dalam periwayatan hadis, akan tetapi konteks keseluruhan hadis tersebut tidak menunjukkan sebarang bukti terhadap dakwaan tersebut. Justeru, Abu Bakrah telah menemui A’ishah r.a. dan menasihatinya supaya jangan pergi berperang. Bagi Abu Bakrah sendiri hadis ini telah menyelamatkan dirinya dari terlibat dalam fitnah yang berlaku di antara Sayyidina Ali dan ‘Aishah r.a. Oleh itu, tidak timbul kepentingan peribadi dalam melarang kepimpinan wanita. Hakikat sebenarnya adalah Abu Bakrah merasa terselamat daripada terlibat dalam fitnah yang merugikan umat Islam itu.

Hibah Rauf Izzat pula tidak menerima sepenuhnya pendapat ulama silam yang mengatakan sebab lelaki dipilih menjadi pemimpin dalam rumah tangga adalah kerana lelaki lebih tinggi darjatnya berbanding perempuan:
Para ulama tafsir yang berpandangan seperti itu tidak melihat bahawa sesungguhnya “darjat” lelaki yang disebutkan oleh al-Qur’an  di dalam surah al-Baqarah 2:228, iaitu tingkat kepemimpinan yang tidak didasarkan kepada kekurangan yang dimiliki oleh kaum wanita. Sesungguhnya alasan pemilihan itu hanyalah untuk alasan amalan sahaja. Dan yang dimaksudkan dengan pemberian kelebihan itu hanyalah tambahan bagi kesesuaian kaum lelaki daripada segi kepimpinan keluarga berbanding kaum wanita. Wanita sebetulnya sesuai, tetapi lelaki adalah lebih sesuai. Sehingga dalam hal ini kita harus memberikan keutamaan kepada yang lebih sesuai, dan kita tidak boleh menganggap bahawa hal ini merupakan suatu keputusan buruk kerana menganggap ketidaksesuaian wanita dalam segalanya.[xlii]

Bagi Hibah, konsep patriarki tidak dikenal dan tiada dalam masyarakat Islam. Konsep ini diperkenalkan oleh penulis-penulis Barat untuk menggambarkan masyarakat Islam tanpa memahami institusi keluarga dan masyarakat dalam Islam. Istilah patriarki sebenarnya pada asalnya digunakan untuk menggambarkan sistem kuasa bapa yang mutlak sifatnya keatas ahli keluarganya. Istilah ini juga berkait rapat dengan istilah ‘familia’ yang dalam bahasa Latin bermakna ladang dan harta pemilikan bagi seorang bapa. Dalam sistem ini wanita dan anak-anak adalah salah satu bahagian daripada kekayaan orang lelaki.[xliii]

Islam menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan (human values).[xliv] Nilai-nilai kemanusiaan pada hakikatnya adalah pemberian Allah dalam fitrah manusia, kerana Allah adalah satu-satunya sumber segala nilai untuk manusia. Walaubagaimanapun Islam melihat nilai-nilai yang ada dalam hak-hak asasi manusia dengan perspektif yang berbeza daripada Barat. Ini kerana worldview Islam adalah berlainan dengan worldview Barat. Nilai-nilai persamaan, keadilan, kebebasan, keindahan dan sebagainya sangat dititikberatkan oleh Islam walaupun dari segi pelaksanaannya masyarakat Islam mungkin kurang mengambil perhatian terhadapnya. Kelemahan umat Islam memanifestasikan nilai-nilai Islam yang luhur pada akhir-akhir ini sebahagiannya disebabkan oleh kemunduran dan kejahilan umat Islam terhadap ajaran Islam yang syumul itu sendiri. Sehinggakan dalam masyarakat yang mundur, ketidakadilan dan diskriminasi terhadap kaum wanita amat ketara bukan sahaja dalam masyarakat Muslim tetapi juga masyarakat manapun. Oleh kerana majoriti masyarakat Islam tidak maju maka fenomena diskriminasi terhadap kaum wanita telah menjadi ciri masyarakat Islam yang sebenarnya tidak berakar umbi dengan tradisi Islam, sebaliknya berasal tradisi nenek moyang dan adat masyarakat patriarki.

Kepimpinan Lelaki dalam Keluarga (qawamah)

Para ulama dan mufassirin telah menafsirkan perkataan qawamah dengan tafsiran yang berbeza: al-Tabari menafsirkan kalimat tersebut sebagai pelaksana tugas (nafizi al-amr) dan pelindung (protectors).[xlv] Ibn Kathir mengatakan qawamah bermakna lelaki adalah ketua dan pembesar rumah tangga kerana lelaki lebih baik dari wanita.[xlvi] Dalam tafsir al-Jalalain disebut maksud qawwamun adalah musallitun (penguasa). Penafsiran dua ulama terakhir di atas mungkin tampak bias gender, tetapi penafsiran ulama lain juga perlu diambil kira untuk tidak terjebak dengan sikap selektif dan atomistik. Ulama kontemporari seperti Muhammad Mutawalli al-Sha’rawi pula berpendapat bahawa al-qawamah sama sekali tidak bermakna tamlik dan tafdil (pemilikan dan diskriminasi).[xlvii]Sayyid Qutb dalam tafsirnya menulis, yang di maksudkan dengan qawamah bukan semata-mata pemimpin tetapi adalah orang yang dibebankan dengan tadbir al-ma’ash (pengurusan kehidupan/penghidupan).[xlviii] Bagi Yusuf al-Qaradawi al-qawamah ini perlu difahami dengan gandingannya iaitu al-mas’uliyyah yakni tanggungjawab dan amanah.[xlix] Oleh itu jelaslah bahawa dalam perspektif Islam kepimpinan bukanlah satu kemuliaan dan kelebihan melainkan satu tanggungjawab dan beban yang berat. Ini tentunya sangat berbeza dengan konsep kepimpinan dari perspektif Barat yang telah memisahkan kuasa daripada moraliti.

Jika dilihat dan dikaji dengan teliti, dalam perbezaan penafsiran terhadap perkataan qawamah sebenarnya ada kesatuan pendapat. Secara dasarnya, para ulama’ semua bersetuju bahawa tugas lelaki adalah menyara dan memberikan perlindungan bagi wanita. Pemahaman ini tidak dapat dielakkan kerana ia jelas dalam mesej keseluruhan ayat tersebut. Golongan Islamis seperti Yusuf al-Qaradawi, Sayyid Qutb, Muhammad Mutawalli al-Sha’rawi, mempertahankan tafsiran ulama-ulama terdahulu bahawa ayat tersebut meletakkan lelaki sebagai pemimpin dalam rumah tangga.[l] Perbezaan utama kepimpinan rumah tangga berbanding kepimpinan dalam institusi lain adalah bahawa tanggung jawab utama dalam kepimpinan rumah tangga ini adalah menyara dan melindungi keluarga, bukan seperti ketua Negara yang hanya berfikir dan memerintah tanpa melakukan tugas seharian.

Al-Qur’an telah menetapkan tugas yang seimbang bagi lelaki dan wanita. Tugas ini diberikan sesuai dengan fitrah dan kemampuan masing-masing, berdasarkankepada fitrah semula jadi wanita yang berbeza dengan lelaki. Dari segi fizikal, emosi dan psikologi  hanya wanita yang dapat menjalankan tugas keibuan dengan baik. Ini kerana wanita berbanding lelaki lebih penyayang, lembut, cepat bertindak secara naluri dan instinct keibuan dapat memenuhi tuntutan tugas dengan baik. Adapun kaum lelaki biasanya lambat bertindak dan mempertimbangkan sesuatu sebelum bertindak ditambah lagi kecenderungan suka kehidupan yang lasak dan mencabar memang sesuai untuk bekerja keras di luar rumah untuk memenuhi keperluan keluarga. Jelas sekali bukan kerendahan wanita dan kelebihan lelaki yang membuat perbezaan tugas tersebut akan tetapi fitrah semula jadi dan psikologi keduanya yang menjadi pertimbangan agar masing-masing tugas dapat diemban dengan baik. Adalah tidak bijaksana memaksakan sesuatu tugas kepada orang yang secara semula jadi tidak cenderung ke arah itu.

Bagi Islamis, Islam telah bersikap adil kepada kedua pasangan apabila memberikan lelaki tugas menyara dan melindungi keluarga dan kepada wanita tugas membesarkan anak (child bearing). Justeru yang tidak adil adalah memberikan kedua-dua bidang tugas tersebut kepada wanita yang pada hari ini banyak dialami oleh keluarga-keluarga yang bermasalah. Dari segi norma-norma yang dipegang oleh masyarakat juga jelas bahawa wanita mengharapkan seorang lelaki yang bertanggung jawab dan memimpin keluarga bukan sebaliknya. Banyak aduan dibuat dari pihak wanita yang mengadu suami mereka tidak menyara hidup keluarga bahkan tugas tersebut terpaksa dilakukan oleh isteri seorang diri. Sebaliknya, tiada aduan yang menyalahkan isteri tidak memikul tanggung jawab menyara keluarga atau memimpin keluarga; akan tetapi yang menjadi kebiasaan adalah isteri yang dipersalahkan kerana tidak menjalankan tanggungjawab membesarkan anak.

Kontroversi Sekitar Kelemahan Wanita

Feminis Muslim beranggapan, bukti bahawa Islam adalah agama yang mysagonist termasuklan hadis yang menyatakan wanita adalah lemah dari segi akal dan agama (naqisat al-‘aql wa al-din). Mengenai hadis tersebut, golongan liberal dan feminis sekali lagi cuba melihatnya secara atomistik tanpa melihat kepada mesej hadis tersebut. Bagi kelompok Islamis, kesahihan hadis tersebut tidak dapat dipertikaikan lagi kerana ia diriwayatkan oleh keseluruhan kutub al-sittah (Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud, Ibn Majah dan Tirmizi) yang dipersetujui dan diperakui akan otoritinya. Semuanya hadis tersebut adalah dengan lafaz yang tidak jauh berbeza dan diriwayatkan dengan jalan yang berbeza. Persoalannya, apakah benar hadis Rasulullah tersebut merendahkan martabat wanita? Selengkapnya hadis tersebut bermaksud:
Dari Abu Sa‘id al-Khudri berkata Rasulullah keluar pada pagi hari atau …ke Musalla, beliau melalui sekumpulan wanita dan berkata: “Wahai kaum wanita bersedekahlah! Kerana aku melihat melihat kalian penghuni neraka terbanyak”. Mereka berkata: “mengapa wahai Rasulullah?” Beliau berkata: “kalian banyak mengutuk dan tidak menghargai kebaikan (suami) aku tidak melihat selain dari kalian orang yang kurang akalnya dan agamanya (naqisat ‘aql wa din) yang dapat menghilangkan fikiran akal lelaki yang tegas”. Mereka berkata: “wahai Rasulullah apakah kelemahan agama dan akal kami?”. Beliau bersabda: “Bukankah kesaksian wanita adalah separuh kesaksian lelaki?” mereka berkata: “ya”. Beliau bersabda: “yang demikian itu adalah kerana kelemahan akalnya, bukankah apabila wanita didatangi haid tidak melakukan solat dan puasa”. Mereka berkata: “ya” beliau bersabda: “yang demikian itu adalah^kelemahan^agamanya”.[li]

Secara dasarnya, kesahihan hadis ini tidak dapat dipertikaikan baik dari segi matan mahupun sanad. Ia diriwayatkan oleh imam Muslim dari Ibn ‘Umar, Abu Said dan Abu Hurairah; oleh Imam Ahmad dan Abu Dawud dari Ibn ‘Umar; dan oleh Tirmizi dari Abu Hurairah. Namun, pertama sekali perlu digarisbawahi bahawa hadis tersebut tidak bersikap negatif terhadap wanita, malahan hakikatnya Rasulullah memberikan jalan keluar bagi kelemahan wanita yang dapat menyebabkan mereka menjadi penghuni neraka. Jalan keluar yang dimaksudkan adalah dengan memperbanyakkan bersedekah, dan dalam riwayat lain pula disebutkan juga memperbanyakkan beristigfar. Di dalam hadis yang lain, ada dijelaskan maksud sedekah, iaitu dengan memperbanyakkan berbuat amal saleh. Dengan adanya jalan keluar ini maka kelemahan wanita tersebut dapat diatasi dan ditutupi. Oleh yang demikian hadis ini sebenarnya bukanlah bermaksud merendahkan taraf wanita, akan tetapi ia sebenarnya merupakan rahmat bagi kaum wanita sendiri.

Perlu dijelaskan, adanya kelemahan ini tidak bermakna kaum wanita adalah inferior dan kaum lelaki adalah superiorkerana masing-masing telah diberikan oleh Allah Taala kelebihan dan kelemahan dalam bidang-bidang tertentu.[lii]Satu kenyataan yang perlu diingatkan di sini, ketika Rasulullah s.a.w.  menjelaskan bahawa wanita adalah  naqisat al-‘aql wa al-din, beliau tidak bermaksud kaum lelaki lebih sempurna akal dan agamanya. Kesempurnaan akal dan agama tidak bergantung kepada jantina, kerana jantina pada hakikatnya tidak menentukan ketajaman akal dan kesempurnaan agama. Sebaliknya, ketajaman akal dan kesempurnaan agama bergantung kepada sejauh mana masing-masing berusaha. Ini bermakna, dalam usaha ke arah kesempurnaan akal dan agama kaum wanita mempunyai hambatan yang lebih berbanding dengan kaum lelaki, meskipun kedua-duanya adalah berpotensi. Hambatan ini bukan dari segi biologi mahupun fisiologi, akan tetapi dari segi fitrah wanita yang berlainan dari lelaki, di mana wanita akan didatangi hayd yang dalam agama menjadi penghambat melakukan ibadah khusus.

Persoalan seterusnya yang ditimbulkan oleh golongan Feminis adalah, hadis ini dengan jelas telah merendahkan kemampuan akal wanita dengan adanya bukti lain iaitu kesaksian dua wanita adalah sama dengan kesaksian seorang lelaki.[liii] Sebahagian ulama (konservatif) mengakui bahawa kesaksian wanita lemah kerana kemampuan akal wanita lebih rendah berbanding lelaki.[liv] Sebaliknya, golongan Islamis tegas mengatakan walaupun secara zahirnya menunjukkan kelemahan wanita akan tetapi maksud sebenar hadis tidak merendahkan. Ia hanya menjelaskan perbezaan yang sama sekali bukan bermakna diskriminasi.

Kritik Epistemologis dan Metodologis

Argumen yang digunakan oleh feminis Muslim dan Muslim liberal nyata mencerminkan pengaruh worldview Barat. Ini dapat dilihat daripada penilaian tokoh feminis Muslim seperti Amina Wadud yang menganggap bahawa tugaschild bearing (mengurus anak) dan domestic housework (tugas rumahtangga) adalah tugas yang hina dan tidak bermakna (demeaning and meaningless).[lv] Jelas sekali besarnya pengaruh worldview Barat terhadap pemikiran Feminis Muslim. Dalam perspektif sekular, kemuliaan diukur dari segi material sedangkan aspek spiritual tidak memberi apa-apa makna. Anggapan bahawa peranan wanita adalah tidak bermakna berbanding lelaki adalah penilaian yang materialistik. Sesuatu peranan akan dilihat dan dinilai bermakna hanya dari segi material sedangkan sumbangan yang tidak material dianggap tidak penting dan berfaedah. Tugas wanita mungkin tidak besar dari segi material manakala sumbangan lelaki kelihatan besar dari segi material, akan tetapi, hakikatnya Allah tidak menilai seseorang hambaNya dari segi material, bahkan Allah menilai dan mengambil kira dari segi usaha dan keikhlasan. Oleh kerana itu, bagi seorang Muslim penilaian samada sesuatu perkara itu bermakna atau tidak mestilah dilihat dari kacamata Islam yang holistik, dan bukan dualistik. Kuasa dalam worldview Barat yang materialistik dan sekular adalah simbol kemuliaan dan the end-in-itself. Sedangkan Islam melihat kuasa adalah sebagai alat untuk menjalankan tugas sebagai khalifatuLlah. Hakikatnya, kuasa serta kelebihan yang diberikan adalah beban dan tanggungjawab (amanah) yang mesti diemban dengan mengikuti dan berlandaskan kehendak Allah, bukan kehendak individu mahupun golongan tertentu. Atas semangat inilah Khulafa’ Rashidin meminta untuk diperbetulkan oleh umat mereka apabila telah melakukan sesuatu yang dianggap salah.

Pada hari ini, kesan daripada materialisme dan Darwinisme, kita melihat budaya persaingan semakin pesat dalam masyarakat sekular. Sebenarnya, persaingan bukanlah sesuatu yang positif dan bukan juga negatif pada asalnya, akan tetapi persaingan perlu ditempatkan pada tempat yang sesuai untuk memberikan kesan dan implikasi yang baik. Apabila suatu perkara yang memerlukan kerja sama dan teamwork tetapi sikap masing-masing individu ingin bersaing dan menonjolkan diri sendiri, maka tujuan dan objektif yang dihajatkan tidak akan tercapai. Apabila suami dan isteri hanya bersikap mementingkan diri sendiri, bersikap selfish dan individualistik, tidak memikirkan apa yang terbaik untuk keluarga dan pasangan masing-masing tetapi hanya berfikir apa yang baik untuk diri sendiri, serta tidak berfikir bagaimana untuk menjadi wanita atau lelaki yang diredhai Allah tetapi hanya berfikir tentang apakah yang diperolehinya dengan mengahwini pasangannya; maka keharmonian dan objektif dalam berumahangga tidak akan tercapai. Budaya ‘survival of the fittest’ yang saling mencurigai dan menganggap pihak lain sebagai ancaman terhadap kewujudan diri sendiri bukanlah budaya yang dapat mencipta kedamaian dan keharmonian khususnya dalam rumahtangga, dan umumnya dalam masyarakat.

Kesan paradigma Barat ini lebih jelas terlihat dalam cara berfikir golongan Feminis. Mengenai hijab misalnya, Fatima Mernissi sama sekali tidak melihat sisi positif daripada kewajipan jilbab dalam Islam. Beliau yang hanya melihat hijab ini sebagai satu kaedah masyarakat Islam menindas dan memperhambakan wanita, dengan tanpa segan silu mengatakan:

The veil can be interpreted as a symbol revealing a collective fantacy of the Muslim community to make women disappear, to eliminate them from communal life, to relegate them to an easily controllable terrain, the home, to prevent them moving about, and to highlight their illegal position on male territory by means of a mask.[lvi]

Kesan pemikiran Barat yang sekular, materialistik dan individualistik ini dapat dilihat dengan jelas dalam setiap argumentasi tokoh-tokoh feminis ini. Sudut pandang seperti ini mengetepikan sama sekali aspek spiritual dan kebaikan yang diperolehi masyarakat dengan melaksanakan kewajipan hijab.  Sebaliknya ia dilihat dengan menekankan kepada aspek kuasa dan dominasi yang diperoleh oleh kaum lelaki; walhal perkara seperti ini tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam, malah ia dianggap bertentangan dengan hukum Islam itu sendiri.

Pada umumnya, worldview Barat yang materialistik dan sekular adalah antithesis ajaran agama yang menekankan spiritualisme dan keseimbangan hidup manusia. Dalam pandangan sekular Tuhan itu sendiri bersikap patriarkis.[lvii]Kebencian sekularisme terhadap agama ini dapat difahami dengan melihat sejarah panjang pergelutan di antara gereja dan falsafah. Sekularisme muncul hasil daripada permusuhan panjang antara intelektual Eropah dengan kuasa gereja.[lviii] Setelah kemerdekaan masyarakat barat dari kuasa despotik gereja, terbinalah moraliti baru yang memberikan kebebasan mutlak bagi manusia Barat.[lix] Muhammad Asad menggambarkan pengaruh materialisme ini dengan:

It is visible in the fundamental tendency of both Western Capitalism and Communism, to surrender the spiritual individuality of man and his ethics to the purely material requirements of a collective machinery called “society” in which the individual is but a cog in a wheel.[lx]

Dalam pemikiran rasionalisme Barat, penafsiran terhadap teks agama (religious interpretation) adalah bersifat subjektif. Dengan mengikuti metodologi ‘hermeneutic’ dan ‘dekonstruksi’ pasca moden yang bersumberkan tradisi Barat, Feminisme dan Liberalisme berusaha menggoyahkan kepercayaan umat Islam terhadap tradisi Islam, khususnya penafsiran teks-teks suci (al-Qur’an dan Hadis) yang dilakukan oleh ulama-ulama silam mahupun masa kini. Penjelasan terhadap subjektiviti penafsiran agama ini dapat dilihat dari tulisan seorang tokoh feminisme dan liberalisme, Farid Esack:

Every interpreter enters the process of interpretation with some preunderstanding of the questions addressed by the text -even of its silences- and brings with him or her certain conceptions as presuppositions of his or her exegesis…One can proceed to examine and discuss the legitimacy, usefulness and justice of particular pre-understandings in contrast to others. Preunderstanding is a condition of living in history. By itself, preunderstanding has no ethical value; the ethics or absence of them, are located in an acknowledgement or denial of its presence.[lxi]

Penulis berpendapat anggapan bahawa setiap penafsiran teks agama membawa bersama fahaman asal (pre-understanding) penafsir adalah anggapan yang tidak proporsional. Subjektiviti penafsiran mungkin berlaku secara individual, akan tetapi secara kolektif, subjektiviti ini tidak dapat lagi bertahan. Sekurang-kurangnya inilah makna eksplisit hadis Rasulullah yang bermaksud: “Umatku tidak akan bersepakat atas sesuatu yang palsu”. Ijma’ ulama’ atau ummah akan menghilangkan kepercayaan bahawa penafsiran terhadap sesuatu teks suci itu subjektif dan relatif. Prinsip yang dipegang oleh golongan Feminis adalah penafsiran yang dilakukan ulama’ silam adalah subjektif. Bahkan bagi mereka semua bentuk penafsiran adalah subjektif kerana adanya pra-konsepsi sebelum seseorang memahami teks bersesuaian dengan budaya masyarakat setempat.

Persoalan fundamental yang perlu dijawab adalah, apakah benar penafsiran yang dilakukan oleh ilmuwan Islam semuanya subjektif? Dengan mengangkat dan menghilangkan subjektiviti ini golongan Feminis berharap akan berada sejajar dengan ulama-ulama terdahulu dari segi otoriti. Namun, dalam tradisi Islam ia tidak semudah itu. Dalam tradisi Islam tidak ada dikotomi mutlak antara yang subjektif dan objektif, kerana dikotomi ini hanya wujud dalam tradisi Barat. Dalam proses mengeluarkan hukum serta fatwa, seorang ilmuwan memberikan pendapat tentang sesuatu perkara berkenaan dengan hukum Islam bersandarkan kepada kekuatan hujjah. Ini disebut oleh Imam al-Shafi’i sebagai istidlal (inference).[lxii] Kekuatan istidlal ini yang akan menentukan samada pendapat seseorang diterima sebagai pendapat yang benar atau tidak benar ataupun shaz (pendapat aneh). Pendapat yang benar akan kemudian disokong oleh ilmuwan-ilmuwan yang lain dan dikatakan pendapat jumhur (majoriti) ataupun disebut ijma’. Pada tahap ini, mereka yang selepasnya tidak boleh dengan sewenang-wenangnya mengatakan pendapat tersebut sebagai pendapat yang subjektif.

Hakikatnya, ijtihad ulama’ boleh mencapai kebenaran apabila ijtihad tersebut kemudiannya diperakui, samada oleh ulama’ yang lain secara kolektif mahupun oleh umat Islam keseluruhan. Rasulullah s.a.w. sendiri membayangkan kemungkinan ijtihad seseorang itu mencapai kebenaran atau kesalahan, apabila Baginda mengatakan seseorang yang berijtihad lalu mencapai kebenaran akan mendapat dua pahala, dan yang salah tetap akan mendapat satu pahala. Kekuatan sesuatu pendapat dapat diukur apabila ia diterima sebagai pendapat majoriti atau ijma’. Justeru, apabila pendapat ulama’ diperkuat dengan kemantapan alasan dan istidlal sehingga dapat meyakinkan ulama lain dan masyarakat Islam pada umumnya maka pendapat tersebut adalah pendapat yang diyakini kebenarannya.

Dari aspek metodologi, sumber-sumber hukum yang diakui di dalam tradisi Islam iaitu al-Qur’an, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas adalah problematik bagi golongan Feminis. Terdapat usaha di kalangan mereka untuk membezakan di antara al-Qur’an dan Sunnah, dari segi otoriti dan kekuatan. Sebahagian mereka hanya berpegang kepada nas-nas al-Qur’an sahaja tanpa melihat atau merujuk langsung kepada hadis. Manakala sebahagian yang lain pula cuba mempertikaikan kesahihan Hadis yang telah diperakui oleh imam-imam Hadis.

Bahkan, Feminis Muslim juga tidak mengakui otoriti ijma’. Ini jelas dalam kes Amina Wadud baru-baru ini yang buat pertama kali dalam sejarah Islam telah mencetuskan kontroversi dengan menjadi imam dan khatib bagi solat jumaat, yang mana makmumnya terdiri daripada lelaki dan perempuan. Dalam hal ini Amina Wadud berpegang kepada hadis Ummu Waraqah yang gagal membuktikan wanita dibolehkan menjadi imam kepada jamaah yang ada lelaki, apatah lagi untuk menjadi imam bagi solat jumaat.[lxiii] Beliau tidak menghiraukan sama sekali kesepakatan ulama (ijma‘) tentang tidak sahnya lelaki berimamkan wanita dalam solat berjamaah.[lxiv] Dengan membelakangkanijma‘ yang ternyata bersandarkan kepada nas-nas al-Qur’an dan Sunnah, secara tidak langsung golongan Feminis menganggap pandangan mereka sendiri adalah lebih berotoriti berbanding dengan pandangan ulama’-ulama’ terdahulu, ini kerana dari para ulama’ sejak dari zaman imam-imam mazhab sampailah sekarang bersepakat bahawa wanita dilarang menjadi imam solat bagi kaum lelaki.

Terlepas daripada persoalan tentang kesahihan hadis ini, hadis tersebut hanya menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. memberikan keizinan bagi Ummu Waraqah menjadi Imam bagi ahli keluarganya iaitu dua orang hamba sahaya (lelaki dan perempuan) dan seorang mu’azzin/ bilalDalam hadis tersebut dinyatakan bahawa mu’azzin yang dimaksudkan adalah orang yang benar-benar tua. Semua ini menjelaskan bahawa mereka tidak mampu menjadi imam kecuali Umm Waraqah sendiri. Ini ditambah lagi dengan keterangan hadis al-Darqutni yang menggantikan ahl dariha menjadi nisa’ ahl dariha (ahli perempuan rumahnya) sebagai makmum. Hadis ini tidak bertentangan dengan kesepakatan ulama yang tidak membenarkan wanita menjadi Imam kepada kaum lelaki selagi masih ada yang mahir al-Qur’an dikalangan mereka. Oleh itu jelaslah bahawa kaum Feminis tidak dapat memberikan justifikasi bagi pandangan mereka daripada tradisi Islam.

Feminis menganggap hukum-hukum yang dijelaskan secara terperinci, seperti wudhuk dan talak tidak memberi ruang kepada pembaca untuk menafsirkannya mengikut pre-understanding. Namun, sesuatu hukum yang tidak dijelaskan dengan terperinci memberi ruang yang luas kepada manusia untuk melaksanakannya sesuai dengan kefahamannya dan tuntutan peredaran zaman. Oleh itu dengan menyamaratakan semua pemahaman terhadap teks adalah berdasarkan pre-understanding dan budaya adalah tidak berasas sama sekali. Fakta ini diperkuat lagi dengan peranan Islam sebagai pembentuk worldview manusia Muslim dan bukan Islam yang dibentuk oleh pemahaman sesebuah masyarakat. Semua pandangan ini tercetus daripada premis Islam Liberal yang diperkenalkan oleh Nasr Hamid Abu Zayd bahawa al-Qur’an adalah muntaj thaqafi (produk budaya). Isu ini telah membangkitkan perdebatan yang cukup hangat dan panjang, dan tiada kesempatan untuk dibahas di sini. Apa yang jelas adalah konsep tersebut  (produk budaya) pada hakikatnya selari dengan anggapan pemikir-pemikir Barat bahawa agama adalah produk budaya dan ciptaan manusia (human invention).

Penutup

Daripada perbincangan tentang pemikiran Feminis Muslim dan pandangan Islamis terhadap isu-isu yang dibangkitkan, dapat disimpulkan bahawa Feminisime Islam, sebagaimana Liberalisme Islam, sebenarnya sama sekali asing bagi Islam. Seperti halnya Liberalisme Islam yang merupakan induk Feminisme Islam, Feminisme Islam tidak dibina dan tiada di dalam paradigma Islam. Bahkan asas dan dasar epistemologi dan metodologi yang digunakan adalah diambil serta diadaptasi dari paradigma Barat. Ini dapat dibuktikan, seperti yang telah kita lihat, dengan fakta bahawa pengaruh sekularisme, materialisme, pasca modenisme dan humanisme jelas tampak dalam perdebatan mereka tentang kesetaraan gender.

Dengan kata lain, disedari mahupun tidak, Feminis Muslim telah menggunakan paradigma pemikiran Barat untuk melahirkan idea-idea mereka. Kenyataan ini mungkin mendapat bantahan dari kalangan Feminis sendiri kerana mereka telah menggunakan teks -teks agama untuk menjustifikasikan setiap idea yang dilontarkan. Akan tetapi sepertimana yang telah kita lihat, penggunaan teks-teks agama tersebut sangat selektif dan seringkali out of context. Telah wujud satu pemikiran yang ingin diperjuangkan dan mendasari cara berfikir golongan ini; kemudian, teks-teks digunakan sebagai alat untuk mengabsahkan (validating) pendapat mereka. Ini merupakan suatu hal yang menggambarkan ketidakjujuran, ketidaktelusan dan wujudnya niat tersembunyi disebalik penggunaan teks-teks tersebut.

Pendekatan dan metodologi yang digunakan oleh Feminis sangat berbeza dengan golongan Islamis. Meskipun dalam banyak hal mereka berbeza pandangan dengan golongan konservatif, namun golongan ini tetap mempertahankan pandangan Islam berkaitan dengan wanita asalkan mempunyai dasar yang kuat, baik dari nas al-Qur’an mahupun Sunnah.  Dari segi metodologi, golongan ini berpendapat ijtihad ulama’ silam khususnya yang berbentuk pandangan peribadi tidak semestinya diterima pada hari ini. Sesuai dengan tuntutan Islam, ilmuwan pada hari ini perlu sentiasa berijtihad dalam perkara-perkara yang dibenarkan oleh Syara‘. Kebekuan dan kecenderungan ulama’ untuk taqlid terhadap segala keputusan ulama’ silam menyebabkan agama Islam dipandang tidak sesuai dan ketinggalan zaman.

Dan dalam konteks tajuk kertas kerja ini, kesan daripada kebekuan intelektual inilah yang menyebabkan timbulnya salah faham bahawa tradisi Islam, samada nas al-Qur’an, Hadis mahupun kitab-kitab fiqh klasik dan baru, adalah bias gender dan misogynist. Pemahaman berdasarkan worldview Islam adalah bahawa Islam memberikan persamaan di antara lelaki dan wanita, hanya ada sedikit keterbatasan dan perbezaan yang digariskan oleh Islam untuk wanita. Perbezaan dari segi peranan dan hak yang Allah berikan kepada keduanya sama sekali tidak bermakna superioriti ataupun inferioriti bagi mana-mana pihak, akan tetapi ia hanyalah untuk menjaga fitrah dan kecenderungan masing-masing.[lxv]


[i] Pendekatan sederhana ini dipopularkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi bersumberkan ayat al-Qur’an ummatan wasatan (al-Baqarah, 2:143) lihat: al-Qaradawi. Sanggahan Salah Tafsiran Islam (Kajang: Synergymate, 2004), viii; al-Qaradawi, Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam. (Kaherah: Dar al-Shuruq, 1996), 9 ; Al-Qaradawi. Al-Siyasah al-Shar’iyyah fi Daw al-Nusus al-Shari‘ah wa maqasidiha (Kaherah: Maktabah Wahbah, 1998), pp.30.

[ii] Penulis memilih nama Islamis bagi golongan sederhana ini, namun ada sesetengah penulis yang menamakan golongan ini dengan moderat, bergantung kepada apa yang dimaksudkan dengan moderat. Islamis dalam penggunaan biasa merujuk kepada golongan yang memperjuangkan nilai-nilai Islam dalam pelbagai bidang kehidupan. Tetapi bagi Barat dan modenis, golongan Islamis adalah golongan yang memperjuangkan aspirasi politik Islam. Islamis di mata Barat tidak jauh beza dengan fundamentalis dan ektrimis. Untuk perbandingan makna istilah tersebut lihat Farid Esack, Qur’an, Liberation and Pluralism: an Islamic Perspective of Interreligious Solidarity against Oppression (Oxford: Oneworld, 1997), xi.

[iii] Perlu diperhatikan adanya penafsiran yang berbeza tentang ‘hijab’. Bagi Golongan Konservatif  ia adalah niqab atau chador (Pakistan) dan abaya (Mesir). Bagi Golongan sederhana hijab adalah tudung (headscarf). The veil dalam bahasa Inggris memberi makna lebih cenderung kepada niqab atau chador oleh itu tidak sesuai digunakan kalimat ini.

[iv] Lihat: ‘Abbas Mahmud al-‘Aqqad, al-Mar’ah fi al-Qur’an (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, 1969), pp. 10; Mawdudi, Purdah and The Status of Women (Lahore: Islamic Publication, 1987), pp.34; Abdur Rahman I Doi. Women in the Qur’an and The Sunnah(London: Taha Publication, 1988), pp. 18. Pandangan ini adalah lebih identik dengan Wahabi.

[v] Yusuf al-Qaradawi, Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam. (Kaherah: Dar al-Shuruq, 1996), 165; Muhammad Izzat Darwazah, al-Mar’ah fi al-Qur’an wa al-Sunnah (Beirut: al-Maktabah al-Asriyyah),49; Jamal Badawi, The Status of Woman in Islam (Riyad:World Assembly of Muslim Youth, 2000);

[vi] Diambil dari http://mediaguidetoislam.sfsu.edu/women/03_feminism.html

[vii] Azza M. Karam, Women, Islamisms and the State: Contemporary Feminisms in Egypt, (London: Macmillan Press Ltd, 1998), 5.

[viii] Ibid.

[ix] Beliau merupakan Profesor Pengajian Islam di Department of Philosophy and Religious Studies di Virginia Commonwealth University, Amerika Syarikat. Baru-baru ini, beliau telah menjadi tumpuan masyarakat Islam sedunia apabila mengeluarkan fatwa wanita boleh menjadi imam salat bagi lelaki. Fatwa ini direalisasikan apabila Amina Wadud berkhutbah dari atas mimbar dan mengimamkan salat Jumaat bagi sekumpulan masyarakat Islam di Amerika yang terdiri daripada lelaki dan perempuan pada 18 Mac, 2005 di Sundaram Tagore Gallery, New York.

[x] Asghar Ali Engineer. The Qur’an, Women and Modern Society. (New Delhi: SterlingPublishers, 1999), 4.

[xi] Ibid., 17.

[xii] Nawal Sa‘dawi, in Women and Islam ed. by Azizah al-Hibri (Oxford: Pergamon Press, 1982),193

[xiii] Ibid., 195-7.

[xiv] Jane Smith dan Yvonne Haddad. “Eve: Islamic Image of Woman” in Women and Islam ed. by Azizah al-Hibri (Oxford: Pergamon Press, 1982), 135-144.

[xv] Amina Wadud Muhsin. Qur’an and Woman. (Kuala Lumpur: Fajar Bakti, 1992), 2.

[xvi] Hibah Rauf Izzat, 169.

[xvii] Asghar Ali Engineer, 6.

[xviii] Asghar Ali Engineer, 7.

[xix] Ibid., 5.

[xx] Amina Wadud Muhsin, v.

[xxi] Asghar Ali Engineer, 5.

[xxii] Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Qur’an (Kaherah: Dar al-Shuruq, 1997), 5: 649-652.

[xxiii] Amina Wadud Muhsin, 20.

[xxiv] Sahih al-Bukhari, kitab Ahadith al-anbiya, bab khalq Adam, no. 3084. Dengan lafaz yang sedikit berbeza, Muslim bab al-Rada’ no. 2670; al-Darimi, bab al-Nikah, no. 2124; Ahmad bab baqi Musnad al-mukthirin, no. 10044.

[xxv] Hadis riwayat Bukhari bab al-Nikah, no. 4786; al-Tirmizi, bab al-Talaq wa al-li’an, no. 1109; Musnad Ahmad, bab baqi Musnad al-Ansar, no. 25180. Hadis tersebut berbunyi:
)Úóäú ‏ ‏ÃóÈöí åõÑóíúÑóÉó‏ ‏Ãóäøó ÑóÓõæáó Çááøóåö ‏ ‏Õóáøóì Çááøóåõ Úóáóíúåö æóÓóáøóãó ‏ ‏ÞóÇáó ‏‏ ÇáúãóÑúÃóÉõ ßóÇáÖøöáóÚö Åöäú ÃóÞóãúÊóåóÇ ßóÓóÑúÊóåóÇ æóÅöäú ÇÓúÊóãúÊóÚúÊó ÈöåóÇ ÇÓúÊóãúÊóÚúÊó ÈöåóÇ æóÝöíåóÇ ÚöæóÌñ(

[xxvi] Sahih al-Bukhari Bab Ahadith al-Anbiya wa khalq Adam  no. 3084.

[xxvii] Sahih Muslim Bab al-Rada‘, no. 2670.

[xxviii] Musnad Ahmad, bab baqi musnad al-mukthirin, no. 10044.

[xxix] Sahih al-Bukhari, Bab al-nikah, no. 4786.

[xxx] Tirmizi, bab al-talaq wa al-li‘an, no. 1109.

[xxxi] Perkataan Min dalam kamus Arab selain daripada bermaksud ‘dari’, ia juga bermakna: sebahagian, semenjak, melalui, menembusi, ke atas dan seperti. Ini kerana huruf jar dalam bahasa Arab boleh bertukar ganti dengan yang lain, lihat al-Razi,Mukhtar al-Sihah (Kaherah: Dar al-Hadis, 2000), 241; Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab(Beirut: Dar al-Sadir, 1990), 13:422.

[xxxii] Ini ditambah lagi dengan penjelasan dalam matan hadis Muslim yang menyebutlan tastaqimu ala tariqah dan hadis Ahmad ala khaliqah.

[xxxiii] Lihat tafsir Ibn Kathir, 2:204; Tafsir al-Tabari, 7:511.

[xxxiv] Sebagai contoh karya Islamis adalah Sayyid Qutb, al-Islam wa Mushkilat al-Hadarah cetakan ke-12 (Kaherah: Dar al-Shuruq, 1993), 66-72; Muhammad Izzat Darwazah, al-Mar’ah fi al-Qur’an wa al-Sunnah (Beirut: al-Maktabah al-Asriyyah),49; Jamal Badawi, The Status of Woman in Islam (Riyad:World Assembly of Muslim Youth, 2000). Untuk contoh Feminis sila lihat: Jane Smith dan Yvonne Haddad. “Eve: Islamic Image of Woman” in Women and Islam ed. by Azizah al-Hibri (Oxford: Pergamon Press, 1982), 135-144.

[xxxv] Lihat al-Qur’an surah al-Nisa’, 4:58.

[xxxvi] Yusuf al-Qaradawi, Min Fiqh al-Dawlah, 162

[xxxvii] Sayyid Qutb. Fi Zilal al-Qur’an (Kaherah: Dar al-Shuruq, 1997), 5: 649-652.

[xxxviii] Abdur Rahman I. Doi, Shari’ah: The Islamic Law (Kuala Lumpur: A.S. Noordeen, 2002), 130; ‘Abd al-Karim Zaydan, Usul al-Da’wah (Beirut: Muassasat al-Risalah, 2000), 126.

[xxxix] Abdur Rahman I. Doi, Shari’ah: The Islamic Law, 131.

[xl] Kurzman, Liberal Islam: A Source Book. (London: Oxford University Press, 1998), 116-117.

[xli] Sahih Bukhari, Kitab al-Maghazi no. 4073; Tirmizi kitab al-Fitan no. 2188; Musnad Ahmad, musnad Abi Bakrah no.19612; Al-Nasa’I bab Adab al-Qudat, no. 52930. Lafaz Bukhari berbunyi:

áÞÏ äÝÚäí Çááå ÈßáãÉ ÓãÚÊåÇ ãä ÑÓæá Çááå ‏ ‏Õáì Çááå Úáíå æÓáã ‏ ‏ÃíÇã ÇáÌãá ÈÚÏ ãÇ ßÏÊ Ãä ÃáÍÞ ÈÃÕÍÇÈ ÇáÌãá ÝÃÞÇÊá ãÚåã ÞÇá áãÇ ÈáÛ ÑÓæá Çááå ‏ ‏Õáì Çááå Úáíå æÓáã ‏ ‏Ãä ‏ ‏Ãåá ÝÇÑÓ ‏ ‏ÞÏ ãáᑀ Úáíåã ‏ ‏ÈäÊ ‏ ‏ßÓÑì ‏ ‏ÞÇá ‏‏ áä íÝáÍ Þæã æáæÇ ÃãÑåã ÇãÑÃÉ

[xlii] Hibah Rauf Izzat, Penglibatan Wanita dalam Politik Mengikut Perspektif Islam(Kuala Lumpur: IIIT, 1997), 165.

[xliii] Ibid., 168.

[xliv] Lihat tulisan Muhammad ‘Imarah, al-Islam wa Huquq al-Insan (Jeddah: Markaz al-Rayah, 2005), passim.

[xlv] Tafsir al-Tabari, 8:290.

[xlvi] Tafsir Ibn Kathir, 2:292.

[xlvii] Muhammad Mutawalli al-Sha’rawi, al-Mar’ah fi al-Qur’an al-Karim (Kaherah: Maktabah al-Sha’rawi, 1990), 74-75.

[xlviii] Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Qur’an, 5: 645-6.

[xlix] Yusuf al-Qaradawi, Min Fiqh al-Dawlah, 162.

[l] Lihat Yusuf al-Qaradawi, Min Fiqh al-Dawlah, 162; Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Qur’an, 5: 645; Muhammad Mutawalli al-Sha’rawi, al-Mar’ah fi al-Qur’an al-Karim, 74-75; Abd al-Mun’im Sayyid hasanah, Tabi‘at al-Mar’ah fi al-Kitab wa al-Sunnah (Kaherah: Maktabah Nahdat al-Misriyyah, 1985), 161.

[li] Sahih al-Bukhari bab al-Hayd no. 293; Sahih Muslim bab al-Iman no. 114; Musnad Imam Ahmad, musnad Ibn Umar no. 5091. Ibn Majah, bab al-Fitan, no.3993; Tirmizi bab Ma ja’a fi Istikmal al-Iman, riwayat Abu Hurayrah no. 2538; Abu Dawud, babziyadat al-Iman no. 4059.

[lii] Lihat surah al-Nisa’, 4:32, 34.

[liii] Lihat surah al-Baqarah 2:282, bagi Feminis ini diperkuat lagi dengan pembahagian harta pusaka yang memberikan hak wanita separuh daripada hak lelaki (surah: al-Nisa’, 4:11).

[liv] Al-‘Aqqad, al-Mar’ah fi al-Qur’an, 10 passim.

[lv] Amina Wadud Muhsin. Qur’an and Women (Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti,1992), 90.

[lvi] Fatima Mernissi, “Virginity and Patriarchy”, in Women and Islam ed. By Azizah al-Hibri (Oxford: Pergamon Press, 1982), 189. Lebih dari itu Mernissi beranggapan bahawa keperawanan (virginity) adalah konsep sosial yang tidak adil dan bukan konsep natural, kerana dari segi natural wanita mesti diberikan kebebasan dari segi seksual sebagai memenuhi keinginan seksnya. Lihat ms. 188.

[lvii] Hibah Rauf Izzat, 169.

[lviii] Muhammad Asad, Islam at the Crossroads first published in 1934. (Kuala Lumpur: The Other Press, 1982), 30.

[lix] Ibid., 38.

[lx] Ibid., 39.

[lxi] Farid Esack, Qur’an, Liberation and Pluralism: an Islamic Perspective of Interreligious Solidarity against Oppression, 75.

[lxii] Muhammad b. Idris al-Shaf‘i,  Al-Risalah, Ahmad Muhammad Shakir (ed) (Beirut: al-Maktabah al-Ilmiyyah, n.d.), 23-25.

[lxiii] Hadis yang menjadi dasar pandangan Wadud diriwayatkan hanya oleh Abu Dawud lihat Sunan Abi Dawud, 1:218, hadis no. 591 dan 592; dan al-Darqutni 1:403.

[lxiv] Ini dapat dilihat dalam kitab-kitab mazhab seperti Al-Majmu‘, 4:151; al-Umm, 1:191; Taj al-Iklil, 2:412; al-Insaf, 2:263; al-Muhalla, 2:167.

[lxv] Mungkin contoh yang paling baik untuk menjelaskan perbezaan tidak semestinya bermakna diskriminasi adalah perbezaan kulit hitam dengan kulit putih. Salah satu jenis kulit ini tidak boleh dikatakan lebih superior dari yang lain (inilah pandangan Islam tetapi tidak bagi masyarakat Barat). Tetapi dalam perkara tertentu ada bidang yang lebih dikuasai oleh orang kulit putih dan dalam bidang yang lain (seperti sukan olahraga boxing) dikuasai oleh orang kulit hitam. Begitu juga perbezaan di antara bangsa dan kaum, Melayu dengan Arab, Cina dengan India, masing-masing tidak boleh mendakwa lebih tinggi martabatnya berbanding yang lain demikianlah menurut perspektif Islam. Ketika Tuhan melahirkan seseorang dengan kulit cerah dan yang lain dengan kulit gelap, yang satu cerdik dan yang lain tidak cerdik apakah ini juga diskriminasi? Tentu sekali tidak. Maha suci Allah dari sifat diskriminasi.

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)